Isnin, 31 Ogos 2015

Ajar anak mengenal huruf hijaiyah menggunakan teknik bercerita


Salam sejahtera buat semua. Kali ini saya kongsikan contoh cerita yang pernah saya gunakan semasa mengajar anak-anak mengaji. 

Teknik ini agak berjaya kepada anak saya yang kinestetik. Sekurang-kurangnya dia mahu duduk mendengar cerita dan terlibat secara aktif semasa sesi mengaji ^_^


Semoga bermanfaat :)

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Ummu Khaulah (Aina Dayana Hilmi)
Instagram : @ainadayanahilmi

Ahad, 30 Ogos 2015

Aktiviti Membina Perkataan


Sudah lama tidak buat aktiviti permainan bahasa. Alhamdulillah, Allah beri ilham untuk buat sesuatu. Cetak beberapa set huruf a hingga z, guntingkan dan letak di dalam satu bekas. Untuk lebih teratur, eloklah diasingkan mengikut huruf tetapi saya mahu cepat hari itu, campur sahaja semua huruf.

Ia menimbulkan sedikit kesukaran kepada anak. Mujur juga dia bukan jenis yang cepat bosan. Biasanya saya akan tanya mahu eja perkataan apa? Dan bantu dia cari huruf. Kemudian tampalkan pada kertas warna. 

Aktiviti ini sempat jugalah saya jadikan busy bag si kakak semasa ke hari keluarga awal Jun lepas di Villa Mak Tok, Hulu Langat.

Proses mencari

Antara hasil perkataan yang dieja oleh Khaulah

Jumpa lagi.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Ummu Khaulah (Aina Dayana Hilmi)
Instagram : @ainadayanahilmi

Sabtu, 29 Ogos 2015

Sesi Bercerita : Buku Haris dan Dompet Gergasi


Alhamdulillah bersua lagi di dalam entri ini. Insya Allah, mulai entri ini saya cuba kongsikan buku-buku yang kami bacakan kepada anak-anak atau yang anak-anak baca sendiri.

Untuk makluman, buku ini di bawah siri 100 buku Karangkraf yang diterbitkan tahun lalu melalui projek yang dicetuskan oleh Puan Sri Diah, orang kuat Karangkraf. Idea menghasilkan buku bergambar kanak-kanak pada harga mampu milik ini sangat bernas dan insya Allah membolehkan lebih ramai anak-anak dapat membeli dan membaca buku. 

Harga bagi sebuah buku ini ialah RM3.00. 1 set ada 100 buah buku. Jika saya tidak silap ada kotak disediakan untuk set ini. Cantik! Ibu teruja apatah lagi anak-anak, kan? ;) Oh ya, boleh lihat di Karangkraf Mall. Ada promosi sekarang ini. Sebuah buku berharga RM2.55.


Buku ini mengisahkan Haris yang kepenatan semasa dalam perjalanan pulang dari sekolah. Dia mahu membeli makanan tetapi duitnya telah habis dibelanjakan di sekolah. Tanpa disangka dia terjumpa sebuah dompet dan tanpa berfikir panjang Haris mengambil duit dari dalam dompet untuk membeli air.

Bagaimana dompet ini menjadi gergasi dan mahu memakan Haris? Ha..

Unsur suspens yang ada menambah keseronokan ketika bercerita ;)

Moral daripada cerita ini ialah kita perlu jujur dan amanah

Apa itu amanah? Amanah ialah bertanggungjawab terhadap apa-apa yang diberikan kepada kita untuk dijaga mahupun ditugaskan.

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia hendaklah menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (Suran An-Nisaa' ayat 58)

Imam Ibnu Katsir di dalam tafsirnya mengatakan : Allah SWT memberitahu (dalam ayat ini) bahawa Dia memerintahkan untuk menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya. 

Dalam bercerita kepada anak-anak ambillah kesempatan menerapkan ketauhidan kepada Allah dan nilai-nilai murni. Mudah-mudahan menjadi asbab anak-anak ini mengambil pengajaran dan berakhlak mulia.

Wallahualam.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Ummu Khaulah (Aina Dayana Hilmi)
Instagram : @ainadayanahilmi

Jumaat, 28 Ogos 2015

Tema Huruf B


Untuk hari kedua, temanya ialah huruf B. Disebabkan sudah lewat malam dan anak masih tidak mahu tidur, terpaksa fikirkan aktiviti yang mengeluarkan tenaga supaya dia puas hati dapat bermain :D

Mula-mula tunjukkan huruf B pada anak dan sebutkan nama dan bunyi huruf. Ada beza ya.

Kemudian, buat permainan cari dan jumpa! Senaraikan dahulu benda yang bermula dengan huruf B :


bakul
bola
baju
butang
benang
batang
buku
batu
berus
bantal
b....
b...

(boleh sambung sendiri ^_^)

dan cariii......

Permulaan permainan agak lambat sebab anak belum biasa dengan kaedah permainan ini. Mereka terpinga-pinga kehairanan Haha, baik. Silap saya tidak tunjuk cara dahulu.

Hasilnya, dapatlah ini :



Semoga bermanfaat :)

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Ummu Khaulah (Aina Dayana Hilmi)
Instagram : @ainadayanahilmi

Khamis, 27 Ogos 2015

Mahu anak bijak pandai :)






Rabu, 26 Ogos 2015

Busy Bag


Sebelum ini saya pernah menulis mengenai cara saya cuba mengurangkan obses gajet kepada anak saya. Tidak lama selepas itu, saya semakin berminat membuat busy bag 

Apa itu busy bag ya?

Jika terjemahan terus ke Bahasa Malaysia, maknanya ialah beg sibuk. ;) Pada pendapat saya busy bag ini umpama kit aktiviti untuk anak-anak yang bersifat mudah, menyeronokkan dan aktiviti ini boleh dilakukan sendiri oleh anak-anak tanpa bergantung sepenuhnya kepada ibu ayah.

Memang pada awalnya agak sulit dan renyah kerana kita perlu rancang aktiviti yang bersesuaian dengan anak mengikut umur dan daya fokus mereka.

Busy bag pertama saya buat ialah pada tahun 2013. Buat sedikit demi sedikit, mengumpul bahan, membeli bahan, mengorbankan masa rehat semata-mata mahu siapkan busy bag yang boleh dibawa ke mana-mana. Objektif saya ketika itu untuk dibawa oleh anak ke rumah pengasuh dan ketika bermusafir.

Saya tidak kreatif. Hanya buat berdasarkan ilham yang Allah berikan. Alhamdulillah anak dapat manfaatkan.






Kandungan busy bag Khaulah :

1. Roda warna

- Saya gunakan kotak terpakai, kertas warna dan penyepit baju kayu. Tampalkan juga kertas warna pada penyepit kayu untuk dipadankan pada roda warna.

2. Jigsaw puzzle

- Gambar keluarga ditampal pada batang kayu aiskrim berwarna.

3. Tangram

- Potong kain felt mengikut saiz tangram. Saya dapat idea dan saiz daripada buku Holiday Activity Book oleh Jane Bull.

4. Aktiviti pra tulis

- Saya menggunakan kad imbas tulis dan padam serta bahan yang dimuat turun dari internet (maaf, sudah lupa link ke blog tersebut ^_^)

5. Buku mini 

- Bertemakan kurma dan matematik. Saya perolehi dari www.amuslimchildisborn.com

6. DIY Memory Game card

- Guna kotak bijirin terpakai, tampalkan kertas A4 warna putih dan lukis 5 set gambar. Cara bermain ; terbalikkan semua kad, buka 1 kad lihat gambar, buka kad seterusnya jika sama gambar, ketepikan. Jika berbeza, tutup kembali dan buka kad lain. Begitulah seterusnya sehingga semua kad bertemu pasangan yang sama :)

7. Aktiviti mengira

- Saya perolehi bahan daripada www.allourdays.com

8. Lacing card

- Saya gunakan kotak tisu terpakai, gunting bentuk kereta, baju dan bulat. Tebuk dengan single pucher dan ajar lacing (seperti menjahit) menggunakan tali parcel.

9. Aktiviti mengenal warna

- Potong kain felt dengan pelbagai bentuk - cendawan, kereta api dan bunga lalu padankan dengan batang ais krim berwarna.

10. Aktiviti susun ikut saiz

- Saya perolehi daripada internet. Sudah lupa link nya. ^_^
- Susun rama-rama, belalang dan lebah dari kecil ke besar dan sebaliknya.

11. Padankan kepingan 

- Ala-ala jigsaw puzzle.

12. Padankan bentuk yang sama

- Saya gunakan kain felt untuk buat bentuk dan padankan pada templat yang telah disediakan.

13. Pelangi

- Saya sediakan templat pelangi dan anak letakkan lengkungan mengikut warna dan saiz yang telah ditetapkan.

14. Aiskrim.

- Aktiviti mengenal warna. Anak boleh susun aiskrim setinggi yang dia mahu ;)



Semoga bermanfaat :)

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Ummu Khaulah (Aina Dayana Hilmi)
Instagram : @ainadayanahilmi

Selasa, 25 Ogos 2015

Beg aktiviti


Apabila keluar bermusafir atau sekadar bersiar-siar, beg anak-anak adalah wajib selain pakaian kita orang ibu ayahnya. Selain baju mereka, peralatan lain yang mesti ada (bagi kami) ialah membawa beg aktiviti mereka. Ketika kecil dahulu, beg aktiviti hanyalah diisi dengan Iqra' At-Taisir, pensel, buku kecil, pensel warna dan sebuah buku cerita.

Kini, semakin membesar, kuantiti barangan bertambah ^_^ Sehingga ada ketikanya boleh jadi sebab untuk bergaduh. Hehe.

Waktu itu saya terbayangkan beg alat tulis (roll pencil case) seperti yang pernah adik ipar saya jahit. Cantik! Cari punya cari, terjumpa di blog kawan adik saya. Namanya Huda. Wahaa! Asalnya, hanya membaca blog beliau secara suka-suka. Ternampak pula beg itu di dalam salah satu entrinya.

Begnya bersaiz besar sedikit dari kertas A4, pilihan kain yang comel-comel, di dalamnya ada tempat meletak pensel warna dan poket besar. Di bahagian luar juga ada beberapa poket.

Oh ya, boleh layari blog tulippetas.com  :)


Bahagian luar beg



Bahagian dalam beg ini. 

Berserta sulaman nama







Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Ummu Khaulah (Aina Dayana Hilmi)
Instagram : @ainadayanahilmi

Isnin, 24 Ogos 2015

Huruf A


Hari ini baru hendak muat naik gambar aktiviti minggu lepas ^_^
Mengambil tema huruf dalam Indonesia Montessori Challenge yang dianjurkan oleh Bebek Libby melalui Instagram IndonesianMontessori.

Huruf A.

Aktiviti ini dijalankan pada anak nombor dua. Memandangkan si kakak sudah mengenal huruf. Anak lelaki saya ini jenis kinestetik. Pada asalnya saya sediakan templat huruf A untuk diwarnakan atau ditampal kolaj malangnya dia mengamuk. Okay, ambil lego sahajalah dan bentukkan huruf A.



Aktiviti lain ialah menyediakan buku skrap benda yang bermula dengan huruf A. Tidak dapat sertakan gambar di sini kerana tidak sempat ^_^ Tetapi saya sediakan gambar yang telah siap dipotong lalu dipilih oleh anak dan ditampalkan.



Aktiviti ini mengambil masa hanya 10 minit.Agak pantas tetapi sebenarnya lama untuk anak yang aktif ini. Hihi. Alhamdulillah. Moga ada manfaat yang diperolehnya dari aktiviti hari ini.



Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Ummu Khaulah (Aina Dayana Hilmi)
Instagram : @ainadayanahilmi

Ahad, 23 Ogos 2015

Idea Untuk Aktiviti Anak


Semasa di awal kelahiran anak kedua, saya menghadapi sedikit tekanan kerana tingkah laku anak sulung yang sangat mencabar. Disebabkan pada masa itu saya baru melahirkan anak kedua, maka perhatian kepadanya sedikit berkurangan. Dan saya mula perasan dia sudah mula obses dengan kartun. Semasa menonton televisyen, fokusnya tinggi sehingga tidak menyahut apabila dipanggil.

Waah....ini agak bahaya!

Disebabkan saya mengambil cuti selama tiga bulan, saya berusaha mencari maklumat apakah yang perlu dilakukan. Apa yang terlintas di dalam kepala ialah perlu buat aktiviti untuk elakkan anak menonton televisyen dan bermain gajet terlalu lama.

Saya kongsikan beberapa idea membuat permainan sendiri.

1. Jigsaw Puzzle

Saya membuat carian di internet gambar-gambar yang dikehendaki, print dan tampal pada kad manila. Buatkan sampul supaya tersusun.

Saya simpan dalam beg berzip. Beli di kedai borong. Jika di Melaka, saya suka pergi ke kedai Tong Hup. Marvellous! ;)




 2. Kad tebuk @ Lacing card

Gunakan kotak tisu dan kotak bijirin.


3. Mainan blok dan matching huruf

Mainan blok ini saya gunakan lebihan kotak bijirin. 
Balut dan tulis huruf hijaiyah.
Selotep seluruh permukaan.

Untuk matching huruf saya gunakan botol air mineral.
Potong kertas warna dan tulis beberapa huruf.


4. Kolaj



Semoga bermanfaat :)


Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Ummu Khaulah (Aina Dayana Hilmi)
Instagram : @ainadayanahilmi

Sabtu, 22 Ogos 2015

Ajar Anak Membaca


Antara tip ajar anak membaca awal yang dipraktikkan :
1. Niat kerana Allah.

2. Pilih lokasi membaca yang sesuai ; jauh dari alat permainan yang disukai, gajet, televisyen dan bunyi bising.

3. Setiap sesi membaca 5-10 minit sahaja.
Jika anak mahu membaca lagi, tangguhkan ke sesi seterusnya bagi "menyimpan" sedikit rasa terujanya ;)

4. Tidak memaksa anak. Biasa saya tanya dahulu, “Khaulah dah penat? OK, kita berhenti sampai sini dahulu.” Walaupun dia baru membaca 1 baris.

5. Murah dengan pujian. Kanak-kanak suka pujian kerana memberi ia rangsangan untuk membaca :)Pujian boleh dalam bentuk kata-kata, high five, stiker dan lain-lain.

6. Bantu dengan gambar (bagi cerita pendek) untuk membantu anak membaca.

7. Buat carta atau catat perkembangan membaca anak. Kita boleh pantau kekuatan dan kelemahan anak.
Wallahualam.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Ummu Khaulah (Aina Dayana Hilmi)
Instagram : @ainadayanahilmi

Jumaat, 21 Ogos 2015

Tip atasi anak obses gajet


Di sini saya kongsikan beberapa tip yang pernah kami guna bagi mengatasi masalah pada anak-anak kami :

1. Doa

Banyakkan berdoa. Doa ibu dan ayah itu makbul terutama doa ibu. 

Sumber : Quran.com

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran” (Surah Al-Baqarah 2 :  Ayat 186)

2. Sibukkan anak dengan aktiviti lain.

Perhatikan tingkah laku anak. Jika boleh kenal pasti adakah anak ini jenis visual, kinestetik atau auditori. Dalam bahasa yang mudah, visual ini bermaksud anak suka melihat gambar dan lebih cepat dapat ilmu baru melalui kaedah ini. Bagi anak yang kinestetik, biasanya melalui tingkah laku yang aktif dan pantas. Manakala bagi anak jenis auditori, dia lebih cenderung kepada pendengaran.

Kedua, boleh mula set up aktiviti luar atau permainan dalaman (bermain puzzle, memasak, bermain doh, dan lain-lain)

3. Mohon kerjasama pasangan.

Jika mampu dan berkesempatan, berbincang dengan pasangan untuk sama-sama mengatasi masalah ini. Misalnya jika ibu sudah buat aktiviti mewarna bersama anak jangan pula si ayah buka televisyen pada waktu yang sama.

4. Tetapkan peraturan.

Jika susah mahu hentikan tonton televisyen atau bermain gajet 100%, cuba usaha sedikit demi sedikit dengan menghadkan masa.

5. Menjadikan aktiviti membaca sebagai aktiviti yang sangat menyeronokkan dan ditunggu-tunggu.

Biasakan anak-anak dengan buku. Rajinkan diri bercerita dengan anak, bersoal-jawab dan melayan anak membaca buku.

Misalnya, ambil majalah yang ada dan piliih mana-mana gamabr dan tanya anak :

Gambar apa ni ya, abang? Ya, ini gambar di sekolah. Ramaikan kawan-kawan abang sekolah di sini?

Tengok ni, budak perempuan ini sedang buat apa?

dan seterusnya...

Secara tidak langsung kita mengajar perbendaharaan kata pada anak selain mengenal pasti emosi dan menggalakkan anak berfikir.

6. Bermain bersama anak.

Agak sukar pada mulanya kerana kita (ibu-ibu) mempunyai banyak kerja dan banyak pula benda yang difikirkan. Maka fokuslah satu-satu perkara. Dengan anak, adakalanya 15 minit pun sudah memadai. Dia akan terasa kita mengambil berat akan diri mereka dan selepas itu kita boleh teruskan kerja yang kita mahu lakukan.

Aktiviti terawal semasa mahu mengelakkan anak menonton televisyen terlalu lama

Kolaj huruf fathah "a" dan membuat buku skrap jenis-jenis daun


Anak kedua saya seorang yang kinestetik dan auditori berbanding kakaknya yang jenis visual dan auditori. Dia lebih cenderung dengan permainan lasak, blok, melompat dan jigsaw puzzle. Jadi saya sediakan permainan-permaianan ini sambil ajar anak mengenal huruf hijaiyah atau mengajar anak membaca. Ada yang saya beli (dan jual) dan ada juga yang dibuat sendiri.

Permainan Blok 100pcs







Set ini mempunyai 100 blok kayu berwarna-warni. Sesuai untuk 3 tahun ke atas dan ada kertas panduan membina bentuk dari blok kayu ini. 



Berminat dengan produk ini? Harganya termasuk kos penghantaran (menggunakan NATION WIDE EXPRESS)

Semenanjung RM75.20

Sabah dan Sarawak RM80.80

Boleh hubungi saya Pn Aina Dayana 013-3613516 (",)



Semoga bermanfaat.


Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Ummu Khaulah (Aina Dayana Hilmi)
Instagram : @ainadayanahilmi


Khamis, 20 Ogos 2015

Anakku obses gajet





Sebagai ibu bapa, kita pasti inginkan yang terbaik untuk anak-anak kita. Pelbagai info dicari, dibaca dan cuba dipraktikkan. Ketika melahirkan Khaulah hampir lima tahun lepas, kami suami isteri pernah membuat pelan pendidikan anak-anak. Ia termasuklah perancangan makanan, sistem didikan al-Quran dan kewangan.

Dalam pada berhati-hati dengan perkara yang dinyatakan, saya terlepas pandang satu perkara ; penggunaan telefon pintar. Waktu itu kartun Upin Ipin sangat popular (sehingga kini) dan anak mempunyai akses terhadap YouTube dan televisyen yang terhad tetapi sesekali terlepas juga.

Sehinggalah pada suatu hari saya terbaca artikel akan bahaya skrin sentuh dan penggunaan gajet secara berlebihan kepada anak di bawah usia 2 tahun. Dikatakan inilah antara punca yang menyumbang kepada kurang daya tumpuan anak di sekolah ketika sesi pembelajaran.

Sebab lain - ia akan menjadikan anak kita pasif, pemarah dan obses. Takutnya saya. Bagaimana kita boleh mengatasi perkara ini?



Jumpa lagi dalam entri seterusnya. Insya Allah :)


Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Ummu Khaulah (Aina Dayana Hilmi)
Instagram : @ainadayanahilmi

Rabu, 19 Ogos 2015

Belajar Bahasa Arab



Satu kelebihan apabila anak sudah mula membaca al-Quran ialah apabila mempelajari Bahasa Arab, anak dapat menyebut perkataan dengan betul. Ini menimbulkan minat dan motivasi dalam diri mereka untuk terus belajar. Insya Allah.

Pada awalnya saya sendiri kurang yakin diri untuk mengajar sendiri anak berbahasa Arab. Namun dengan sokongan suami dan mertua yang mempunyai pendidikan dalam bahasa Arab membuatkan saya mencari-cari bahan yang bersesuaian. 

Alhamdulillah set Lughatul Jannah adalah set bacaan yang direkomendasikan oleh kami sekeluarga dalam mengajar anak asas bahasa Arab. Buku ini mempunyai 4 buah buku dan 1 buah cakera padat panduan terbitan Read Network. Penerbit yang sama dengan Set Bacalah Anakku dan Read Easy.

Sumber gambar : www.kedaiberjaya.com


Buku 1 berguna dalam mengajar anak perkataan asas bahasa Arab seperti meja, kerusi, kereta, rumah dan lain-lain.

Buku 2 mengajar perkataan "haza" dan "hazihi" yang ditambah di awal perkataan asas.

Buku 3 mengajar perkataan 'ala (di atas), tahta (di bawah), khoriju (di luar) dan di dalam.

Buku 4 mengajar ayat yang lebih kompleks.

Sesi belajar bahasa Arab di rumah saya hanya peruntukkan waktu sebelum tidur atau waktu lain dalam masa 5 ke 10 minit. 1 hari dalam 2 perkataan dan sentiasa diulang. Yang penting tidak tekankan kepada anak untuk hafal seluruh perkataan yang diajar. Usaha sedikit demi sedikit. 

Bacaan tambahan yang kami gunakan ialah buku bergambar 2 bahasa yang pernah saya ulas sebelum ini (klik sini) dan kamus bergambar yang ditulis oleh Puan Maslina Ngadiman terbitan Pustaka Azhar. Kamus ini berkulit lembut. Suka sangat dengan ilustrasinya. Mudah difahami.

Sumber gambar : www.telagailmuonline.com


Jika di dalam talian, saya senang mengambil bahan daripada www.amuslimhomeschool.com, laman web Rahmah Homeschooling dan Diary of A Muslim Homeschool. Mungkin ada beberapa lagi laman yang saya rujuk tetapi link nya sudah tiada dalam simpanan.

Mari sama-sama belajar bahasa Arab. Niatkan mengikut sunnah Rasulullah sollallahu alaihi wasallam. Dapat pahala, kan?

Semoga bermanfaat.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Ummu Khaulah (Aina Dayana Hilmi)
Instagram : @ainadayanahilmi
Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015