Khamis, 25 Mei 2017

Tersentuh


Terbaca di blog rakan maya :

"Hargai momen kecil, nikmati ketika ada." - Pn Zaila Hafni

Tersentuh.

Setiap hari ada sahaja perkara yang tidak puas hati. Astaghfirullah. Cepat-cepat kembali ke alam sedar. Jika tidak, perasaan tidak puas hati meraja dalam diri.

Pandang pada kelebihan yang kita ada. Lihat pada kemudahan yang Allah beri kepada kita. Bersyukur itu tanda bahagia. 



Salam ramadan al-mubarak. Semoga ramadan ini lebih hebat dan lebih baik dari tahun-tahun sebelum ini. Doakan saya sekeluarga juga. Jazakallahu khaira.


Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Rabu, 24 Mei 2017

Mati - sebaik-baik peringatan!



Sabtu lepas, kami menerima perkhabaran seorang rakan suami telah meninggal dunia.

Beliau menghidap kanser usus sejak setahun yang lalu. Suami kerap membantu membelikan keperluan beliau.

Dikisahkan oleh suami, mudah-mudahan arwah diberkati Allah. 

Sehari sebelumnya, beliau dikejarkan ke hospital kerana sudah tidak mampu bergerak. Setelah dimasukkan ke wad ICU, dia sudah tidak boleh bercakap. Namun, hebatnya kuasa Allah, kira-kira jam 11 malam beliau nazak, isteri dan ibunya membantu dengan menyebutkan "La ila ha illallah". Beliau mampu sebut sebanyak 6 hingga 7 kali!

Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam bersabda :

“Barangsiapa akhir ucapannya Lailahaillallah, dijamin ia masuk syurga.” [HR. Abu Ya’la Dari Abi Said]

Subhanallah 😭

Semasa beliau hidup, diakui beliau seorang yang berpegang kepada agama. Sehinggakan apabila terdengar bunyi azan, beliau menangis.

Apabila ditanya mengapa menangis? "Saya menangis sebab sedih. Dengar azan tapi tak dapat solat di masjid."

😭

Sungguh, mati itu satu peringatan yang sangat berkesan! Semoga kita jua beroleh husnul khatimah. Amin..

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Ayah


Pagi tadi ternampak seorang rakan kongsikan gambar hiasan kerawang yang ada di sebuah sekolah. Ia hasil usaha gigih seorang guru yang menghias kelas (atau bilik khas. Saya tidak lihat lebih terperinci tadi).

Spontan saya teringatkan ayah. 

Ayah memang tangan berseni. Namun bakat itu tidak turun kepada anak-anak. Haha.. Saya merasakannya begitu.

Saya tangan bangku sehingga semasa di sekolah rendah dahulu saya tertekan apabila tiba subjek Pendidikan Seni. Asyik melukis sahaja. Tetapi cikgu tak pernah ajar cara melukis dengan betul. Kecil-kecil sudah memberontak, kan? Ayah banyak tunjuk ajar subjek pendidikan seni di rumah semasa saya berada di tahap 1. Kemudian ayah lebih senang memantau dari jauh sahaja. 

Namun, saya dan adik merasa juga memasuki pertandingan mewarna di sekolah. Ayah bersungguh latih kami dua beradik melukis rumah tradisional melayu dan cara mewarna dengan betul. Waktu itu saya sangat kagum dengan hasil lukisan ayah. Tetapi saya tidak pandai mewarna. 

Ayah banyak melukis mural di dinding sekolah tempat ayah bertugas. Ayah memulakan usaha membina Bilik Warisan dan Taman Herba (malangnya kedua-duanya sudah tiada lagi) dan paling saya ingat ayah terkenal sebagai jurulatih bola sepak sekolah rendah kami dahulu. Latihannya memang keras dan berdisiplin tinggi.

Namun ianya terbayar apabila sekolah kerap menjuarai mana-mana kejohanan bola sepak yang disertai. Salah satu kenangan manis (saya rasa) apabila salah seorang anak didik ayah terpilih mewakili negara ke kejohanan bola sepak remaja bawah 19 tahun. Anak murid ini berusaha menghubungi ayah dan memaklumkannya melalui telefon. Allah, hati guru mana tidak gembira. Sedangkan dia sudah bertahun-tahun meninggalkan bangku sekolah rendah. Dan saya tabik dengan anak didik ini yang masih mengingati jasa seorang guru.

Ayah pernah mengajar mata pelajaran Alam dan Manusia, Matematik, Sains, Kemahiran Hidup dan Pendidikan Jasmani. Namun yang paling diingati ialah ayah seorang cikgu yang garang! Saya selalu berharap agar ayah tidak masuk ke kelas untuk relief. Kecut perut.

Pernah sekali saya tidak mahir dalam topik pecahan. Ayah berjaga sepanjang malam mengajar saya sehingga mahir. Hanya beberapa jam! Alhamdulillah, saya terus skor topik berkenaan meskipun keesokan harinya saya ke sekolah dengan wajah yang sembap akibat tidak cukup tidur dan banyak menangis 😄

Malangnya gambar mural sekolah yang ayah lukis tiada lagi dalam simpanan kami. Yang ada pun saya kira hanya sekeping dua dalam komputer lama. Di dinding sekolah-sekolah berkenaan juga sudah lama diganti dengan cat lain. Sayang.

Inilah salah satu mural yang ayah lukis suatu waktu dahulu. 


Saya tidak pasti sama ada arca pensel masih ada di sekolah SKDDH, Bukit Katil dan binaan air terjun di SKM. Mujur ayah sempat lukiskan sebuah lukisan alam dan diletakkan di ruang tamu rumah.

Melewati fasa sebagai guru praktikal suatu masa dahulu, tiba-tiba saya boleh melukis bahan bantu mengajar dengan lancar. Eh? Bukan tangan bangku rupanya saya ini. Mungkin tidak pernah diasah sahaja. Haha.. perasan pula.

Kini, selepas bersara, ayah lebih senang dengan sukan baru yang diceburinya - berbasikal. Berpuluh jambori disertai, medal-medal bergantungan di dinding rumah. Cucu-cucu pun sudah maklum, atok pergi main basikal. Haha..

Barakallahufik ayah 💖💖💖

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Selasa, 23 Mei 2017

#SayaBersyukur


Saya bersyukur hari ini kerana :

1. Allah memberi kesihatan kepada saya. Hari ini tak perlu ambil inhaler. Alhamdulillah.

2. Dapat bantu suami selesaikan tugasan hakiki.

3. Anak kedua sukarela membaca al-Quran sehingga dua muka surat dengan gembira.

4. Dapat masak untuk mertua dan mak ayah.

5. Dapat baca dua juzuk. Kena kuat usaha lagi untuk baca al-Quran.

6. Memulakan bacaan sebuah buku (sudah lama tidak membaca buku dengan fokus).

7. Dapat pergi kuliah maghrib di masjid.

"Maka nikmat Tuhanmu yang manakah mahu didustakan?"

Stay positive! Insya Allah.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Rabu, 17 Mei 2017

Ulasan buku : PhD Mama oleh Dr Nik Salida Suhaila dan Bahrudin Bekri



Subhanallah Dr @salidasuhaila99 💗

Saya kagum dengan PhD Mama ini. Perjalanan getir dan usaha yang bersungguh membuahkan hasil yang manis insya Allah.

Saya suka pemilihan kata dalam buku ini. Nampak bersahaja dan dekat dengan pembaca.

Saya terkesan dengan disiplin ketat Dr Nik Salida Suhaila dalam belajar. Dan nasihatnya kepada pelajar-pelajar dalam menuntut ilmu.

Menuntut ilmu memang payah. Mencabar. Hati perlu kuat. Hati perlu kering. Sebab itu Allah janjikan syahid sekiranya mati ketika menuntut ilmu.😢 Kedua, pengalaman Dr melahirkan anak sulung. Melalui 4 kali induce, masalah bius, tidak sedarkan diri selama 3 hari selepas pembedahan dan beberapa hal lain membuatkan saya terbayang-bayang keadaan Dr. Allahu akbar 😭

Saya juga melihat sisi positif masyarakat di UK terutama bab akhlak dan sistem pendidikan awal kanak-kanak di sana.

Insya Allah, mahu pertingkatkan lagi penekanan adab dalam diri anak-anak.

Buku 28 / 2017

#KembaraBuku2017 #Goodreads #ReadingChallenge #FitrahHomeLibrary #parentingbookbyTHUA #bookreview #goodreadsmalaysia #makemalaysiareadagain


Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Buku... pelaburan yang tidak merugikan

Buku .. pelaburan yang tidak merugikan.




Memang ada banyak buku di pasaran. Pilihlah yang sesuai dan mempunyai kandungan yang bagus.

Jika mampu, balut buku dan letak di tempat yang sesuai - elak cahaya matahari secara terus atau elak buku terhimpit padat.

Dahulu pernah hadir kursus guru perpustakaan, antara modul literasi maklumat ialah memperkenalkan kemahiran perpustakaan kepada anak didik.

Misalnya, perkenalkan buku.

1. Tunjuk kulit hadapan buku. Lihat tajuk buku, pengarang, ilustrator, penerbit.
2. Buka muka surat pertama atau kedua. Ada tulis maklumat buku. Ajar cara baca - no ISBN, jenis buku (fiksyen, bukan fiksyen dan sebagainya).
3. Perkenalkan sinopsis buku. Biasanya ada diletak di belakang buku.

Ada pelbagai aktiviti buku yang boleh dibuat bersama anak-anak. Insya Allah.

Jom membaca! 💪

#FitrahHomeLibrary
#dulucikgupss


Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Selasa, 16 Mei 2017

Hadiah Buku di Hari Guru




Kebelakangan ini sudah jadi trend, sambutan Hari Guru ada tema masing-masing. Secara peribadi, saya okay sahaja jika temanya sesuai. Misalnya tema "Jika Aku Bukan Guru", " Kembar Seiras" dan "Pakaian Tradisional di Malaysia" (sekadar menyebut beberapa tema).

Banyak lagi tema seperti "Rock", "Back To School", "Padang Pasir" dan sebagainya. Guru-guru haruslah sesuaikan jangan sampai melanggar prinsip asas menutup aurat. Jagalah aurat, elakkan tabarruj. Semoga Allah reda.

Biasanya sibuk dengan program tukar hadiah sempena hari Guru, tetapi tahun ini saya menyambutnya di rumah sahaja. Tiada hadiah pun 😆 Cukuplah doa dan ingatan yang diterima lewat SMS dan WhatsApp.

Gambar ini ialah hadiah untuk program tukar-tukar hadiah antara guru di sebuah sekolah. Bajet RM30.

1) How To Talk So Kids Will Listen & Listen So Kids Will Talk RM25.00
2) Amalan 24 Jam Dalam Kehidupan Rasulullah SAW RM5.00


Maklum balas yang saya terima, budaya memberi buku belum lagi diterima sepenuhnya di sekolah. Dengan harga RM30 memang sukar mendapat buku yang tebal, besar dan hebat pada pandangan orang. 

Entahlah.

Semoga pemberi dan penerima mendapat manfaat atas kebaikan yang dilakukan. Wallahualam.

#parentingbookbyTHUA #hadiahhariguru


Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Khamis, 11 Mei 2017

Aktiviti kraf daripada buku My First ABC From The Quran (f - g)


Masih lagi berdasarkan buku My First ABC From The Quran 😊


F - Fish


Kami buat semasa minggu cabaran 1 Hari 1 Aktiviti anjuran Mama Q dahulu.



Boleh ikuti cara membuat origami ini di sini.


G - grapes (عنب    )

Alhamdulillah, anak-anak sangat enjoy buat kraf anggur ini. Ummi sahaja tak enjoy. Aduhaiiii kena banyak sabar lagi. Ish..ish..ish.. 

Kami gunakan :

Bubble wrap
Warna air
Air
Berus warna / berus gigi lama

Potong bubble wrap bentuk anggur dan daun, anak warnakan dan tekap pada kertas lukisan.





Awalnya kami buat beberapa kali sebab bila diwarnakan pada bubble wrap warnanya seakan hilang. Rupa-rupanya ada sahaja. Bila ditekan pada kertas lukisan, hah, banyak sangat warna airnya 😃



Kena pandu seorang demi seorang. Tapi biasalah budak-budak, tak sabar bila nampak warna air, kan.. 😂

Sebelum buat aktiviti eloklah kawasan aktiviti dialas plastik atau suratkhabar ya. Bila tertumpah atau terconteng boleh lap atau buang terus.

Warna kuning - anak nombor dua punya. Dia dah penat. Maka anggurnya sambung sebelum tidur 😁 Warna biru ungu sebelahnya ialah hasil anak nombor tiga yang berusia 2 tahun 8 bulan. Warna hijau - anak buah berusia 3 tahun 6 bulan.

OK, looking forward for next craft g, h, i, ...... z! 😉

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Khamis, 4 Mei 2017

Belajar membaca


Suatu tengah hari, adik ipar saya bertanya kepada anak nombor dua.

Makcik A : Abang Ngah dah baca buku?

Abang Ngah : Dah.

Makcik A : Oh, Abang Ngah dah belajar membaca ke?

Abang Ngah : Tak.

Makcik A : Eh, nanti macam mana Abang Ngah nak baca buku?

Abang Ngah : Takpe, akak kite bacakan.


Ahaks! Tersedak ummi dengar. Itulah, Abang Ngah si penghibur hati 😅

Hari ini sambil tasmik kakak Juz 30, ajak dia sekali. Subhanallah, diam tak diam sudah 26 surah dihafaznya. 


Ummi : Masya Allah, Abang Ngah bila Abang Ngah hafaz?
Abang Ngah : Yelah, Abang Ngah kan baca Quran banyak.

Err... oh, patutlah setiap hari dia baca surah belakang (Juz 30) sebelum baca bacaan yang di hadapan 😊 Barakallahufik abang ngah!

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Rabu, 3 Mei 2017

6 bulan



Alhamdulillah, minggu ini anakanda menginjak ke usia enam bulan. Saya baru sempat semak carta perkembangan anak usai enam bulan seperti berikut :



Sumber : Jurnal Si Cilik


Saya terfikir apa lagi aktiviti yang boleh dilakukan dengan bayi berusia enam bulan ini? Yang biasa saya lakukan :


🍏 Membaca bersama bayi

Buku Siri Delima terbitan Ameen Cepat Baca sangat digemari anak-anak. Buku ini sesuai dari umur 8 bulan sehingga usia 3 tahun. Saya pernah sebut di sini.







🍏 Sebut dan tunjuk anggota badannya ketika mandi, buka dan pakai pakaian
🍏 Sesekali cipta cerita sendiri :

Cip, cip, cip
Bunyi apa tu?
Bunyi burung!

Kok, kok, kok,
Bunyi apa tu?
Bunyi  ayam!

🍏 Adakala menyanyi kecil :

Wahidun satu
Isnani dua
Salasatun tiga
Arbaatun empat

(saya guna rima Sepohon Kayu 😉)

🍏 Golekkan bola pada bayi
🍏 Galakkan dia menggenggam
🍏 Buat botol sensori (guna fur balls warna-warni masukkan dalam air dalam botol mineral)
🍏 Main au-cak!
🍏 Berjalan-jalan sekitar rumah sambil lihat pokok, burung, kenderaan
🍏 Berbual!

Image result for Permainan untuk bayi 6 - 12 bulan ; Aktiviti Bersama Ibu Bapa


Boleh juga rujuk buku Permainan untuk bayi 6 - 12 bulan ; Aktiviti Bersama Ibu Bapa terbitan AmeenBooks. Ada lebih 50 permainan dikongsikan. Antaranya :

🍏 Melepaskan tekanan - bayi suka didukung dan dipeluk kerana mereka rasa lebih selamat.
🍏 Bayi kan suka meneliti tangan dan kakinya. Kita boleh jadikan aktiviti bersama. Pegang tangannya dan kata goncang, goncang, bing! Sambil cuit tangannya.
🍏Permainan menjatuhkan.

Sediakan tin dan bola. Masukkan bola ke dalam tin. Ting! Bayi pasti seronok dengan bunyi ini :)

🍏 Keseronokan merangkak.

Susun objek di atas, di bawah, di belakang bantal untuk menggalakkan anak mencapainya.

Masukkan pakaian atau permainan di dalam bakul. Galakkan anak merangkak dan keluarkan objek dari bakul.

🍏 Permainan sudu

Bayi kecil suka bermain sudu, kan? Berikan mereka sudu besi, sudu plastik dan sudu kayu. Beri mereka teroka dan ketuk sudu di lantai, pada bakul, suratkhabar dan sebagainya. Tanya soalan : adakah sudu berbunyi? Adakah sudu berlaga? Yey!

Ini dapat melatih koordinasi tangan dan mata bayi.

Wallahualam.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Selasa, 2 Mei 2017

Sesi Bercerita : Biji Benih Yang Ajaib


Buku Biji Benih yang Ajaib ini adalah terbitan Info Didik. Ianya berkulit keras dan sekali pandang saya teringat pula buku-buku semasa kecil dahulu. Reka letaknya hampir serupa. Akan tetapi, cetakan buku ini masih baharu lagi.

Buku ini berkisar kehidupan seorang petani yang gigih menyara keluarga dengan pendapatan yang sederhana. Kelebihan beliau ialah sifat jujur dan baik hati. Suatu hari, seekor burung cedera dan petani inilah yang merawatnya sehingga pulih.

Suatu hari, si burung kembali kepadanya dan memberi sebiji benih ajaib. Dia menanam biji benih itu sehingga ia tumbuh menjadi sebiji labu yang sangat besar. Ketika labu itu dibelah alangkah terkejutnya petani dan isteri apabila  mendapati ada banyak emas permata di dalamnya. Itu adalah ucapan balasan dan penghargaan si burung kepada petani. Kaya-rayalah petani dan keluarganya.

Cerita petani menjadi kaya telah sampai ke pengetahuan raja. Beliau seorang yang jahat dan tamak. Lalu dicarinya burung itu dan ditembak, dibawa pulang dan dirawat dengan harapan akan mendapat balasan seperti si petani.

Memang burung itu memberi biji benih ajaib kepadanya. Namun, apa yang berlaku? Apabila buah labu itu membesar dan dipotong, alangkah terkejutnya raja apabila mendapati ada seorang lelaki bersenjata di dalamnya! Lelaki itu ditugaskan untuk membunuh raja kerana sikapnya yang tidak berperikemanusiaan.

***********

Anak bertanya kepada saya, bolehkah orang masuk dalam labu ummi?

Erk,,😆

Saya katakan : tidak boleh. Tetapi ini kisah dongeng atau teladan. Tujuan cerita ini dibuat supaya kita dapat ambil nilai dan pengajaran di sini.

Apa yang kamu dapat dari cerita ini?

Anak-anak menjawab : buat baik, dapat baik. [Haha..bolehlah, faham sahaja maksudnya cuma susunan ayat itu tidak betul 😉] Buat jahat, orang tak suka.

Masya Allah! Siapa sangka anak berusia 3 dan 4 tahun ini mampu "tangkap" nilai dan pengajaran yang hendak disampaikan.

Terima kasih duhai anak, ummi belajar sesuatu dari kamu.

* Buku ini dibaca pada 23 April 2017

#readaloud #FitrahHomeLibrary #Misi1000BukuSetahun


Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Isnin, 1 Mei 2017

Sesi Bercerita : Allah Sayang Kita 5


Sumber gambar : Laman web Ana Muslim

Suka buku besar begini. Buku Siri Allah Sayang Kita terbitan Blue T Publication. Gambarnya jelas dan berwarna penuh. Meskipun ayatnya agak panjang tapi OK sahaja sebab ada tukang cerita 😆

Ada dua kisah di dalamnya iaitu Pinpin ke Sekolah dan Masa Itu Emas. Si kakak bacakan kisah Pinpin pada sebelah siang dan sebelum tidur dibacakan Masa Itu Emas.


Pinpin mengikut rakan-rakannya pergi belajar di sekolah. Dia seronok belajar mengenal huruf, menyanyi dan beraktiviti. Dia juga hormatkan guru dan rakan-rakan.

Kisah Masa Itu Emas. Seekor anak kuda laut yang suka menangguhkan kerja. Waktu cuti dihabiskan untuk tidur dan bermain sahaja. 

Akibatnya kerja rumah tidak siap dan tidak dapat jawab ujian dengan baik.

Pengajarannya jangan menangguh kerja. Nak berjaya kena banyak sabar dan berusaha bersungguh-sungguh. Jangan lupa doa! 💖

* Buku ini dibaca pada hari Khamis, 27 April 2017.


Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak
Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015