Rabu, 28 September 2016

Merancang aktiviti mingguan


Dahulu memang ada buat perancangan atas kertas. Biasanya tulis draf atas kertas dan mencari bahan berdasarkan idea dalam fikiran. Namun lama-kelamaan, saya semakin sibuk dengan tugasan di tempat kerja, maka aktiviti bersama anak biasanya datang secara spontan. Kekurangannya pastilah ada bahan yang tidak cukup.

Kini anak-anak semakin membesar, sudah ada pelbagai peringkat. Opss..maaf anak saya baru 3 orang. Namun jarak usia mereka dua tahun seorang jadi ada tiga tahap berbeza apabila mahu membuat aktiviti :)

Bagi anak di bawah 5 tahun ini saya fikir saya perlu kembali menumpukan lebih banyak perhatian kepada kemahiran motor halus dan kasar mereka. Yalah, rutin harian mengaji al-Quran dan bercerita memang perlu namun aktiviti tambahan seperti ini sebenarnya turut menyumbang kepada persediaan mereka belajar menulis, mengingat, mengkategori dan sebagainya.

Jadi, untuk permulaan, mari kita lihat. Apa yang boleh dirancang dalam seminggu?

1. Kemahiran motor kasar

2. Kemahiran motor halus

3. Kraf

4. Projek seni

5. Aktiviti luar rumah

6. Aktiviti bersama keluarga

7. Aktiviti membaca

Wah, banyak juga ya. Jadi sekarang boleh cari idea - 1 aktiviti bagi setiap kategori di atas.

Contoh perancangan 5 minggu dalam Jurnal Si Cilik


Senaraikan peralatan yang diperlukan. Catat atas kertas atau dalam planner anda. Kemudian, beraktivitilah mengikut pelan!

Selamat berseronok :)

Aina Dayana binti Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Fanpage : Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Sabtu, 24 September 2016

Bagaimana Menggunakan Jurnal Si Cilik dengan lebih berkesan?


Hari berganti hari. Anak kita semakin membesar. Banyak momen yang mahu kita rakamkan.

Ada orang memilih untuk merakam dalam kamera, telefon pintar, blog, laman sosial dan sebagainya.

Namun, saya percaya catatan adalah salah satu cara yang efektif merakam perkembangan anak-anak. Ada nilai sentimental di situ 😊😊 .

JURNAL SI CILIK direka khusus untuk ibu bapa. Bukan sekadar jurnal harian sahaja tetapi mengandungi :



*  4 pendidikan mengikut sunnah Rasulullah,
*kata-kata motivasi, 
* panduan perkembangan anak, 
* doa-doa kecemerlangan keluarga,
* carta perkembangan anak 0 hingga 6 tahun, 
*Jadual lapan jenis bakat anak
* idea belajar di rumah
*6 perkara yang ibu bapa perlu tahu,
* ada ruangan bagaimana menggunakan jurnal ini, 
* ruangan catatan sumber rujukan, 
* kos perancangan aktiviti anak-anak, 
* ruang catatan perkembangan anak secara mingguan dan bulanan, 
* ruang catatan bonda dan 
* ruang hasil kreatif si cilik untuk diabadikan.


Baik, ini beberapa contoh bagaimana menggunakan buku ini. Semoga dapat berkongsi manfaat dengan anda semua 😊


Pelan pembelajaran 5 minggu

Ruang perkembangan anak-anak
Ruang catatan bonda

Muhasabah kembali perancangan untuk seminggu atau 5 minggu :)

Menarik, bukan?

Harga RM35.00

Pos laju semenanjung RM6.00
Pos laju Sabah Sarawak RM9.00

Berminat boleh hubungi kami di 013-361 3516 😙

#jurnalsicilik #JurnalSiCilikbyTHUA #parentingtipbythua



Jumpa lagi.

Aina Dayana Hilmi
Emel : aindayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Fanpage : Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Rabu, 21 September 2016

Belajar Bahasa Arab asas


Semasa menuntut di maktab perguruan (kemudian dinaik taraf ke Institusi Perguruan), saya suka sekali menceduk ilmu dari para pensyarah pendidikan khas. Mereka sangat luas pengalaman dalam bidang ini dan sangat bersungguh mengajar.

Antara pesanan penting yang paling diingati ialah gunakan bahan yang ada di sekeliling dan pada tahun pertama mengajar, sediakan seberapa banyak BBM lalu dikumpulkan ke dalam sebuah kotak. Yang ini saya memang gagal sebabnya setiap tahun bertukar subjek mengajar (^_^;)

Sejak dahulu lagi memang suka mengumpul kalendar meja jenis ini. Banyak kegunaannya :)


Malam ini anak terjumpa semula bahan lama yang pernah digunakan untuk mengajar mereka bahasa Arab. Seronok mengulangkaji pelajaran. Saya titipkan sebahagiannya di sini.






Rasanya ada lebih dari 5 perbendaharaan kata lagi pada kalendar meja ini. Jika saya tidak silap, saya ambil free printable ini dari laman A Muslim Homeschool.

Jumpa lagi.

Aina Dayana Hilmi
Emel : aindayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Fanpage : Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Selasa, 20 September 2016

Dilema bawa anak kecil ke masjid


*Gambar : Koleksi peribadi

Beberapa hari lepas, suami membawa anak lelaki (berusia empat tahun) untuk solat Isyak berjemaah di sebuah masjid. Anak saya sudah masuk ke saf terlebih dahulu, suami lambat sedikit. 

Ada seorang pakcik dengan nada tinggi berkata, "Dah sunat ke belum? Dah sunat ke belum?" sambil mengarah pertanyaan itu kepada beberapa orang kanak-kanak yang berada berhampiran anak saya. Lantas, disuruhnya semua anak ini berada di saf belakang.

Suami terus membawa anak lelaki solat di sebelahnya. Pakcik itu agak marah. Namun, imam sudah memulakan solat. Selesai solat, suami dan anak pergi bersalam dengan pakcik itu dan berkata, "Anak saya dah sunat." Merah padam muka pakcik itu.

Allahu akbar. Bukan niat mencari gaduh tetapi menegur biarlah berhikmah dan dengan ilmu.

Moga kesedaran semakin meningkat dalam masyarakat kita. Perkara ini memang menjadi larangan di kalangan kita sejak dahulu lagi sehinggakan ada masjid / surau yang meletak papan tanda : Kanak-kanak di bawah usia 6 tahun dilarang masuk ke dewan solat.


Aina Dayana Hilmi
Emel : aindayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Fanpage : Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Isnin, 19 September 2016

Alternatif anak tak suka belajar guna buku




Setiap anak berlainan karakter. Ada yang cenderung dengan gaya pembelajaran visual, auditori atau kinestetik. Untuk menentukan anak kita dalam kategori mana, bolehlah berjumpa orang yang lebih arif dalam bidang ini atau buat carian di internet akan ciri-cirinya.

Secara umum, anak kinestetik ini dikaitkan dengan mereka yang terlebih aktif, dikatakan susah duduk diam dan tak minat belajar. Opsss .. nanti dahulu ya ibu-ibu, ayah-ayah, Anak-anak kita ini semuanya dilahirkan genius cuma didikan kitalah yang mencorakkan mereka :)

Memang jika dilihat dua orang anak saya yang besar ini, banyak perbezaan cara belajar kedua-duanya. Tapi tak boleh kata juga kan. Sebab setakat entri ini ditulis, si kakak baru nak masuk enam tahun dan nombor dua si abang kecil ini baru nak masuk umur empat tahun.

Tidak adil untuk bezakan mereka kerana umur sudah berbeza, jantina pun berbeza. Namun, ketika si kakak usia empat tahun, dia memang boleh duduk diam fokus untuk satu tempoh yang lama berbanding si abang kecil ini, duduk pun tak mahu. Hehe.

Saya ada terbaca, pada peringkat 0 hingga 6 tahun ini lebihkan aktiviti fizikal / psikomotor halus dan kasar kerana ia lebih banyak menyumbang kepada perkembangan positif anak-anak. Kemudian barulah diikuti dengan rangsangan visual dan auditori. Betulkan saya jika saya tersilap ya.

Mungkin boleh cuba aktiviti seperti di bawah bagi anak-anak yang kurang gemar duduk dan pegang buku :)


Dedahkan anak dengan buku sejak kecil. Lebih elok bacakan buku kepada anak :)

Bawa ke perpustakaan. Biasakan dengan tempat sebegini.

Guna permainan

 Belajar menggunakan papan putih

Sukaneka - merangsang aktiviti fizikalnya
Kraf

Terapi air

Bermain di taman permainan

Menyelesaikan jigsaw puzzle

Jauh lagi perjalanan ini. Rabbi yassir wa la tu'assir... Semoga bermanfaat.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Ahad, 18 September 2016

Ulasan Buku 3 Kertas, 3 Krayon, 3 Pensel Warna


Alhamdulillah selesai baca.


Sangat padat dengan ilmu. Bahasanya santai. Banyak juga yang sentap 😅 Terima kasih Pn Adlil Rajiah.

Sangat bermaklumat. 

Disampaikan dalam gaya bahasa mudah.

Ada 4 bahagian : Tip Keibubapaan, Tip Pakar Psikiatri, Idea Aktiviti Kanak-kanak dan Resipi Untuk Kanak-kanak.

Suka semua bahagian dalam ini. Untuk ibu ayah yang mahu 'homeschool' anak, jangan pening kepala fikirkan apa nak ajar anak di rumah. Pn Jiji ada beri banyak idea bagaimana bermula. Seperti biasa, mulakan dengan apa yang ada di sekeliling kita.

Tip Keibubapaan banyak menyentuh mengenai bahaya gajet dan things in a box seperti televisyen, ipad dan seumpamanya. Bukan tak boleh beri anak tengok langsung tetapi syaratnya ibu atau ayah wajib ada bersama dengan semasa mereka menonton televisyen atau bermain dengan gajet. Semasa berada bersama mereka, banyakkan interaksi supaya ada komunikasi dan wujudnya hubungan antara anak dengan kita. Hingga akhirnya anak akan rasa tidak lengkap sekiranya kita tiada bersamanya ketika melakukan aktiviti ini. Lihat betapa pentingnya kita melebihi gajet tersebut.

Pn Jiji banyak memberi nasihat dan panduan kepada ibu bapa yang super sibuk ini. Semoga perkongsian beliau dan rakannya diberkati dan memberi manfaat kepada pembaca.

Barakallahufik puan :)

Aina Dayana Hilmi
Emel : aindayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Fanpage : Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Sabtu, 17 September 2016

Trik tarik minat anak mengaji



* Gambar : Koleksi peribadi Aina Dayana Hilmi


Anak sedang mengaji Iqra' At-Taisir modul 4. Sekarang berada di muka surat 115. Sudah mula nampak dia gelisah jika disuruh menghadap buku.

Tak mengapa, kita cuba cara lain ^_^

Saya cuba bina flip card. Bahan yang digunakan ialah kad manila, kotak terpakai, marker pen, gunting, penebuk lubang dan tali putih. Maka, terhasillah seperti ini :









Baru dua kali mengaji hari ini. Memang perlu diulang-ulang kerana dia belum lancar. Tetapi berjaya tarik perhatian dia untuk baca sehingga habis :) Alhamdulillah. Semuanya dari Allah juga. Kita hanya berusaha.

Jumpa lagi.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Jumaat, 16 September 2016

Bila usia yang sesuai ajar anak memasak?


Saya sebenarnya masih teringat-ingat seorang anak kawan berusia 2 tahun lebih ketika kami bertemu dalam sebuah program. Saya menjadi AJK Makanan dan perlu sama-sama menyediakan makanan untuk peserta. Kagumnya saya apabila melihat ibunya ini memberikan pisau dapur kepada anaknya untuk si anak itu menyiang sayur. Masya Allah. Waktu itu saya rasa hebatnya adik ini. Kemahiran motor halusnya sudah matang (tepatkah istilah yang saya gunakan ini?) Dan bagaimana si ibu mengajar anaknya?

Realitinya, saya melihat anak saya yang sudah hampir enam tahun ini baru mula belajar menggunting, menyiang sayur, mencuci cawan sendiri dan belajar menggoreng keropok. Hiks.. 

Apa pun saya pasti, anak-anak sangat perlu dilibatkan dalam membuat kerja rumah. Dari urusan mengemas tempat tidur, mandi, mengurus diri, mendobi, melipat pakaian, mengemas tempat makan sendiri dan senarainya berterusan.

Tidak kira anak perempuan mahupun lelaki, kemahiran yang sama perlu dipupuk sedari awal. Insya Allah.

Oleh itu, saya patut berterima kasih kepada ibu dan adik ipar saya yang sangat rajin menyuruh anak saya membantu kerja-kerja dapur. Suami juga banyak memberi panduan kepada anak-anak dalam urusan memasak. 

Urusan kerja rumah banyak melibatkan aktiviti fizikal, koordinasi otot dan sudah pasti menggunapakai semua kemahiran motor halus dan motor kasar. Jadi, penjimatan aktiviti dan masa di situ! Hehe..

*Mode : Anak minta ajar macam-macam gara-gara terjumpa buku resipi Chef Azian, Idea Bekal Ke Sekolah ^_^

Barakallahufikum.

Aina Dayana Hilmi
Emel : aindayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Fanpage : Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Khamis, 15 September 2016

"Emotional Drive" Anak-anak


Tiada anak yang mahu saja-saja mengamuk tidak tentu pasal. Tiada anak yang mahu meragam tanpa sebab. Semuanya mesti ada sebab. Tetapi mereka tidak tahu bagaimana mahu menterjemahkan perasaan itu.

Terima kasih Pn Jiji. Itulah ayatnya yang lebih kurang saya baca dalam buku beliau.

Dua, tiga hari ini sedang mengendalikan emosi anak dan diri sendiri untuk wean off susu badan. Terutama sekali waktu tidur. Atau ketika suami keluar untuk sesuatu urusan seperti solat di masjid atau pergi mengajar. Biasanya jika saya tidak ikut, maka anak ketiga juga tidak akan dibawa.

Saya baru tahu akan emotional drive anak-anak yang dinyatakan oleh Pn Jiji di dalam bukunya. Maka, setiap kali anak meragam, pertama sekali tarik nafas dalam-dalam supaya kurang darjah kemarahan. Hee... 

Ini disertakan 8 emotional drive yang disenaraikan oleh Pn Adlil Rajiah. Saya taip dalam ayat sendiri ikut kefahaman saya..

1. Need of Control / Security

Anak-anak ini selalu ingin dilindungi dan rasa selamat jika kita berada sekali dengannya.

2. Need of diversity / New Experience

Anak-anak jenis ini sukakan cabaran. Jadi ibu bapa perlu terbuka dan berlapang dada dengan perangai mereka ;)

3. Need of Recognition / Significance

Ada sesetengah anak yang mahu "dilihat". Bukan kerana mahu riak atau bangga tetapi ingin dirinya dihargai dan lebih yakin diri. Misalnya, apabila dia berjaya melukis sesuatu yang dirasakan bagus, dia mahu orang memujinya.

4. Need of Achievement

Anak-anak ini inginkan pengiktirafan dalam apa yang dibuatnya. Dan dia juga suka meraikan pencapaian mereka dengan orang tersayang.

5. Need of Excellence / Perfection

Sangat teliti dalam apa juga yang dilakukan.

6. Need of Belonging / Love

Anak-anak ini suka bercerita dan kalau boleh mahu orang lain terlibat dalam pengalaman mereka.

7. Need of Challenge / Growth

Anak-anak kategori ini sukakan sesuatu yang baru setiap hari. Jadi ibu bapa yang ada anak seperti ini perlu kreatif dan inovatif menarik minat anak :)

8. Need of Responsibility / Contribution

Biasanya anak-anak ini suka bantu orang lain, suka buat kerja dan mungkin juga agak "penyibuk" sebab dia suka bantu secara percuma. Jadi apabila kita beri tugasan atau tanggungjawab kepadanya, dia lebih suka dan kita juga dapat mengurangkan rasa marah. Hehe..



Jadi, saya pun berfikir anak-anak saya dalam kategori mana?

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Rabu, 14 September 2016

#ReviuBukuAnak 2


Sambungan dari Entri : #ReviuBukuAnak 1

Baik, kita sambung buku yang dipinjam. 

Petra Menanam Pokok Mangga

Petra Si Panda menanam beberapa batang pokok mangga. Dia jaga dengan baik sehinggalah pokok mangga ini berbuah. Ada haiwan lain yang mencuri buahnya dan Petra berasa sedih. 

Dengan bantuan rakannya, Si Burung, mereka berjaya memerangkap pencuri buah itu.

Moralnya, sepatutnya apabila kita mahukan sesuatu kita boleh meminta izin daripada tuan punya kebun bukannya mengambil jalan pintas dengan mencuri.






Petra dan Wesel

Petra ada sebuah bas mainan beroda yang cantik. Rakannya, Wesel sukakan permainan itu dan bercadang mengambilnya tanpa izin. Lalu, Wesel berpura-pura sakit dan jatuh pengsan. Petra cepat-cepat pergi mendapatkan air untuk Wesel. 

Wesel dengan cepat membawa lari mainan itu. Malangnya, dia tersepak tunggul dan terjatuh. Mainan itu juga rosak! Dengan rasa malu dan serba-salah, Wesel mengaku kesalahannya kepada Petra.

Petra tidak kisah kerana persahabatannya dengan Wesel lebih berharga daripada mainan itu.

Moralnya, Petra memiliki hati yang murni. Dia baik hati memaafkan kawannya dan Wesel patut juga dipuji kerana berani menyatakan kesalahan dan meminta maaf.

Petra Menyelamatkan Gajah

Petra berjiran dengan keluarga Gajah. Namun, keluarga Gajah sangat sombong. Mereka tidak mahu berbuat baik dengan semua haiwan.

Pada suatu hari, anak Gajah terjatuh ke dalam lubang yang besar tetapi tiada seekor pun haiwan yang mahu membantu kerana sikapnya yang sombong.

Tetapi Petra yang baik hati membantu Anak Gajah itu keluar dari lubang. Keluarga Gajah berasa insaf dan malu. Sejak itu mereka berbuat baik kepada semua haiwan dan jiran tetangga.

Menarik sekali cerita ini. Banyak moral dan nilai pengajaran dapat diceritakan kepada anak-anak. Malahan boleh mengambil peristiwa sehari-hari yang lebih dekat dengan mereka. 







++++++++++++++++++++

Bak kata Puan Adlil Rajiah, dalam sehari carilah masa cuddle time bersama anak-anak dan nasihatkan kata-kata yang baik. Misalnya, kita kena kemas mainan selepas main. Atau pesan pada anak apabila pergi ke masjid, kita perlu duduk diam dan tidak boleh berlari-lari dalam masjid. Ia akan mengganggu jemaah yang mahu beribadat di dalam masjid.

Perkara ini memang mengambil masa tetapi percayalah tetap ada kesannya kepada anak-anak. Insya Allah :)


Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Selasa, 13 September 2016

#ReviuBukuAnak 1


Seminggu yang lepas pinjam buku di perpustakaan negeri. Kali ini pergi tanpa Kakak Khaulah sebab dia ada kelas mewarna. Ada Abdullah Naufal dan Asma' sahaja.

Wah, tak sangka si abang kecil ini minat pilih buku sendiri. Buku yang Ummi pilih semua geleng kepala. Grr... Dia pilih empat buah buku siri Petra Sang Panda maka lagi 3 buah buku ummi pilih. Terpaksalah kan, alang-alang meminjam, boleh sampai 8 buah.


Kami pinjam tujuh buah buku :

1. Petra dan Oren Mahalnya
2. Petra Menyelamatkan Gajah
3. Petra dan Wesel
4. Petra Menanam Pokok Mangga
5. Allah Sayang Kita 4
6. Train's Day Out
7. Ann Hunts For Nuts

Tempoh pinjaman ialah 3 minggu. Bermakna 24 September ini perlu pulangkan semula. Jika kita tidak dapat pulangkan pada tarikh tersebut, boleh sahaja telefon pihak perpustakaan dan maklumkan kelewatan dan mereka akan anjakkan sedikit tarikh pulang. Jadi tak perlulah bayar denda. Bagus, kan?

Mari lihat sedikit gambaran buku yang kami pinjam ini :

Ann Hunts For Nuts

Saya suka siri ini. Biasanya jika pergi ke perpustakaan, saya cuba cari buku seperti ini. Bacaan bergred. Mudah dan praktikal untuk latihan membaca anak-anak.



Petra dan Oren Mahalnya

Menceritakan Petra yang lapar dan mahu memetik semua buah oren di atas pokok. Kawannya sudah menasihati supaya tidak menjadi tamak. Petra tetap memanjat pokok dan ketika buah sudah banyak dipetik, dia mengalami masalah untuk turun dari pokok pula.

Tiba-tiba sebiji buah orennya terjatuh ke dalam sungai. Petra mahu mencapai buah yang jatuh itu. Akibatnya semua buah yang dipegang turut jatuh dan hanyut ke dalam sungai. 

Malang sungguh nasib Petra. Sudahlah susah payah mengambil buah, kini semuanya sudah tiada. Rakan-rakan haiwan menasihatinya. Dia sedar supaya perlu bersyukur dengan apa yang ada. Akhirnya ada seekor rakannya yang baik hati memberikan buah kepada Petra :)




Allah Sayang Kita Siri 4

Sangat suka dengan buku terbitan Blue T Publication. Penerbit ini memang terkenal dengan produk Majalah Ana Muslim dan Siri Novel Ana Solehah. Ilustrasinya semua comel dan menarik anak-anak terutama anak perempuan.

Dalam sebuah siri ada dua cerita berasingan.





Train's Day Out

Buku ini berkonsepkan "My First Word Book". Ada dua ayat pendek berima dan gambar besar ang ada label perkataan padanya. Seperti train, platform, rabbit, fox, bridge, umbrella dan sebagainya.

Menarik sekali! Boleh juga ubahsuai kepada bahasa ketiga seperti bahasa Arab. Kita boleh tulis dan lekatkan di bawah perkataan tersebut. Tapi ini buku perpustakaan. Tidak bolehlah buat begitu ;) Buku sendiri boleh.







Bersambung lagi nanti insya Allah :)


Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak
Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015