Khamis, 31 Disember 2015

Tip Mendidik Anak :)



Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Ummu Khaulah (Aina Dayana Hilmi)
Instagram : @ainadayanahilmi

Rabu, 30 Disember 2015

Bijak Bahasa : Mesej Tersembunyi


Sesekali bertukar aktiviti membaca :) Cara bermain - tuliskan huruf pertama bagi gambar berkenaan. 

>> Semua gambar lukis dan warna sendiri. 
>> Menggunakan kertas A4 yang dipotong kepada tiga bahagian. 
>> Selotepkan ruang kosong di bawah gambar supaya boleh ditulis-padam menggunakan whiteboard marker.







Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Ummu Khaulah (Aina Dayana Hilmi)
Instagram : @ainadayanahilmi

Selasa, 29 Disember 2015

Celik Kewangan


Anak Bijak Cerdik Duit.

Sebuah buku mengenai kewangan khas untuk kanak-kanak. Hasil kreatif Dr Mohamad Fazli Sabri dan Nurhayatul Nira Ramli.

Saya beli buku ini pada tahun 2013. Kebetulan staf saya adalah kenalan Dr Mohamad Fazli ini.

Baru kini mahu mengaplikasikan ilmu di dalam buku ini.

Bukunya menarik sekali. Ada nota, penerangan dan cadangan aktiviti. Oh ya, ada sebuah lagi sebagai buku panduan dan praktikal. Namun anak-anak saya belum mahir menulis jadi saya mulakan dengan perkara asas dahulu.

Memperkenalkan nilai-nilai duit syiling. Ada 5 sen, 10 sen dan seterusnya. Saya kira anak belum tahu nilai tetapi sudah mula memahami konsep setiap duit syiling ini berharga. Dapat digunakan untuk membeli barang, bersedekah dan menyimpan di dalam tabung.


Aktiviti yang dijalankan ialah meminta anak-anak memasukkan duit ke dalam tabung masing-masing. Tidak kira berapa pun jumlahnya. Kemudian, ummi akan kira dan cukupkan ;) Ini pertama kali mereka memasukkan duit ke dalam bekas bernama "tabung". 

Teruja.

Masing-masing memasukkan duit ke dalam "tabung" dengan tenang. Tidak berebut-rebut. Bagus.

Cadangan aktiviti yang boleh dijalankan :

1) Buat treasure hunt duit syiling di dalam rumah atau reka stesen tertentu. Mereka diberi peta dan harus mencari benda tersembunyi . Duit syiling itu harus disimpan di dalam uncang yang dibawa. Pemenang dikira apabila yang pertama sampai ke garis penamat. Duit itu dimasukkan ke dalam tabung masing-masing.

2) Menyelesaikan jigsaw puzzle yang menunjukkan lokasi kotak impian yang mengandungi uncang-uncang "emas". Mereka perlu mencarinya.

3) Menyurih wang syiling dengan pensel warna :)

Menyurih wang syiling
Jumpa lagi.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Ummu Khaulah (Aina Dayana Hilmi)
Instagram : @ainadayanahilmi

Isnin, 28 Disember 2015

Flash Card / Kad Imbas Iqra'



Kad Imbas Iqra' 
RM12.00 


* Ada 32 keping kad 

* Dicetak depan belakang - 28 keping huruf berbaris atas, 28 keping huruf berbaris atas, bawah dan hadapan, 8 keping lagi kad untuk bezakan huruf
* FREE Panduan Mengajar Kad Imbas Kepada Bayi Anda 


Overview kad dalam set ini

Huruf fathah (baris atas)

Kad berbaris atas, bawah dan hadapan di cetak di belakang huruf

Kad membezakan huruf




CARA MENGGUNAKAN KAD IMBAS IQRA PADA BAYI :

1. Satu set digunakan untuk gantung dibilik atau berdekatan tempatnya bermain. Tampal 5 huruf sahaja setiap masa. Sebut selalu. Kemudian tukar 5 kad yang lain pula.

2. Satu set digunakan semasa beraktiviti dengan anak.

3. Satu set lagi untuk 'stand by'. Sudah pasti pada permulaannya anak akan masukkan kad dalam mulut, gigit, koyak, baling sebab memang dalam fasa bayi mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi (",)

Selamat mencuba!

Jika berminat, boleh WhatsApp / Telegram 013-361 3516. COD Melaka Tengah (",)

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Ummu Khaulah (Aina Dayana Hilmi)
Instagram : @ainadayanahilmi

Khamis, 24 Disember 2015

Suburkan minat membaca anak




Cuti sekolah.

Satu tengah hari, sekumpulan anak-anak (lelaki) kelas mengaji tiba-tiba datang berkumpul di hadapan rumah. Jam belum menunjukkan pukul 2 petang.

Hairan.

Baru usai solat Zohor. 

Saya tidak mengambil hirau pada awalnya. Namun, suara mereka makin lama makin kuat. Terus saya capai beberapa buah buku dan meletakkan di atas meja. "Nah anak-anak, cuba lihat apa yang ada di sini." Berebut mereka mengambil buku dan duduk di tempat masing-masing.

Diam-diam saya memerhatikan. Ada dua orang mampu membaca buku dengan khusyuk selama lebih 3 minit. Manakala yang lainnya, sekadar menyelak-nyelak buku bergambar yang ada.

Dalam hati tertanya-tanya, mengapa ya anak-anak ini sekadar menyelak buku? Adakah teks terlalu panjang atau gambar tidak menarik atau masalah bahasa?

Ya, ada pelbagai sebab dan saya tidak mahu menjadi penganalisis. Cukuplah pemerhatian saya tengah hari itu.

Rupa-rupanya anak-anak ini solat berjemaah di surau Zohor itu dan suami meraikan mereka dengan memberi sedikit hadiah wang saku. Cukuplah nilainya dapat beli sebatang aiskrim ;)

Berbalik kepada tajuk di atas, saya kira segalanya bermula dari ibu ayah. Dari rumah. 

Untuk menanam minat membaca, ibu ayah perlu bermotivasi dan memotivasikan anak dengan cara :

1) Bersungguh.

Ibu ayah bersungguh-sungguh menerapkan budaya minat membaca tidak kira apa kaedah yang digunakan.

2) Tidak memaksa.

Lihat keupayaan anak ketika itu. Adakah dia dalam keadaan lapar, letih atau selesa. 

3) Tumbuhkan MINAT membaca BUKAN kemampuan membaca sejak dari kecil.

Dari segi ini mungkin kita boleh tiru iklan-iklan yang ada dihidangkan setiap hari kepada kita. Strategi pemasarannya, propaganda, teknik pujukan dan sebagainya ;)

4) Kenalkan buku sejak bayi

- Bacakan buku sejak lahir menggunakan suara berirama dan pelbagai intonasi
- Baca buku yang sesuai
- Membentuk pola membaca (reading pattern)

5) Pilih bahan bacaan yang bermanfaat

* Disesuaikan dari buku Membuat Anak Gila Membaca oleh Ustaz Mohammad Fauzil Adhim

Semoga Allah memberkati :)

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Ummu Khaulah (Aina Dayana Hilmi)
Instagram : @ainadayanahilmi

Rabu, 23 Disember 2015

Kaedah Menghafaz menurut Syeikh Qurra Masjid Nabawi


Tip menghafaz al-Quran. Dikongsikan oleh SS Datuk Dr Zulkifli bin Mohamad al-Bakri di dalam bukunya - Puteriku Nasihat Abah Untukmu terbitan Pustaka Cahaya Kasturi.


Sumber gambar : Web Pustaka Cahaya Kasturi


Sedikit pengenalan tentang buku ini. Ini ialah buku ketiga yang dikeluarkan oleh Dr Zulkifli dalam siri nasihat untuk anak-anaknya.

Buku pertama bertajuk Nota Untuk Anakku ditujukan untuk anak sulungnya, buku kedua bertajuk Wasiat Untuk Anakku tampil untuk anak keduanya dan kini Puteriku Nasihat Abah Untukmu khas untuk puteri ketiganya.



Sumber gambar : Web Pustaka Cahaya Kasturi


Meskipun kesemua buku ditulis untuk anak-anaknya tetapi Dr mengolah ayat yang sesuai untuk bacaan umum. Masya Allah saya jarang berjumpa buku seumpama ini.

Tidak terlalu skema ayatnya sehingga mudah dibaca dan difahami, banyak sudut pandang dalam kehidupan, pelajaran dan akhlak disentuh, dan sangat terasa luasnya ilmu Dr dalam menggarap nasihat untuk anak-anaknya.

Baik berbalik kepada buku ini, saya tertarik dengan kaedah hafazan yang disyorkan oleh Syeikh Qurra Masjid Nabawi. Dr Zulkifli mencatatkan : 


Kaedah ini sebenarnya untuk mereka yang sudah menghafaz tetapi menghadapi masalah untuk membacanya secara hafazan.

Ada 3 peringkat :

1) Khatam Al-Quran kali pertama.

Baca 3 juzuk pertama secara melihat Quran setiap hari selama sebulan. Bulan kedua baca juzuk 4, 5 dan 6 setiap hari selama sebulan. Begitulah seterusnya sehingga khatam.

2) Khatam Al-Quran kali kedua.

Baca 3 juzuk pertama secara melihat Quran setiap hari selama 20 hari. Kemudian baca juzuk 4, 5 dan 6 setiap hari seama 20 hari juga dan prosesnya berterusan sehingga khatam.

3) Khatam Al-Quran kali ketiga.

Baca 3 juzuk pertama setiap hari dalam tempoh 10 hari. Begitulah seterusnya sehingga khatam. Akan mengambil masa selama 5 bulan.


Proses ini akan mengambil masa selama 1 tahun 9 bulan 20 hari. Apa yang penting ialah ISTIQAMAH. Masya Allah, la haw la wala quwwata illa billah. 

Ya Allah, kurniakan kekuatan kepada kami untuk menghafaz dan istiqamah dijalan-Mu. Amin.


Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Ummu Khaulah (Aina Dayana Hilmi)
Instagram : @ainadayanahilmi

Ahad, 13 Disember 2015

Ibu ayah sebagai "trend setter"

 



Seorang tokoh adalah seorang "trend setter" (pemula trend).

Kata-kata Ustaz Umar Muhammad Noor ini (penulis buku Dalam Hati Ada Syurga) membuatkan saya terdiam.

Masya Allah.

Seorang tokoh sangat besar pengaruhnya kepada khalayak. Tutur katanya, akhlak dan kepimpinannya. Mereka ini sebenarnya membawa tugas besar kerana menanggung amanah yang cukup berat.

Penulis melanjutkan nukilan dengan mendatangkan hadis Rasulullah sollallahu alaihi wasallam :

Sesiapa yang memulakan sesuatu perbuatan yang baik (sunnah hasanah), maka ia akan mendapat pahalanya, dan pahala orang-orang yang meniru perbuatan tersebut setelahnya tanpa berkurang sedikit pun daripada pahala mereka. Manakala sesiapa yang memulakan satu perbuatan yang buruk (sunny sayyi'ah), maka ia akan mendapatkan dosanya dan dosa orang-orang yang meniru perbuatan tersebut tanpa berkurang sedikit pun daripada dosa mereka.  (Hadis Riwayat Muslim daripada Jarir bin Abdullah)

Dalam hal ini, saya terbayangkan diri saya sendiri secara khususnya sebagai seorang ibu untuk anak-anak saya.

Apakah "trend" yang dicetak pada anak-anak?

Banyak sungguh kelemahan diri. Allah ya Allah, moga Allah sentiasa pandu diri saya yang lemah ini dalam mencari redha-Nya.

Ibu adalah sekolah yang baik untuk anak-anak. Membaca pelbagai kisah hidup ulama silam dan masa kini semuanya bermula dengan pendidikan yang diperolehi daripada ibu (ayah) di rumah.

Kerdilnya terasa...

Memperkenalkan Allah sebagai tuhan, Islam sebagai agama, Nabi Muhammad sollallahu alaihi wasallam adalah rasul junjungan kita, memperkenalkan kisah hidup para sahabat yang hebat, para ulama, orang soleh, menerapkan akhlak yang baik, memantapkan bahasa Arab, dan senarainya berterusan... untuk pendidikan anak-anak.

Masya Allah. La hawla wala quwwata illa billah.

Setiap daripada kamu adalah pemimpin. Dan setiap pemimpin akan ditanya tentang orang-orang yang dipimpinnya. (Hadis riwayat Bukhari)

Ya Allah, daku memohon keampunan-Mu.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Ummu Khaulah (Aina Dayana Hilmi)
Instagram : @ainadayanahilmi

Khamis, 10 Disember 2015

Biskut Cornflakes Madu


Chef Cilik masuk dapur. Sudah lama tidak makan biskut ini. Resipinya saya ambil dari blog Azie Kitchen. Mudah dan sedap.



Biskut Cornflakes Madu
Oleh: Azie Kitchen

Bahan-bahan ( 50-60 biji )
4 cawan Cornflakes
¼ cawan madu
¼ cawan mentega
Papercup secukupnya
Sprinkles sebagai hiasan
Ceri (sebagai hiasan - ikut suka)

Cara-cara
Cairkan mentega dan madu dengan api yang kecil. Kacau hingga mentega cair. Cornflakes dihancurkan sedikit dan dimasukkan dalam mangkuk.

Campuran mentega dan madu dimasukkan ke dalam mangkuk berisi Cornflakes tadi. Gaul rata hingga semua Cornflakes diselaputi dengan madu.

Sudukan ke dalam paper cup dan tabur sprinkles ke atasnya. Letak hirisan ceri jika suka. 

Susun di loyang dan bakar selama 10-15 minit dengan suhu yang bersesuaian


Alhamdulillah.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Ummu Khaulah (Aina Dayana Hilmi)
Instagram : @ainadayanahilmi

Rabu, 9 Disember 2015

Busy bag for travel



Minggu ini akan bermusafir. Selesai urusan mengemas beg pakaian, masa untuk memikirkan aktiviti sepanjang perjalanan.

Kali ini mahu memberi tumpuan kepada "word family". Sebenarnya terjumpa sebuah laman sesawang yang sangat menarik untuk ajar anak bahasa Inggeris. Ada banyak aktiviti disediakan. Ibu ayah boleh pilih, cetak, laminate dan jadikan "game book" atau "dry-erased book" yang mudah dibawa ke mana-mana insya Allah. Bolehlah ke www.schoolsparks.com ya :)

Asalnya mahu lukis dan tampal tetapi emak mencadangkan supaya dicetak dan laminate untuk tahan lama. OK saya kata.

Saya sediakan 4 jenis aktiviti untuk dua anak yang besar (5 tahun dan 3 tahun).

1. Gambar bakul dan "word family" at.

- Anak akan sebut dengan betul dan tampal mengikut warna.
- Saya gunakan velcro untuk lekatkan.





2. Gambar "fish bowl" dan "word family" ag yang dicetak atas template ikan.

- Anak akan sebut perkatan dengan tepat lalu ditampal pada mana-mana bahagian yang disukai.



3. Gambar bakul dan buah-buahan.

- Ada tujuan 2 dalam 1 untuk anakanda lelaki saya ini. Saya akan tuliskan kalimah (al-Quran) di atas buah-buahan dan minta dia baca dengan betul. Ala-ala "dry-erased activity". 

Seperti pernah disebutkan sebelum ini dia belajar mengaji dengan menggunakan papan putih. Masih belum mahu duduk menghadap Iqra' At-Taisir itu 😁



4. Gambar "fish bowl" dan template ikan yang kosong.

- Juga menggunakan kaedah yang sama seperti nombor 3 :)

Sedang memikirkan aktiviti bercerita atau story sack yang boleh dibawa. Insya Allah saya kongsikan nanti.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Ummu Khaulah (Aina Dayana Hilmi)
Instagram : @ainadayanahilmi


Selasa, 8 Disember 2015

Sesi bercerita : Ada apa di dalam kotak?


Selepas solat Isyak, ambil masa sekejap untuk membacakan anak buku cerita. Haruslah ada warna merah jambu jika si kakak yang memilih buku. Tajuknya "Ada Apa Di Dalam Kotak?".




Agak-agaknya apa yang terlintas di fikiran mereka? Semua menjawab hadiah! (Ummi pun teka begitu). Namun helaian pertama menyangkal tekaan tadi. Rupanya bercerita tentang donat koko dan donat strawberi.




Dua jenis donat ini angkuh kerana hasil jualan mereka banyak mengalahkan kuih-muih yang lain. Tempat letak mereka lebih luas. 




Namun beberapa minggu kemudian, tuan kedai membawa sebuah kotak misteri yang cantik. Tempat letak donat dikecilkan.




Mengapa ya? Dan apakah benda di dalam kotak?

Jeng..jeng..jeng...


Anak-anak ketawa sahaja sambil cuba meneka. Semasa bercerita haruslah ada unsur suspen, kejutan dan nada teruja. Barulah mereka juga ikut "excited" mendengar  cerita. Sungguhpun ummi mereka ini tidaklah pandai bercerita. Sob..sob..

Ha, tuan kedai rupa-rupanya mengeluarkan kek cawan dari kotak comel ini. Oh!

Dan kek cawan tidak sombong. Ia berkawan dengan semua kuih yang ada. Donat koko dan donat strawberi berasa insaf dan malu atas perbuatan mereka.

Pengajarannya :




Maksudnya : Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong, kerana sesungguhnya kamu tidak akan dapat menembus bumi dan tidak akan mampu menjulang setinggi gunung. (Surah Al-Isra' ayat 37)


Ya Allah, Allah memberi peringatan tegas supaya  jangan sombong. Tidak ke mana dengan sikap itu. Sebaliknya kita mesti berlemah-lembut dan berbuat baik kepada orang. Bukankah itu akhlak Rasulullah sollallahu alaihi wasallam.

Anak-anak ini suka cakap "tak nak kawan". Ha, dah dengar ayat tadi kan? Tak elok cakap macam tu, bukan?

Mereka mengangguk-anggukkan kepala.




Disebabkan hari sudah malam tak dapatlah kami membuat donat. Maka tukar kepada permainan kotak impian :) (baca :kotak beracun). Kami gunakan sebuah kotak dan dimasukkan beberapa objek di dalamnya. Cara bermain :

1. "Passing" kotak sehingga lagu tamat.
2. Orang terakhir memegang kotak akan menyeluk ke dalam kotak tanpa melihat isinya.
3. Teka objek.
4. Keluarkan dan lihat sama ada tekaan betul atau salah.
5. Permainan diulang sehingga objek habis dalam kotak.

Seronok sekali mereka bermain. Hingga susah mahu diajak masuk tidur. Haih.. ^_^


Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Ummu Khaulah (Aina Dayana Hilmi)
Instagram : @ainadayanahilmi

Ahad, 6 Disember 2015

Lebai Ali Family Day


Hari ini 6 Disember 2015. Imbas kembali 6 bulan lepas keluarga suami menganjurkan Hari Keluarga bertempat di Villa Mak Tok, Hulu Langat. Hampir semua keluarga dari sebelah adik-beradik ibu mertua saya hadir memeriahkan majlis. Ada yang bertugas jadi datang selepas waktu bekerja. Salute dengan mereka ini. Komitmen tinggi :)

Villa Mak Tok ini memang besar, sesuai dengan kami yang ada lebih dari 8 buah keluarga. Kami menyewa 3 hari 2 malam. Sangat berpuas hati. Tuan punya Villa yang kami panggil Mak Tok turut berada sepanjang program. Masya Allah. Orangnya merendah diri tetapi banyak ilmu dapat dikutip dari beliau. 

Villa ini mempunyai surau kecil, kolam renang, tapak perkhemahan di halaman rumah, pondok astaka, mini perpustakaan,beberapa ruang dapur, kebun buah-buahan dan aktiviti berkayak. Kolam renang yang ada ini menggunakan air yang datang terus dari air terjun / sungai di balik bukit dan air ini akan terus memasuki sungai yang berada di bawah villa ini. 

Seronok berkumpul di surau kecil villa. Pertama kali berkumpul dalam keluarga sebesar ini masya ALLAH. Kami adakan solat berjemaah, qiamullail, bacaan surah yaasin, slot tazkirah dan slot khas bersama kaum ibu dan anak-anak perempuan.



Sukaneka haruslah menjadi aktiviti wajib. 



Pertandingan mewarna dan hasil karya masing-masing. Khaulah dapat tempat pertama.;) Agak-agak mana satu lukisannya?

Kayak

Lebai Ali Family (walaupun tidak semua dapat hadir)
Alhamdulillah :)

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Ummu Khaulah (Aina Dayana Hilmi)
Instagram : @ainadayanahilmi

Sabtu, 5 Disember 2015

Lapbook Surah Asy-Syams


.Surah Asy-Syams adalah surah ke-91 dalam al-Quran, tergolong dalam surah Makkiyyah kerana diturunkan di Makkah. Mempunyai 15 ayat.


Sebak terasa tatkala membaca tafsir Surah Asy-Syams dalam Kitab Tafsir Al-Munir Juzuk Amma karangan Dr Wahbah Al-Zuhaili (semoga Allah merahmatinya).



Allah bersumpah dengan 7 perkara ; matahari, bulan, siang, malam, langit, bumi dan jiwa. Semua ini menunjukkan kepunyaan Allah yang agung dan tiada tandingannya. 


Sedikit perkaitan dengan surah sebelum ini (Surah Al-Balad) di mana dalam surah tersebut Allah menjelaskan tanda-tanda golongan kanan dan kiri. Dan di dalam Surah Asy-Syams ini Allah menjelaskan ciri-ciri khususnya.

Kedua, dalam Surah Al-Balad dinyatakan balasan orang kafir di hari akhirat dan di dalam surah As-Syams ini dinyatakan balasan kepada orang kafir ketika masih di dunia.

Kisah kaum Thamud turut disebut dalam surah ini. Allah memberi contoh kaum yang kotor jiwanya, yang tidak menjaga dengan baik perintah dan hukum Allah.

Kesimpulannya, surah ini memberi MOTIVASI kepada manusia ke arah ketaatan dan PERINGATAN supaya manusia tidak melakukan maksiat.



Sehubungan dengan itu Allah ilhamkan untuk membuat lapbook ini dengan anak kerana sudah nampak kecenderungannya untuk membaca terjemahan al-Quran. Sebelum ini dia hanya membaca al-Quran tanpa melihat terjemahan.

Saiz lapbook kali ini lebih kecil - lebih kurang saiz A5 dan boleh dibuka empat penjuru.



Kulit hadapan lapbook


Bukaan pertama

Gambar dari kiri :

1- Diletakkan kepingan jigsaw puzzle dalam dua plastik. Bahagian atas diletakkan cantuman yang betul dan bahagian bawah tempat menyimpan jigsaw puzzle.

Gambar untuk mewarna.

2 - Ada Surah Asy-Syams dan helaian bawah itu adalah cari kata (word search) berdasarkan perbendaharaan kata dalam surah Asy-Syams. Sebentar lagi saya kongsikan.

3 - Bukaan sebelah kanan (lihat di bawah)


Bukaan penuh - gambar di tengah lapbook

Ada tiga bahagian di sini. Vocab pilihan daripada surah Asy-Syams. Saya memilih 9 patah perkataan untuk dipelajari iaitu :

1. شمس - matahari
2. القمر - bulan
3. النهار - siang
4. ليل - malam
5. سماء - langit
6. أرض - bumi
7. النفس - jiwa (manusia)
8. الفلاح - berjaya
9. ناقة - unta betina
Saya bina cari kata ini kerana akhir-akhir ini anak berminat dengan permainan ini. Hanya buat sendiri tanpa bantuan komputer dan laminating plastic kerana ketika membuat lapbook ini bahan-bahan tersebut tiada bersama.

Saya tuliskan di atas kertas A4 putih dan masukkan ke dalam plastik. Selotep. Anak akan menggunakan whiteboard marker. Selepas buat boleh padam. Jimat ;)


Cari kata perbendaharaan kata


Zoom - jigsaw puzzle

Jigsaw puzzle juga saya lukis dan warna. Ada tiga keping. Saya kira sepatutnya menggunakan gambar real tetapi tiada sumber ketika ini. Mahu pantas siap, lukis sahajalah. Saya tampal pada kad manila sebagai tapak ;)


Bukaan penuh lapbook - bahagian dalam


Bukaan penuh - bahagian luar
Hampir 100% saya gunakan bahan dari internet. Insya Allah sedikit masa lagi saya muat naik bahan-bahan membuat lapbook ini.

Cuma, sebagai pesanan untuk diri saya juga, jika mencari potongan ayat atau surah dari internet baca terlebih dahulu dengan merujuk al-Quran atau scan sahaja Al-Quran kerana insya Allah tanpa ragu. 

Beberapa laman yang saya periksa terdapat banyak kesalahan pada struktur ayat, tanda tajwid yang tidak lengkap dan terdapat perubahan baris - kesannya akan berubahlah makna, bukan?

Semoga bermanfaat. Wallahualam.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Ummu Khaulah (Aina Dayana Hilmi)
Instagram : @ainadayanahilmi
Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015