Isnin, 31 Disember 2018

Asam Garam Rumah Tangga Nabi Sebagai Hadiah


Fajar menyinsing di pagi hari,
Burung berkicau di atas titi,
Sama berseri inai di jari,
Debar menanti si buah hati.

Alam perkahwinan sama dilangkahi,
Berusahalah untuk bersatu hati,
Sunnah Nabi dicontohi,
Agar perkahwinan diberkati.

Resah memikirkan banyak persoalan,
Jangan malu jangan segan,
Dapatkan buku ini sebagai bekalan,
Moga manfaatnya berpanjangan.

#AsamGaramRumahTanggaNabi

Harga sebuah ialah RM30.
Kos pos Semenanjung RM8
Kos pos Sabah Sarawak RM12

Berminat dapatkan buku ini boleh klik sini :


Jika ada permintaan tuliskan ucapan @ balutkan sebagai hadiah pun boleh. Insya Allah :-)

Ahad, 30 Disember 2018

Buku 116 : Tanah Andriyana


Konon dah tutup #iRead2018, rupanya saya masih dapat habiskan bacaan sebuah buku lagi :-)

TANAH ANDRIYANA



Dikhabarkan ini edisi kemaskini. Oh, saya tak pernah baca edisi terdahulu. Tetapi apabila Kak Su maklumkan masih ada stok, saya pun pesan sekali dengan buku anak.

Sejarah panjang Keluarga Raden Andriyana yang penuh duka mempengaruhi susur galur keturunannya. Fitnah yang tercetus disampaikan ceritanya dari generasi ke generasi.

Subhanallah! Saya tidak dapat membayangkan apa nasib si pencetus fitnah yang awal-awal. Dua keluarga bermusuhan asbab keceluparan mulut tersebut.

Ini kisah cinta. Ya, Kak Su [penulis : Noor Suraya] memang mempunyai niche karya kisah kehidupan yang digarap dengan adunan perkataan yang harmoni. Nampak keindahan bahasa Melayu kita. Sesuatu yang tidak saya temui pada penulis lain [mungkin juga kerana bacaan saya yang terhad].

Aliya yang garang tetapi manja ini adalah anak kepada Tuan Ali Hakeem sekaligus cicit kepada Raden Andriyana. Seterunya, Fitri Hadi bin Bakhtiar seorang anak YB dan cicit kepada Wan Zaleha.

Kedua keluarga ini bermusuhan tetapi takdir Allah menentukan kedua pasangan ini memecahkan tembok tradisi itu. 

Kisah mereka bersulam minat masing-masing kepada seni lukisan dan dalam masa yang sama banyak mempelajari ilmu dan bertoleransi. Meskipun dihimpit masalah keluarga, masing-masing cuba mencari punca perbalahan dan menyelesaikannya.

Siap ada salasilah keluarga yang panjang di dalam cerita ini. Kak Su benar-benar mahu pembaca menghayati kisah Andriyana dan keturunannya :-)

Namun, hati sayu tatkala membaca coretan Kak Su pada akhir muka surat. #100HariTanpaD. Subhanallah.

Allah memberi kepandaian menulis kepada Kak Su mencoret rasa. Selepas pemergian suami tersayang, sudah pasti banyak rasa tidak terungkap. Lalu, medan penulisanlah menjadi curahan rasa beliau.

Barakallahufik Kak Su.

Daripada kisah ini, saya paling terkesan dengan bahana mulut. Silap sedikit, menjadi fitnah. Silap sedikit, mengundang umpatan. Sikap sedikit, menghalang kebaikan. Allah ya Allah, moga terhindar dari semua fitnah. Amin..amin..

Sesi bercerita : Kisah Nabi Nuh a.s dan Banjir Besar


Gambar hiasan

Hari ini Abdurrahman memilih buku Nabi Nuh a.s dan Banjir Besar. Buku ini keluaran Ana Muslim dan sayangnya buku ini tidak lagi diterbitkan.


Kisahnya tentang Najwa yang mulanya memerhatikan hujan lebat tidak henti-henti turun sejak tiga hari lalu. "Ayah, apa jadi jika hujan tak berhenti?"

Ayah pun menjawab akan berlaku banjir. Tahu tak pernah terjadi banjir besar semasa zaman Nabi Nuh?

Ketika itu, Nabi Nuh berdakwah kepada kaumnya selama 950 tahun dan ajak mereka buat baik. Tetapi tidak dihiraukan. Malahan, Nabi Nuh dicemuh oleh kaumnya.

Suatu hari, Allah memerintahkan supaya Nabi Nuh membina sebuah bahtera besar. Kaumnya hebat mengejek dan mencemuh baginda. 

Nabi Nuh memaklumkan bahawa akan berlaku banjir besar tetapi kaumnya tak mahu percaya. Dalam masa yang sama, Nabi Nuh menyuruh pengikutnya naik dan membawa semua haiwan secara berpasangan.

Ditakdirkan Allah, banjir besar berlaku sehingga menenggelamkan kesemua hidupan di muka bumi.

Najwa terus berkata kepada ayahnya yang Najwa mahu jadi anak yang solehah dan mengikut cakap Allah.

Abdurrahman nampak menikmati cerita meskipun gambar-gambar banyak diconteng. Haha. Tak mengapalah mudah-mudahan mesej cerita ini sampai kepadanya.

 Yalah, sudah diwarisi dari Kakak Khaulah yang sulung hingga adiknya yang keempat ini.

* Gambar buku tiada sebab buku sudah dibawa ke mana entah. Tak dan cari. Haha.

Sabtu, 29 Disember 2018

Apabila anak tak acuh


Perjalanan menjadi ibu bapa tidak mudah. Abaikan kata-kata membawang orang. Nanti kita pula tekanan. Ho ho.

Menjadi ibu bapa tak semua indah mengikut kehendak kita. Apa yang berlaku pasti ada sesuatu untuk kita amati, pelajari dan insafi. Betul?

Hari ini anak-anak meragam lain macam. Saya akui, lama bercuti, rutin agak terganggu. Mereka banyak menonton televisyen dan bermain tak kira masa sehingga apabila kita cakap mereka buat endah tak endah.

Akhirnya buat kesekian kali, saya mengeluh sendirian. Lemahnya diri sebagai ibu.

Petang tadi, dalam perjalanan ke suatu tempat, saya ajak anak-anak baca zikir petang. Dua, tiga kali ajak mereka sangat asyik berborak sehingga suara saya kuat sedikit.

Anak-anak mungkin tersedar dan ikut baca sekali. Tetapi dalam nada terpaksa.

Lantas terus ditegur oleh abi mereka. Zapp..senyap sunyi semua.

"Kakak abang baca ayat apa tu? Ayat quran tu datang dari siapa? Allah kan. Abi diam je bila ummi ajak kamu baca sebab abi nak lihat kakak abang peka atau tidak dengan rutin.

Nampaknya dah mula acuh tak acuh. Ayat quran ni bukan ummi abi suruh baca, tapi Allah. Bila kita baca, kita dapat pahala. Kalau baca kerana abi ummi, kita tak dapatlah pahala. Apa-apa kita buat mesti kerana Allah."

Gitulah. Kena sabar sesabarnya walaupun ummi ni kadang hilang sabar juga. Mujur abi tenang orangnya.

Jumaat, 28 Disember 2018

iRead2018 : 115 buah buku


Ternampak beberapa status ulat buku di Facebook. Kagum dengan Iman Danial Hakim, penulis buku Aku Mahu Baca 1000 Tahun Lagi kerana berjaya melengkapkan target membaca 250 buah buku tahun ini.

Saya hanya setakat 115 buah buku dibaca setakat ini. Tak sempat tambah lagi rasanya. Walaupun sedang membaca banyak buku (tapi tak habis-habis). Sudah pasti tidak termasuk buku yang dibacakan untuk anak-anak. Tahun depan nak buatlah senarai Read Aloud dengan anak ;)

Antaranya 2 buah ini. Buku novel kanak-kanak itu sangat menarik perhatian kerana percutian Geng ABCDE ke Arau menggamit kenangan saya pulang ke kampung di Perlis. 


Sekarang "tak ada" pengalaman balik kampung sebab rumah mak selang sebuah je dari rumah mertua. Opss!

Buku Tanah Andriyana saya beli sejurus sebelum Kak Su melabuhkan tirai Jemari Seni. Sob..sob.. sedihnya. Moga Kak Su akan keluarkan lagi karya di masa hadapan walaupun beliau sudah mahu membisu di alam maya.

Baru dua bab dibaca. 
Sebenarnya lebih suka menata kata madah dari novel-novel Kak Su. Nampak bahasa Melayu sangat cantik dengan keunikan bahasanya. Subhanallah.

Ok. Saya tidak fikir saya mampu menyenaraikan kesemua 115 buah buku yang telah saya baca sepanjang 2018. Hehe. Namun jika ada laptop mungkin saya fikirkan. Selama ini kemas kini blog melalui telefon sahaja, ada banyak kekangan seperti papan kekuncinya sangat kecil berbanding jari tembun saya ini. Huhu.

Jumpa lagi dengan Misi Membaca 2019 yang baru! Insya Allah.

Khamis, 27 Disember 2018

Rutin 24 Jam. Bagaimana menggunakan masa dengan baik.


Dua, tiga hari ini terfikir anak-anak mengaji (aih, anak sendiri ada fikir anak orang pula. Heee).

Ramai antara mereka akan naik ke tingkatan 1 dan 4 tahun hadapan. Jadi saya bertanya-tanya khabar mereka ke sekolah mana. Result mereka saya tidak bertanya lanjut. Yang lepas, lepaslah :-)

Bertemu 10-20 orang lagi anak mengaji. Cuti ni buat apa? 

Tolong mak.
Jaga adik.
Main.
Tengok tv.
Bekerja.

Ada pula yang menjawab : tak sentuh langsung buku pelajaran kak yana.

Gulp. Telan air liur sahaja cikgu ni dengar. [Oh ya ada anak murid mengaji masih panggil saya kakak. Walhal emak mereka pun ada yang lebih tua dari saya. Aish budak-budak ni. Patutnya panggil makcik @ cikgu]

Dalam hal ini saya sentiasa ingat pesan Abdullah bin Abbas, seorang sahabat baginda sollallahu alaihi wasallam pernah berkata : Tidaklah Allah memberikan ilmu kepada seseorang melainkan pada masa mudanya. Seluruh kebaikan dimiliki oleh para pemuda.

Saya mengambil sedutan inspirasi dari karya Dr Umar Muhammad Noor dari bukunya Ikon Syabab tentang cadangan mengatur masa dengan tepat :

1) Membaca
- Masa yang paling tepat untuk menghafaz ialah sebelum maghrib dan sebelum subuh.

2) Riadah
- Masa terbaik beriadah ialah selepas subuh dan asar.

3) Membaca berita
- Peka dengan perkembangan semasa kerana diri kita harus menjadi agen perubahan untuk memperbaiki masyarakat. Masa yang sesuai ialah ketika rehat untuk makan siang atau makan malam.

4) Beribadah
- Masa terbaik ialah pada waktu tengah malam apabila semua orang masih tidur.

5) Bergaul dengan manusia
- bertujuan melatih kepakaran berkomunikasi dan sikap empati. Luangkan masa beberapa jam pada waktu tengah hari menyantuni orang.

6) Berhibur [dengan perkara halal] seperti menonton cerita, bersiar-siar atau melakukan hobi.

Wallahualam.

Selamat kembali ke sekolah, anak-anak.

#bilaummiambilcuti
#diaricikgukelasmengaji

Buku Tanda Kebesaran Allah di Laut dan Pulau


Sementara menunggu kakak abang kelas KAFFAH, temankan si kecil baca buku Tanda Kebesaran Allah di Laut dan Pulau.

Siri Mari Mengenal Allah RM34

Anak usia 2 tahun, tak perlu kita bacakan setiap perkataan yang tercetak. Cukup dengan hanya melihat gambar.

Dalam banyak muka surat, ini yang paling dia berkenan dari buku ini :-)


Subhanallah, cantik!

Datang yang nombor tiga, ditanya pula nama ikan-ikan ni. Alamak! Ummi cuba google ye.

Woah, cantik-cantik ikan dalam keadaan real. Subhanallah, hebatnya Allah mencipta pelbagai variasi ikan. Dari segi warna yang terang, saiz kecil dan besar serta fungsi mereka.

Misalnya ikan nemo tu. Namanya ialah Clown Anemonefish. Memang Allah ciptakan cirinya berwarna terang dan cantik. Dalam kumpulannya ada banyak jenis lagi seperti :

- Pink anemonefish
- Clark's anemonefish
- Red and black anemonefish
- Orange anemonefish

Nampak tak ikan biru berbelang kuning tu? Mungkin juga carian ummi kurang tepat tetapi jika betul namanya ialah Fish Emperor. Lihat gambarnya :


Best juga jika dapat snorkeling betul-betul ;) Insya Allah. One fine day ye anak-anak.

Eh, ni nak cerita buku ke cerita ikan? 😄

#SiriMariMengenalAllah

Rabu, 26 Disember 2018

Humazah dan Lumazah


Malam semalam, kami sekeluarga dapat mengikuti kukiah maghrib di sebuah masjid di Jasin, Melaka. Ustaz membicarakan tafsir Surah Al-Humazah ayat 1 hingga 3.

Namun, saya tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian kerana awal-awal lagi anak-anak sudah buat drama. Allah Ya allah teruji kesabaran apabila ada yang menangis sekuat hati. Istighfar..istighfar..

Pulang dari kuliah, kami bertanya refleksi daripada anak-anak. Ada yang boleh jawab ada yang diam. Yalah, masing-masing sibuk melukis sahaja.

Kebetulan, mereka bergaduh tempat duduk di dalam kereta. Dan ada yang bergurau kasar. Riuh keadaan dalam kereta. Suami saya masih diam memandu. Nampaknya sayalah kena main peranan.

+ Anak-anak tadi kita dengar tafsir surah apa?

- Al-Humazah.

+ Alhamdulillah. Dengar tak ustaz sebut pasal Humazah dan Lumazah? 

+ Baik ke tak baik?

+ Tau tak humazah tu maknanya orang yang suka mengumpat dan menabur fitnah merata-rata tempat.

+ Lumazah pula maksudnya orang yang mencela diri sendiri dan memanggil orang dengan nama ejekan.

+ Kamu suka ke orang ejek kamu?

- Takkkk. Panjang jawapannya.

+ Ha, tadi kakak punya nada suara macam tu boleh jadi ejekan pada adik. Sebab tu adik menangis dan marah. Itu dikira Lumazah. Kita nak jadi orang yang baik ke Lumazah?

+ Macam tu juga bila di sekolah. Jangan ejek orang, jangan ketawakan orang walaupun benda itu betul tapi orang tu tak suka. Misalnya, abang ngah cakap dengan kawan : eh, dia tu gemuk kan? Abang ngah rasa kawan yang gemuk tu suka tak abang ngah cakap gitu?

- Tak, ummi. Tapi ummi kalau orang ejek abang ngah?

+ Ada 3 perkara abang ngah boleh buat (kata abi). Nasihat kawan tu cakap perkataan yang baik adalah sedekah, kedua beritahu cikgu atau ketiga abang ngah diam.

Ummi pula menyampuk, abang ngah kalau ada orang buli, minta duit atau pukul abang ngah, mesti beritahu tau. Jangan simpan.

Anak-anak mengangguk.

Haih, yang benarnya ummi dan abi berdebar anak nak masuk sekolah. Macam-macam benda nak pesan. Moga Allah jaga. Doa dan doa.

Isnin, 17 Disember 2018

Lawatan luar Anak-anak Kelas Mengaji Baitul Fatimah


Alhamdulillah
Alhamdulillah

Selesai sudah program perdana kelas mengaji Baitul Fatimah Khamis lepas (13 Disember 2018). Awalnya saya tidak menyangka program ini berjalan dengan lancar kerana berlaku banyak perubahan dalam masa dua minggu sebelum lawatan ini berjaya dianjurkan.

Ekoran dari sebuah status saya di alam maya menemukan saya dengan beberapa insan istimewa yang sudi menaja program kami ini. Sedangkan kami tidak berniat mahu mencari dana. Cukup sekadar mengunakan tabungan kelas dan sedikit duit guru-guru.


Allah's will. 
Program juga sangat lancar dan menyeronokkan bagi kesemua 43 orang peserta.

Bacaan zikir pagi dan petang di dalam bas

Kami bertolak sebelum jam 8 pagi dan menuju ke Kompleks Nasyrul Quran Putrajaya. Tiba pada jam 9.40 pagi. Anak-anak susun kasut di luar kompleks, Ketua rombongan mendaftar di kaunter dan kami memasuki dewan taklimat. 

Memasuki pintu masuk, mata sudah terpegun melihat keunikan ukiran dan hiasan seni bina di dinding dan syiling. Dikatakan hiasan seperti bunga ini mengandungi 99 nama Allah dan diukir pada 5 buah hiasan lampu di ruang legar dan dalam dewan taklimat.

Rombongan kami pada pagi itu bersama 4 kumpulan lagi dan kami dibahagikan kepada dua kumpulan besar. Selesai taklimat ringkas, kami dibawa ke Kilang Percetakan Mushaf di bahagian atas. 


Dari cermin, dapat kami lihat proses percetakan sedang berlangsung. Tugasan mencetak adalah satu proses yang amat penting dan tidak mengira masa. Bak kata pegawai berkenaan, mana-mana pihak yang bekerja di bahagian percetakan memang sangat sibuk dan perlu sentiasa bersedia. Sabtu, Ahad atau cuti umum tidak mengenal rehat meskipun gaji yang tinggi.

Barakallahufik tuan dan tim.

Pengunjung boleh membeli cenderahati, Al-Quran atau buku sirah di bahagian bawah (ground floor) dan di kedai cenderahati Nasyrul Quran. Ada pelbagai jenis al-Quran dijual dan kesemuanya bertulisan tangan yang telah dicetak cantik dan kemas. 

Harga bermula dari RM35 hingga ke RM150.

Ada juga buku nota, penanda buku, fridge magnet, poster bersaiz A3, t-shirt, penanda buku magnetik, beg kertas, penunjuk al-Quran dan sebagainya dijual di sini.

Selesai melawat di sini, kami bergerak ke dataran Putra di Masjid Putrajaya untuk makan tengahari dan solat jamak dan qasar. Sempatlah anak-anak ini bermain di taman permainan berdekatan.


Dalam jam 2.30 petang kami menuju ke Pusat Sains Negara. Saya berhati-hati mengira bilangan kerana mahu membayar tiket masuk. Ada juga perkara lucu yang timbul. 


Di PSN, ada sebuah rumah hantu yang dipanggil Survive The Bunker dan hanya anak-anak 8 tahun ke atas dibenarkan masuk. Tetapi ada beberapa orang anak di bawah usia 7 tahun mula menangis mahu masuk juga.


Tepuk dahi cikgu ni tau!

Huhu. Inilah sebabnya setiap kali rombongan kami tak pernah bawa anak-anak di bawah usia 9 tahun. Entah kali ini lembut hati pula nak bawa. Tak mengapalah, tiket dibelikan dan mereka bergerak dalam kumpulan bersama ibu-ibu yang turut serta dalam rombongan ini.

Tak sampai 5 minit, ada WhatsApp diterima. Anak-anak berkenaan menangis pula tak mahu masuk! Grrrr... je cikgu ni rasa. Sudahnya, semua yang takut nak masuk rumah hantu itu cikgu ambil dan bagi main di taman permainan di ground floor. Sabar sahajalah.

Agak lama di ruangan ini. Jam sudah melepasi 4.30 petang dan saya sudah berura-ura mahu balik terus. Tetapi ustaz baik hati pula benarkan ke taman luar PSN. berbondong-bondonglah anak ini ke kolam bawah sana. Hehe.

Sempatlah mandi dalam 20 minit gamaknya. Haih anak oh anak. PSN ditutup jam 5 petang tetapi kami keluar lewat sedikit memberi ruang anak-anak bersiram dan menyiapkan diri.

Jam sudah pukul 6 ketika kami melewati pintu keluar PSN. Jalan sesak di highway. Nampaknya kami terpaksa berhenti solat maghrib di R&R Seremban.

Rezeki anak-anak ini dapat makan KFC. Alhamdulillah. Kami tiba ke Melaka dalam jam 10.25 malam.

Moga Allah berkati perjalanan kami :-)

Apa pula projek lawatan tahun depan? Sudah ada cadangan, nampaknya misi memenuhkan tabung lawatan 2019.

Sabtu, 15 Disember 2018

Buku kanak-kanak Islamik



Mencari bahan bacaan islamik untuk anak-anak? Saya boleh cadangkan buku-buku karya Dr Anayasmin Azmi. Beliau seorang doktor perubatan yang mempunyai passion dalam dunia pendidikan anak-anak dan kini telah merangkul segulung ijazah sarjana dalam pendidikan awal kanak-kanak.

Buku-buku beliau sudah terjual lebih 23 000 naskah di seluruh dunia dan ribuan pembaca sudah mendapat manfaat daripada buku ini. 

Saya perkenalkan kesemua 7 tajuk buku beliau yang sedang laris dalam pasaran :

*Safeeya & Kitty sedang diulang cetak dengan beebrapa penambah baikan

Cadangan pembaca bagi buku-buku ini :

* Have You Ever Wondered : 5 - 9 tahun
* 5 Minutes Bedtime Reminders : 7 - 12 tahun
* Ziyad & Tiger Adventures : 5 - 9 tahun
* My Amazing Super Power : 5 - 9 tahun
* Allah's Little Star : 5 - 9 tahun
* Robo Belajar Tentang Manusia : 3 - 12 tahun
* 70+ Aktiviti Cinta Al-Quran : 4 - 10 tahun

Apa yang terkandung dalam setiap buku?

RM28

RM35


RM14

RM14

RM18

RM14
RM18
Untuk dapatkan buku-buku beliau, boleh klik link di bawah. Selamat membaca!

www.wasap.my/60133613516/BukuAuladReadandPlay

Jumaat, 14 Disember 2018

Ada yang sedang merajuk?



Perkahwinan menyatukan dua insan berlainan latar belakang, perangai, kesukaan dan sebagainya. Pasti ada sahaja yang mencuit hati kita dan pasangan.

Dikisahkan bahawa isteri baginda bernama Safiyyah pernah merajuk kerana unta yang dinaikinya lambat menyebabkan beliau agak ketinggalan di dalam satu perjalanan permusafiran mengikut baginda.

Lalu baginda memujuk dengan mengelap air mata isterinya.

Subhanallah, baginda memang menunjukkan tauladan agung buat kita. 

- Tidak marah ketika isteri sedang emosi.
- Bersabar menenangkan isteri.

Oleh itu, perhatikan sejak awal bagaimana bahasa kasih sayang pasangan anda dalam mengambil hatinya ketika berlaku salah faham, krisis atau rajuk-merajuk.

Ada ke yang sedang merajuk hari ini? :)

Pujuklah pasangan anda. Ia sunnah rupanya.

Untuk tempahan boleh klik sini :


Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Rabu, 12 Disember 2018

Melukis kulit hadapan buku


Sudah beberapa hari anak-anak tidak belajar dengan konsisten. Kebanyakan Masa dipenuhi dengan bermain Lego.

Jadi hari ini sebelum ummi masuk dapur, beri tugasan kepada mereka.

1) Pilih buku yang disukai dan baca.
2) Lukis kulit hadapan buku dan warnakan.
3) Jawab beberapa soalan berdasarkan buku yang dibaca.

Lalu, ummi ke dapur memasak untuk tengahari. Aktiviti ini saya kira sesuai untuk anak yang sudah sekolah. Jika yang berumur 6 tahun ke bawah tak sesuai untuk anak saya sebab mereka tak mahu lukis. Hehe.

Anak-anak memilih buku Siri Seronoknya Membaca. Dalam buku ini ada 2 cerita. Jadi berbaloilah dengan harganya. RM40 untuk 1 set (1 set ada 6 buah buku cerita). Secara langsung, mereka dapat baca 12 cerita.

Ini hasilnya. 




Nak ajak makan tengahari pun payah sebab masing-masing nak siapkan kerja. Haih, pulak dah.

Selamat bercuti :)

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Selasa, 11 Disember 2018

Infak kelas mengaji


Semalam, saya ada pos satu status di Facebook berkenaan cerita seorang anak kelas mengaji yang tidak dapat mengikuti rombongan kami Khamis ini. Rentetan itu, beberapa orang insan terpilih meminta nombor akaun untuk memberi sumbangan. Allahu Allah. Malunya saya rasa.

Saya jenis orang yang suka mencatat. Ia bagaikan jurnal harian sahaja selain menulis untuk kenangan di masa hadapan. Tetapi dengan post berkenaan tiba-tiba akaun anak-anak kelas mengaji bertambah murah rezeki mereka. 

Jumlah infak sudah mencecah 4 angka. Ya Allah, kami tak terbalas jasa semua penderma. Barakallahufikum!

Semoga anak-anak in beroleh ilmu Dan para penginfak diberkati oleh Allah. Amin..Amin..

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Bab Saidatina Aisyah Mengintip Baginda



Dalam babak ke-14 dalam Asam Garam Rumah Tangga Nabi ini dikisahkan tentang Saidatina Aisyah mengintip baginda keluar malam. 

Ia terjadi tatkala sudah waktu tidur tetapi baginda keluar senyap-senyap barangkali menyangka Saidatina Aisyah sudah tidur.

Isteri baginda yang satu ini rupanya belum lelap tetapi bingkas bangun dan mengekori baginda sehingga ke Baqi'. Apabila baginda beredar pulang, Saidatina Aisyah bergegas dan berjaya sampai ke rumah dahulu.

Sudah pasti baginda hairan dan bertanya keadaan isterinya yang mencungap-cungap. Akhirnya Saidatina Aisyah menceritakan hal sebenar. 

Hadis ini panjang lagi kisahnya namun saya tertarik dengan point penting peristiwa ini :

1) Jangan semudahnya mengejutkan pasangan yang sedang tidur. Subhanallah, nampak remeh tetapi sunnah baginda rupanya.

2) Memberi penjelasan supaya hilang syak antara satu sama lain. Bersikap telus dan jujur.

3) Dibolehkan check pasangan masing-masing.
~ Baca mesej di telefon, emel dsb. Jangan jadi gaduh pula. Hee..
#AsamGaramRumahTanggaNabi

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak
Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015