Ahad, 29 April 2018

Playgroup anak-anak menggunakan Kad Imbas Khadijah


Alhamdulillah, bersyukur kerana Allah izinkan playgroup ini berjalan lancar.

Kami berbesar hati atas kesudian Pn Khadijah Gani berkongsi pengalaman beliau mendidik anak mengenal huruf hijaiyah dan seronok mengaji al-Quran.


Antara untaian ilmu yang dapat dikutip sepanjang program :

☑ Bagi pendapat beliau, sebelum mengajar anak huruf berbaris, haruslah diajar terlebih dahulu huruf tunggal hijaiyah. Ini kerana di dalam al-Quran ada surah tertentu yang bermula dengan huruf tunggal.

Beliau pernah bertemu dengan anak didik kelas mengaji yang membaca alif .. lam .. mim sebagai a ~ la ~ ma.

Maka sejak dari itu, beliau mengenalpasti kelemahan dan perbaiki dari awal.

☑ Selepas anak-anak menguasai huruf hijaiyah tunggal, boleh ajarkan anak huruf berbaris atas, bawah dan hadapan dengan serentak. Sebab itulah bermulanya inovasi Kad Imbas Khadijah (KIK) ini.

Dengan lambakan gajet sekarang ini, anak-anak kita memang tidak boleh lari dari penggunaan gajet. Kerana ini memang zaman mereka. 

Jadi penggunaan KIK boleh dibuat dalam pelbagai cara. Sebutan, permainan, padankan dan sebagainya. Meraikan fitrah anak-anak belajar sambil bermain dan kebolehan belajar masing-masing sama ada jenis visual, audio atau kinestetik.

☑ Selepas anak menguasai huruf tunggal hijaiyah juga, bolehlah gunakan pelbagai teknik baca Al-Quran yang terdapat di pasaran. 

Teknik-teknik ini sama seperti teknik ajar anak membaca bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Tidak kisah pun kaedah apa yang ibu ayah mahu pakai. Yang penting asasnya perlu kukuh.

Antara teknik bacaan yang ditunjuk oleh beliau ialah : 
- iqra'
- iqra' at-taisir
- Kaedah Al-Matien
- Muqaddam Nur al-Hayah resm uthmani.

Boleh cari di pasaran jika berminat mengetahui kaedah yang digunakan.

☑ Inovasi Kad Imbas Khadijah

Menggunakan emoticon untuk menarik minat anak-anak belajar. Kreatif, kan? Dengan gaya buka mulut untuk huruf berbaris atas, gaya nampak gigi untuk huruf berbaris bawah dan muncungkan mulut untuk huruf berbaris hadapan.

(Siapa ya yang bertuah dapatkan Busy Book KIK dahulu? Crafter terkenal yang buatkan busy book tersebut. Memang sangat kemas dan comel!)

☑ Teknik menggunakan KIK

Cara beliau ialah ajar 5 huruf sehari. Jadi dalam masa seminggu anak-anak sudah mengenal dan mengecam huruf tunggal hijaiyah ini dengan baik. Masya Allah!

Bagi anak-anak yang mempunyai masalah sedikit, biasanya akan ambil masa selama 2 minggu untuk kenal semua huruf hijaiyah tunggal ini.

Walaupun banyak testimoni dan maklum balas yang anak-anak mampu mengecam dalam masa 7 hari, tidaklah beliau gunakan untuk claim produk KIK ini kerana cara belajar setiap anak adalah berbeza.

Cara bermain :

Mengecam huruf hijaiyah tunggal

Selerakkan kad.
- Cuba cari di mana huruf yang tegak macam pokok kelapa?
- Cuba cari gambar bentuk kapal?







Mengenal pasti huruf berkembar

- Susunkan kad huruf berkembar dan kenal pasti huruf apa.yang tidak ada kembar?

- misalnya sin - syim
Sod - dhod
Tho - zho 
dan seterusnya


Bagi menyokong pembelajaran dengan Kad Imbas Khadijah ini, beliau reka dua helai poster besar. Satu, mengandungi huruf tunggal hijaiyah. Dua, huruf berbaris dengan emoticon tersebut.



Ada juga yang dapat hadiah dari Pn Khadijah :

Peserta pertama menerima hadiah. Tahniah Aisyah!

Senyum simpul Abang Ngah dapat hadiah

Hadiah untuk ibu - dimenangi oleh Pn Fadhilah. 

Alhamdulillah. Sungguh pun hujan lebat dan program berakhir lewat petang, kesemua 17 keluarga yang hadir tetap setia sehingga ke akhir majlis. Saya harap semua sempat menikmati jamuan yang disediakan. 

Saya selaku penganjur memohon maaf atas kekurangan dan kelemahan sepanjang mengendalikan sesi ini. Jika ada kebaikan, moga bermanfaat dan dapat disebarkan lagi kepada orang lain.

Istimewanya, apabila dapat bertemu dengan Pn Khadijah sendiri, mendengar perkongsian dan tip menulis daripada beliau. Subhanallah 💟


Ini sahaja yang sempat ambil gambar usai playgroup

Juga bertemu semula rakan lama sejak dari kampus maktab perguruan ; Nurul Khairun Naim sekeluarga, Kak Fida (agen dari Team LIN) yang awet muda 😉, Pn Ili (pelanggan tetap Tip Homeschooling Untuk Anak 😉), Pn Fatimah dan anak, Humairah dari Kuala Linggi dan rakan maya Pn Fatimah yang gigih memandu dari Seremban bersama 3 anak kecilnya.


Bersama Khairun. Sama-sama ada karya sulung baru terbit tahun ini 😍

Kak Fida



Masya Allah tabarakallah.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Buku Resipi dan Resipi Semperit


Orang dulu-dulu (orang tua) mesti ada buku resipi sendiri, kan? Saya suka lihat buku resipi mak saya. 

Buku tebal, warna coklat, ada daftar isi kandungan (resipi), bilangan muka surat yang dinomborkan dengan tulisan tangan dan sudah pasti tulisan resipi! 

Adakalanya sudah berconteng dengan nota tambahan, sama ada menggunakan pen biru atau pen merah.

Sebenarnya sudah sekian lama mak menyuruh kami menyalin semula resipi-resipinya. Seingat saya sejak saya mula masuk universiti hampir 20 tahun lalu. Tapi kami sempat buat separuh jalan sahaja. Menulis tangan tau. Haha. Agaknya kami tak cukup gigih waktu itu.

Kini, buku resipi mak sudah semakin rapuh. Perlu berhati-hati untuk selak halaman demi halaman. Ya Allah, moga saya sempat tulis / catat semula resipi mak ni.

Beberapa hari lalu, mak mengirim sekeping kertas melalui anak saya dengan pesanan : "Beri pada ummi. Ini salinan asal resipi semperit nek ummi."


Saya terkedu.

Ya, kami sudah lama tak buat semperit klasik ini. Allah, moga saya dapat tunaikan hajat emak tahun ini.

Baik, saya kongsikan resipinya. Maaf ya tiada gambar. Nanti jika berkesempatan buat, saya ambilkan gambar insya Allah.

Kuih semperit.

Bahan-bahan 

1 biji telur (kuning sahaja)
1 ¼ cawan gula icing
1 cawan tepung jagung
1 cawan tepung kastard
2 cawan tepung gandum
1 cawan planta
1 camca teh vanila
¼ camca teh baking powder

Cara-cara :

1. Gula dan planta pukul agak kembang.
2. Masukkan kuning telur dan kacau.
3. Masukkan vanilla. Kacau.
4. Bila sebati, masukkan semua tepung dan uli sehingga sebati.
5. Terap.

* Tip : jika adunan keras, tambahkan planta sedikit semi sedikit sehingga lembut seperti yang dikehendaki.

Boleh sahaja double the ingredients jika mahu buat banyak.

Semoga bermanfaat 😃

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Jumaat, 27 April 2018

Playgroup anak-anak


Alhamdulillah!

Syukur kepada Allah yang mengizinkan program berjalan lancar. Meskipun bermula lewat sedikit dan hujan lebat, moga ada manfaat dari program ini.

Tak sempat mencoret lebih panjang. Tunggu saya buat reviu lain.

Terima kasih Pn Khadijah Gani dan semua peserta. Memang awesome!

Maaf ya puan, saya pun nervous juga tadi. Tetiba terus serah mikrofon sebaik sahaja beliau tiba 😅

Sekalung penghargaan juga buat suami dan keluarga serta anak-anak kelas mengaji yang menjadi tulang belakang Playgroup hari ini. Tanpa kalian memang tak dapatlah majlis berjalan dengan baik. Barakallahufikum.

Belanja gambar sedikit 😉

Sesi penerangan dan tip dari Pn Khadijah Gani

Sesi permainan

Jumpa nanti ya dalam entri reviu. Malam ni mahu melepaskan lelah dahulu. Anak-anak pula seronok sangat mengemas sambil main hujan 😅

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Ulasan buku : Kembara Sastera Nisah Haron


Pulang dari musafir bulan lalu, saya terus capai buku Kembara Sastera Nisah Haron.

Sudah hampir sebulan Mac namun saya masih belum dapat habiskan satu buku.

Lembaran demi lembaran dibaca. Terbayang pemandangan yang diceritakan. Membuai rasa. Terutama tentang District Lake. 

Alam semulajadi yang masih dipelihara di situ rupanya menjadi pencetus ilham buat ramai pengkarya tempatan. Misalnya Beatrix Potter yang terkenal dengan kisah Peter Rabbit dan The Tale of Jemima Puddle-Duck.


Juga, boleh difahami mengapa timbulnya book quote ini :

"If you have a garden and a library, you have everything you need."


Kemasnya taman kecil di hadapan rumah menggambarkan ketenangan dan memberi inspirasi.

Melewati pengembaraan Pn Nisah Haron, beliau nekad melawat tempat-tempat yang berkaitan dengan dunia buku. Semuanya digambarkan dengan baik.

Meskipun diakui beliau agak tergesa di beberapa tempat, tetapi kita fahami akan jadual perjalanan beliau yang perlu diikuti.

Memang tabik pada beliau. Kembara solo yang ditempuhi selama 2 minggu ini sudah diatur dengan terancang dan teliti. Seorang ibu, isteri dan WAHM (work at home mother), sudah pasti tidak mudah meninggalkan keluarga di tanahair demi impian dan cintanya terhadap dunia buku 😃

Semangat juga menggebu untuk lebih banyak membaca, menghargai karya orang lain dan menggalakkan anak-anak minat membaca.

Semoga kegemilangan ummah kembali asbab budaya membaca yang dipupuk sedari kecil.

Jom baca buku!

Buku 16 / 2018

#iRead2018

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Khamis, 26 April 2018

Close Sale Tips


Memasuki semula dunia perniagaan online, kali ini menemukan saya dengan insan-insan yang membuka lembaran pemikiran baru saya terhadap bidang jual beli secara maya.

Alhamdulillah bertemu leader yang sabar, berkepimpinan, islamik, pendorong dan pemberi semangat yang tidak putus. 

Banyak istilah baru turut saya pelajari. Namun, satu tips yang diberi oleh Kak Nur ini amat saya hargai. Saya amati setiap kali terasa lemah semangat. Namun, tips close sale ini boleh diaplikasikan pada semua keadaan. Tidak terhad untuk satu bidang sahaja.

 




Semoga bermanfaat.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Selasa, 24 April 2018

Stail anak belajar membaca


Kisah tengahari semalam.

Ummi dengan semangatnya mahu ajar Abang ngah membaca.

U : Abang Ngah ikut Ummi baca ye.
A.N : /c/ - crayon, clown...
/a/ apple, alligator....
/t/ tin, toe...
U : Ok, next page. Cuba Abang ngah baca.
A.N : /c/ /a/ /t/
* Diam*
U : Apa sebutannya?
A.N : *diam lagi*
U : Macam mana bunyinya?
A.N : miau..miau.. (dengan perlahan)
U : Dahlah Abang ngah, tutup buku. Kita sambung lain kali ya. Ummi nak tidur.


Sesungguhnya anak ini tak main-main. Ummi je bimbang jadi naga satg 😂

Memang dia belum bersedia dan tak tahu gabungkan bunyi.

* Kemaskini : baca kali kedua malam tadi, elok sahaja. Sebab itu kena sabarrrr 😆

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Khamis, 19 April 2018

Ulasan Buku : Cikgu Bankrap oleh Zaharoh Fajar Nina


Terasa hari-hari bekerja yang
dilalui hambar?
Mula bosan dengan tugasan?
Selalu tertekan dengan kerenah anak-anak di rumah?

Bacalah buku ini. Susunan bahasa yang tersusun cantik, mendamaikan jiwa yang resah dengan pelbagai tugasan, mengetuk minda untuk bermuhasabah, menusuk ke dalam hati coretan ringkasnya.

Benar, buku ini tentang seorang guru. Pengalaman sehari-hari beliau sepanjang menjadi guru menemukan pelbagai sisi dalam diri si anak. Dari sekecil-kecil anak sehingga ke remaja usia si anak didik.

Melihat bagaimana guru ini menyantuni anak-anak itu, menyentuh jiwa mereka dengan tarbiah islami serta berusaha menjadikan diri dan orang sekeliling faham agama membuatkan diri saya sedar bahawa tugas kita memang banyak.

Tanggungjawab kita (ibu bapa) bukan biasa-biasa kerana proses pendidikan anak bermula sebelum anak kita dilahirkan lagi. Perlu seiring dan menyokong anak walaupun anak itu sudah masuk sekolah.

Apa yang saya dapati, seorang guru itu harus berjiwa besar, hatinya kental dan tawakalnya tinggi kepada Allah. Mengajar manusia yang berperasaan bukan robot yang tidak bernyawa.

Jika direnung, bukankah kita juga boleh mengambil pelajaran dari naskah ini? Semoga kita juga kembali ke 'sana' bukan sebagai Cikgu / Ibu Ayah yang bankrap dari pahala!

Buku 18 / 2018

#iRead2018
#Goodreads
#readingchallenge

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Jangan nak mengada-ngada!


Gitulah pesan Dato' Dr Danial Zainal Abidin dalam ceramah Isra' Mi'raj di masjid kampung kami Sabtu lepas.

Gulp!

Sebenarnya beliau menyentuh isu parenting. "Ibu-ibu muda, mak ayah generasi baru, tak payahlah nak cerita kehebatan anak sendiri. Anak i kecil lagi tapi dah pandai macam ni, macam ni.."

No. A BIG no. 
Saya ni anak ada 8 orang tapi saya tak berani nak cerita apa-apa.
Kerana anak ini adalah ujian.

Lalu beliau mengaitkan dengan satu soalan jemaah yang bertanya : saya dah didik anak dengan baik semasa kecilnya. Dari segi solat terutamanya. Tapi bila umurnya 17 tahun, dia tak mahu solat lagi.'

Katanya, tugas ibu ayah PASAKkan akidah, ajar adab dan akhlak sejak anak kecil. Apabila anak meningkat remaja, di sinilah cabaran kita. Apa yang boleh buat, kita teruskan beri nasihat tanpa jemu. Semoga Allah menjaga anak kita.

Kedua, CHECK solat kita.

Jika ada suami isteri ada masalah dalam rumah tangga, periksa solat.

Jika ada yang menghadapi beban masalah, periksa solat kita.

Jika ada yang rasa runsing sahaja, periksalah juga solat.

Solat ini sangat istimewa. Ia satu-satunya ibadah yang diterima oleh Rasulullah SAW di langit tertinggi.

Jaga solat, insya Allah yang lain akan terjaga juga.

Memetik perkongsian Pn Khadijah Gani di dalam buku Bukan Sekadar Homeschooling, ibunya berpesan tidak perlu berkongsi semuanya di media sosial. Jika ingin berkongsi pun, sertakanlah sekali cara-cara dan bagaimana mendapatkannya. Atau jika orang bertanya terus, barulah kita menjawab dengan sekadarnya. Jangan menunjuk-nunjuk.

Masya Allah. Benar sekali. 

Saya juga mohon maaf sekiranya nampak pada tulisan saya seolah-olah mengangkat anak sendiri 😭 Saya berniat menulis kerana Allah. Moga ada manfaat yang orang lain dapat melalui idea yang Allah berikan ini. Juga semoga ada sedikit saham untuk saya bawa pulang berjumpa Allah nanti 😔

Doakan kami sekeluarga. 

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Rabu, 18 April 2018

"Takpe..takpe.. kakak sayang ummi"

Bila ummi sibuk buat kerja rumah, ada sahaja yang cari pasal dan menangis. Si kak cik jika menangis memang haru. Sekuat hati melaung. 

Bila ummi dalam keadaan penat, dah tak teringat tip ketap bibir tu (untuk tahan marah - idea Cikgu Kay), apa lagi bila dilihat yang 'bergaduh' ialah si kakak dan si kak cik.

Dua-dua kena. 
Allah 😔

Ummi terduduk. Baru waras sedikit dan bertanya, apa yang berlaku? Si abang ngah menerangkan. Si kak cik menjawab dan si kakak juga memberitahu dengan nada perlahan.

Rupanya, bukan berpunca dari kakak. Lantas ummi peluk kakak kuat-kuat dan minta maaf.

Kakak menangis. "Takpe ummi. Takpe. Kakak sayang ummi." Sambil sapu muka ummi 😭😭😭 Banjir air mata ummi. Bersalahnya.

Terdiam adik-adiknya lihat ummi menangis.

Ya Allah, daku mohon keampunan-Mu. Jadikan anak-anak yang soleh solehah dan menjadi penyejuk mata kami. Amin...

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Sesi bercerita : Burung Dengan Asap Tebal



Buku ini dari Siri 100 Buku Karangkraf yang terbit pada tahun 2015 dahulu. Sasaran pembaca ialah anak-anak di sekolah rendah. Harganya juga RM3 sebuah.

Burung Dengan Asap Tebal bertemakan alam sekitar dan jerebu.

Pada suatu hari, haiwan di hutan berasa bimbang kerana keadaan sekitar seperti tidak menyihatkan. Lalu si burung menawarkan diri untuk mencari punca.

Rupanya asap tebal Jerebu datang menyerang. Burung cepat-cepat meminta bantuan angin. Akhirnya jerebu pergi ditiup angin kencang.

Angin menerangkan punca pencemaran yang menyebabkan jerebu kepada si burung.

Alhamdulillah, akhirnya penghuni hutan berasa lega dan gembira kerana jerebu tidak lagi mengganggu.

+++

Bagus isi buku ini. Menerangkan tentang pencemaran udara kepada pembaca cilik. Meskipun sudah difiksyenkan, fakta itu masih sama dan diterima pakai.

Aktiviti berdasarkan buku

1. Peta Cerita

Mengandungi lokasi cerita, plot, watak, isi utama dan perasaan anak terhadap cerita yang dibaca

2. Pemahaman

Ini untuk Asma' (3+ tahun) dan Abdullah (5+ tahun)


3. Pemahaman

Punca pencemaran udara. Hanya tandakan pada jawapan yang betul. 

Ini aras kefahaman yang lebih tinggi untuk anak sulung dan anak kedua.


4. Mengenalpasti perasaan

Mungkin nampak tidak relevan tetapi saya cuba mengajak anak berfikir akan cerita yang didengari nya.

Caranya, imbas kembali apa yang berlaku dan apa yang dirasai oleh watak-watak dalam cerita. Misalnya, apa perasaan tupai apabila dia rasa sukar bernafas pada hari itu? Atau apa yang burung rasa semasa bercakap dengan Jerebu?


Tak sempat nak buat origami sebab anak mengambil masa yang lama pada peta cerita. Peta cerita tak siap pun dalam masa satu hari. Kami sambung berhari-hari 😛

Tak mengapa. Saya hanya ingin menekankan yang anak faham apa yang dibaca.

Itu sahaja, jumpa lagi.

* Gambar : koleksi peribadi

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Selasa, 17 April 2018

Karya Sulung 💟



Subhanallah alhamdulillah Allahu akbar.

Mendapat makluman bahawa semua karya diluluskan untuk diterbitkan. Dan karya saya juga tercetak di situ (pada muka surat 89) 😍

Memperkenalkan buku Kertas-kertas Yang Merubah Fikir!




Sebuah buku tentang buku menghimpunkan 21 orang pengarang yang berkongsi pengalaman awal membaca dan mengapa mereka terus membaca.




Sebenarnya ia adalah satu usahasama dalam projek kami di Goodreads Malaysia. Sebelum itu, saya perkenalkan web www.goodreads.com sebagai platform bagi pembaca / ulat buku / pembaca tegar berkongsi ulasan buku dan berbincang apa sahaja berkaitan buku di situ.

Ada satu "group" yang ditubuhkan dengan nama Goodreads Malaysia. Perbincangan ahli komuniti agak aktif sehingga kepada pertandingan mini mencipta logo, mengadakan temu santai GRMY, Jom Baca dan sebagainya.

Dan projek penulisan ini antara yang berjaya dilaksanakan!

Subhanallah, 21 orang pengarang ini terdiri daripada pelbagai latar belakang. Ada yang sudah menghasilkan karya-karya besar, Komik dan seumpamanya. 

Ada doktor pakar, penyunting bebas, karyawan buku, pekomik yang juga pemegang doktor falsafah, penterjemah, pustakawan, guru pendidikan khas (sayalah itu 😉), atase pendidikan dan bakal doktor.

Nah, tengok subtajuk sahaja sudah teruja mahu membacanya!

Mengapa tajuk ini dipilih?

Kertas-kertas Yang Merubah Fikir.

Merubah menurut kamus dewan ; rubah II bermaksud perubahan yang berlaku dari dalaman berbanding luaran.

Mengubah pula lebih kepada mengubah luaran seperti menyusun atur perabot.

Saya dengan berbesar hati membuka pre-order buku  Kertas-kertas Yang Merubah Fikir.

Harga buku : RM25.00
Harga pre-order : RM20.00 (sehingga 26 April 2018)

Kos pos : RM8 (Semenanjung) | RM12 (Sabah Sarawak)

Bagi yang berminat, klik sini ya :


Jumpa lagi.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Isnin, 16 April 2018

Siblings 😉



Hari ini Melaka cuti sempena Melaka Bandaraya Bersejarah. Pergi mana ya hari ini? Melaka ni terkenal dengan "Darul Traffic". Ye, sebab banyak sangat lampu isyaratnya 😂 

Nak "throwback" sedikitlah. Jarang nak bercerita pasal adik-beradik di sini. Bila terbaca 'post' adik di 'wall' beliau, serta-merta teringat mereka semua.

Yang nombor dua tak banyak cakap tetapi seorang pemikir dan teliti 😊

Yang nombor tiga, psikologi dengan orang (terutama orang tua) memang bagus, cekap, ada 'stand' sendiri dan jenis cool ya amat 😜

Yang bongsu, sejak ambil perubatan, memang tenang sahaja pembawakannya dan senang mudahkan urusan orang.


Masa kecil dahulu, boleh tahan juga kami ni gaduh-baik-gaduh-baik. Aduh, pening agaknya mak ayah kami.

Tapi masa kecil tu berlalu dengan cepat. Apabila adik nombor dua masuk asrama penuh selepas UPSR, tiba-tiba rasa kosong. Selalu juga sedih (baca : menangis) bila adik nak balik asrama naik bas. 😅

Masa terus berlalu, saya mula memasuki menengah atas apabila adik nombor 3 juga menerima tawaran ke sekolah berasrama penuh. Tinggallah dengan adik bongsu.

Begitulah. Akhirnya kami semua meninggalkan rumah kerana menyambung pelajaran, bekerja dan berkahwin. Untuk berkumpul semua beradik agak sukar meskipun kami hanya berempat sahaja.

Plan untuk bercuti ini pun dimulakan awal. Cekap sahaja adik-adik mengagihkan tugasan dan memastikan perjalanan percutian lancar dan terbaik 👍

Disebabkan anak-anak kami masih kecil, ditambah dengan 11 orang kanak-kanak riang ribena ini, saya membuat sedikit persiapan seperti membelikan sebuah buku tulis untuk setiap orang, pensel dan sebuah kotak pensel warna yang dikongsi pakai.

Disiplin dan social story pun sudah beritahu awal-awal. Huhu memang daku ummi / mak long yang garang 😂

Moga kita semua berkumpul di jannatul firdaus bersama semua ahli keluarga yang disayangi. Amin..amin..

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Ahad, 15 April 2018

Datang Bukan Kerana Gajah



Yahya bin Yahya, seorang perantau dari Andalus datang menimba ilmu dengan Imam Malik.

Pada suatu hari, semasa dalam kelas pengajian, lalulah seekor gajah. Anak-anak murid Imam Malik pergi keluar untuk melihat haiwan terbesar di darat itu.


Namun, tidak bagi Yahya bin Yahya. Imam Malik bertanya, mengapa kamu tidak pergi melihat gajah? (Gajah ialah haiwan yang sukar dilihat di negara Arab).

"Wahai tuan guru, aku datang ke sini untuk mencari ilmu. Bukan untuk melihat gajah."

Subhanallah, Imam Malik kagum akan kesungguhan Yahya bin Yahya sehingga diberi gelaran "Ulama Dari Andalus."

Kisah ini saya ambil dari buku Ikon Syabab yang ditulis oleh Dr Umar Muhammad Noor terbitan Telaga Biru Sdn Bhd.


Bercerita dengan Teknik Tampalan

Saya cuba mengaplikasikan teknik tampalan semasa bercerita dengan anak-anak. Meskipun saya rasa ia tidaklah begitu menepati teknik bercerita dengan kaedah ini tetapi sekurang-kurangnya saya dapat gambaran apabila mula membuat teknik tampalan.

Bagi yang berminat untuk bercerita dengan teknik tampalan, kita perlu sediakan latar belakang cerita terlebih dahulu. Diikuti watak, tempat dan apa jua yang ingin disampaikan (yang bersesuaian).

Lalu, berceritalah satu-persatu sambil tangan menggerakkan / menampal gambar-gambar yang telah disediakan.

Mahu maklumat lanjut? Boleh dapatkan buku 15 Teknik Bercerita terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Harganya ialah RM20 tetapi ada potongan harga sekiranya membeli atas talian mahupun di kaunter Kedai Buku DBP.

Penulis yang menulis buku ini memang diakui pengalaman dan bakat mereka dalam bercerita 😊👍

Ada 14 teknik lagi yang boleh diteroka. Selamat bercerita!

*Gambar : lukisan sendiri.
Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak
Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015