Ahad, 24 Februari 2019

Buku Latihan 1000 Soalan Matematik Asas

Kemahiran asas matematik sangat perlu dikuasai oleh anak-anak. Lagi-lagi kemahiran mencongak.

Saya agak risau dengan perkembangan sebahagian anak-anak kelas mengaji yang rata-ratanya tidak minat matematik. Semudah sifir 7 x 5 pun tidak mampu dijawab terus!

Adakah sebab motivasi, silibus, sikap atau selainnya? Jika ditanya soalan tambah tolak dua angka pun mereka perlu masa untuk menjawab. Hmm..

Wahai anak, semoga kamu minat dalam apa jua pelajaram yang kamu tekuni. 

Bertitik tolak daripada peristiwa ini, saya fikir pendedahan kepada anak-anak sendiri perlu dimulakan dari awal.

Santai-santai beri soalan mudah merangkumi tambah dan tolak. Selalu beri latih tubi dan beri peluang anak mengira jumlah duit yang perlu dibayar ketika membeli di kedai.

Jika ibu ayah rajin, buatkan sendiri koleksi soalan spontan untuk anak jawab. Ada rakan saya memberitahu, semasa dia kecil dahulu, setiap hari pulang dari sekolah, ibu ayah akan berikan 100 soalan latihan untuk dibuat. Maka dia memang tidak mempunyai masa untuk leka menonton televisyen sebab sudah ada rutin seperti ini. 

Apabila buku 1000 soalan latih tubi ini dijual, saya tak lepaskan peluang untuk beli untuk anak-anak :-) RM4.90 sebuah merangkumi 4 asas kemahiran matematik : tambah, tolak, darab dan bahagi.


Antara kandungan buku :


Bukunya nipis. Ada 66 muka surat. Berbaloi kongsi dengan kawan-kawan untuk beli buku ini. Kos pos 10 naskah buku masih RM10. 


Jumpa lagi.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Khamis, 21 Februari 2019

Buku Mini



Me-time sebagai surirumah? Hampir tiada. Tetapi kita boleh sahaja adjust sendiri.


Setiap pagi selepas rutin biasa, anak-anak sudah menunggu untuk belajar. Hari ini kami memilih untuk membuat sebuah buku cerita mengenai Kak Teh Asma’. Pilih perkara yang dia suka dan biasa buat.

Waktu inilah gam tiada, pengasah pensel hilang, gunting salah letak. Grr…

Ok, kita guna sahajalah apa yang ada. Ummi gunakan kad putih ini dan tulis ayat ringkas seperti :

>> Nama saya Asma’.


>> Umur saya lima tahun.


>> Saya suka mengaji.


>> Saya suka lukis arnab.


>> Saya suka buat origami.


>> Saya pandai menggunting.


>> Allah yang beri saya pandai.


>> Alhamdulillah. Terima kasih Allah.


Setiap satu muka surat, anak akan lukis dan warna. Ada juga yang ummi bantu. Ada 2 helai yang dia tak mahu warna. 

Akhir sekali, ummi compile jadi sebuah buku. Disebabkan tiada bahan yang mencukupi, ummi selotep sahaja buku mini ini.

Siap!

Di sebalik tabir :


Horror. Hasil kerja si budak 2 tahun. Huhu..

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Ahad, 17 Februari 2019

Ragam si kecil Abdurrahman



Jam semakin menghampiri waktu Asar. Aktif bukan main dengan kak tehnya.

Ummi suruh tidur. Kak Teh baring, tutup mata terus lelap. Masya Allah.

Abdurrahman?

Dengan pakai pampers sahaja, baring juga. Tapi mulut mengomel tak sudah. "Abdurrahman 'Arefee, tidur!" Ok ummi!. Lalu berbaring dan berbunyi : kroh..kroh.. dah ummi.

Bertuah punya anak. Ish..ish..
Kisah anak umur 2.4 tahun ni. Hmmmm...

Ummi,
Grr je rasa😂

Sabtu, 16 Februari 2019

Belajar, usah jemu dan putus usaha.


Sejak kembali ke rumah (masih mode cuti tanpa gaji ni), saya sudah semakin sukar untuk keluar ke mana-mana. 

Namun ia tidak bermakna terputus hubungan dengan kawan-kawan semasa bekerja dahulu. Segalanya kan di hujung jari :-)

Meriah sungguh WhatsApp group sejak awal tahun. Semakin ramai rakan yang mula aktif menghadiri seminar-seminar al-Quran. Rasa bertuah walaupun tidak dapat mengikuti bersama tetapi refleksi mereka setelah hadir ke program berkenaan sedikit sebanyak memberi manfaat kepada yang lain.

Syukur juga kerana beberapa tahun kebelakangan ini Melaka semakin aktif menganjurkan program bercorak al-Quran secara bersiri. 

Bagi yang tidak dapat keluar selalu, boleh cuba beberapa alternatif :

1) Mendengar perkongsian rakan
2) Menonton video di Youtube
3) Menyertai kumpulan-kumpulan Telegram @ WhatsApp
4) Membaca buku, artikel atau hantaran di Facebook
5) Tekan butang 'follow' tokoh-tokoh ilmuwan di media sosial

Menuntut ilmu ada pelbagai cara. Moga setiap hari kita sentiasa top-up dan tambah baik ilmu dalam diri. Wallahualam.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Jumaat, 15 Februari 2019

Catatan harian


Sudah 2 minggu sebenarnya kesihatan merudum. Setiap malam sukar tidur, badan tak selesa dan pernafasan jadi laju. Nampaknya lelah kembali menyerang. Terlepas peluang hadir ke kelas bersama Kak Fad hujung minggu ini.

Akhirnya semalam menyerah diri ke zon asma di hospital. Daripada jam 4 pagi sudah terjaga lalu bersiap awal. Kasihan pula anak-anak, ummi tak dapat sediakan bekalan ke sekolah seperti biasa.

Mengendong si kecil ke bahagian kecemasan dan ambil nebuliser. Alhamdulillah si kecil sangat mudah diurus padahal terpaksa dikejut awal pagi :-) Alhamdulillah. Terima kasih juga buat adik bongsu kerana bawakan kami ke hospital. 

Sesekali si kecil ini bertanya juga : 
+ acu ane? 
- Maksu kerja. 
+ Oo.. acu ane? 
- Maksu ada di wad. 
+ Oo.. wad. 


Khamis, 14 Februari 2019

Sesi Bercerita : You Can Do It, Bert!



Buku cerita bergambar ini saya kirim dengan Cikgu Ib yang berkunjung ke Big Bad Wolf Sale hujung tahun lepas. Suka guna khidmat beliau lantaran ilmunya sebagai story teller dan banyak pengalaman dengan buku cerita kanak-kanak.

You Can Do It, Bert! Ialah sebuah buku cerita bergambar yang mengisahkan seekor burung yang sedang mengumpul kekuatan melakukan sesuatu yang baru dan mungkin juga di luar kebiasaannya.


Daripada tajuknya sahaja, sudah "menyejukkan hati" kerana kata dorongan yang positif!

Bert berada di tempat yang tinggi dan sebelum membuat terjunan, dia melihat dulu sebagai langkah berjaga-jaga. Dalam masa yang sama "terdengar" suara-suara pemberi semangat.


Come on, Bert!

Apabila tiba ke muka surat ini, kami jadi lagi teruja.


Eh, kenapa Bert tutup mata?
Kenapa Bert tak pakai sayap dia?
Dia kan burung?
Dia nak terjun ke mana?

Haha .. anak-anak duduk diam sahaja. Saspens tunggu ummi sambung cerita.

Oooh.. rupanya Bert mengumpul kekuatan dan keyakinan diri untuk terjun ke dalam air! Kawan-kawannya sangat memberi semangat.

That's my Bert!
I know he'd do it.

Wow, sangat supportive! Saya suka.

Dan tidak keterlaluan saya katakan, cerita ini menginspirasikan saya dalam berkomunikasi dengan anak 2-3 hari ini.

Cakap yang baik-baik.
Fokus pada kelebihan anak.
Naikkan semangat anak apabila mereka dalam kesusahan membuat sesuatu.
Menggalakkan anak dengan cara yang betul.

Terima kasih Bert dan kawan-kawan :-)

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Rabu, 13 Februari 2019

Buku Lughatul Jannah


Beberapa hari lalu anak ambil semula buku ini. Oh, ummi tiba-tiba baru teringat. Masa Kakak Khaulah dan Abang Ngah dulu memang ummi fokus ajar perkataan dari buku ni. Umur 3 tahun lebih semua dah dapat vocab ini.


Tapi untuk anak-anak seterusnya ummi kurang guna buku ini.

Takpelah, kita guna sekali lagi. Meskipun Asma' masih belum boleh membaca BM, BI dan Arab, kita cam dahululah ya.


Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : Aina Dayana Hilmi | tiphomeschoolinguntukanak

Isnin, 11 Februari 2019

Misi Membaca 2019 #Buku11 Misteri Debunga Wangi



Penulis membawakan tiga watak utama. Aatif, Budail dan Dawid yang berkawan baik dan mempunyai minat mendalam terhadap bidang ketenteraan.

 Bonus minat membaca mereka membuatkan mereka bertuah memenangi lawatan percuma menaiki helikopter selama setengah jam dari pihak TUDM.

Asalnya, mereka mengikuti rombongan sekolah ke Kuala Lumpur. Semasa melawat ke Muzium Negara, ada pameran ketenteraan. Mereka mengambil kesempatan memasuki kuiz yang dianjurkan. Seronok bukan kepalang.

Juruterbang pelancong itu pula ramah melayan mereka. Lalu ditambah sedikit masa dan beliau membawa mereka ke hutan Pahang.

Malang tidak berbau, juruterbang terkena serangan jantung secara tiba-tiba sehingga menemui ajal! Helikopter terhempas di hutan Pahang namun alhamdulillah ketiga-tiga mereka terselamat.

Banyak kemahiran "survival" yang ada pada mereka terutamanya pada Budail. Ada manfaat dia selalu belajar dengan datuknya tentang selok-belok di hutan.

Antaranya kemahiran membina tempat berteduh, petua jika terkena luka atau cedera, kemahiran menangkap ikan, ciri keselamatan di hutan, makanan yang terdesak boleh dimakan ketika kecemasan, membuat sendiri peralatan senjata, emosi yang tenang dan lain-lain.

Secara langsung Aatif dan Dawid boleh belajar sekali.

Jika tersesat di dalam hutan, elakkan membina kem berdekatan sungai kerana dibimbangi terserempak dengan haiwan buas. Haiwan ini memang kerap ada di pinggir sungai kerana mencari sumber air dan makanan.

Boleh dibayangkan bagaimana ketiga-tiga mereka terpaksa makan siput babi. Hehe. Mereka panggang dahulu sebelum makan.

Dalam masa yang sama mujurlah Skuad Senoi Praaq turut menjejaki mereka. Namun, Aatif dan rakan-rakan berjalan sangat pantas dan mengambil masa untuk sukan ini menemui mereka.

Tanpa disangka Aatif, Budail dan Dawid terserempak dengan sebuah ladang ganja di tengah hutan Pahang! Tindakan bijak mereka dapat mengenalpasti pokok itu dan membakarnya sehingga punah seluruh tanaman. Mereka tidak lupa menutup hidung kerana bau yang kuat itu mampu mengkhayalkan mereka.

Memang waktu genting kerana dalam masa yang sama mereka diburu oleh penjenayah ganja tersebut. Sempatlah mereka melarikan diri kerana waktu sudah hampir malam. Namun mereka bertungkus-lumus menyiapkan jerangkap samar bagi melambatkan pergerakan penjenayah. Tambahan pula, mereka terperangkap di hujung tebing curam.

Syukurlah pasukan Senoi Praq sempat menemui mereka! Tumpas satu kes penanaman ganja di dalam hutan Pahang. Paling penting, mereka semua terselamat!

Berdebar je baca sepanjang cerita ni. Disebabkan novel ini agak tebal untuk anak lelaki saya, maka saya ceritakan serba sedikit sambil tunjuk gambar di internet. Haha. Bolehlah memacu semangat dia  untuk baca buku ini.

Buku 11 / 2019

Aina Dayana Hilmi
www.wasap.my/60133613516
Emel.: ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Khamis, 7 Februari 2019

Misi Membaca 2019 #Buku10 Nafas Elbereth


Buku ini ialah novel kanak-kanak ditulis oleh John Norafizan terbitan JS Adiwarna (2012). Sudah lama tetapi saya baru berkesempatan membacanya. Buku ini dibeli semasa Kak Su buat jualan kotak misteri tahun lalu sebelum Jemari Seni menutup tirai operasinya.

Semasa sedang baca, baru saya perasan ini ialah Volum 2. Maknanya ada Volum 1 tetapi saya tidak memilikinya. Tak mengapalah.

Volum 2 Saga Aldarian : Nafas Elbereth seperti novel sains fiksyen. Ada dunia fantasi, pari-pari, nama yang pelik-pelik dan sudah pasti konfliknya juga nampak rumit.

Apa yang saya faham, Haikal dan abangnya, Fitri tercampak ke dunia Aldarian semasa mereka berkhemah di sebuah hutan. Haikal menjadi tawanan di sebuah istana dan disebut sebagai bakal raja kota itu. Bagaimana ia terjadi tidaklah dapat dipastikan. 

Namun Haikal sebenarnya mahu dijadikan proksi bagi mengaburi mata masyarakat. Jika berlaku hari perlantikan takhta raja, dia akan dibunuh dan jasadnya diambil alih oleh Azeroth, raja terdahulu yang kejam. Beliau tewas dalam satu peperangan tetapi tidak mati. Untuk kembali berkuasa, beliau perlukan jasad yang kuat dan Haikallah yang menjadi pilihannya.

Ada watak lain seperti Putera Adamian, Darius, Raja Pari-Pari, Magian pelbagai bangsa, Gil-Gil dan Orkos. Ada si Lilah dah Isyma yang membantu Haikal melarikan diri dari menjadi tawanan.

Malangnya ada kesilapan cetakan pada buku saya ini. Muka surat 125 hingga 200 tiada. Jadi saya tidak dapat mengetahui dengan lengkap apa yang berlaku kepada perjalanan mereka semua.

Tapi jika ada peluang mahu juga saya baca Volum 1 hingga 3 ini.

Sesuai untuk bacaan anak-anak terutama anak lelaki yang sukakan misteri dan cabaran.

Buku 10 / 2019

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Isnin, 4 Februari 2019

Sesi Bercerita : Siapakah yang Lebih Kecil?

Hari ini tertarik dengan buku cerita Siapakah Yang Lebih Kecil? Buku ini terbitan Penerbitan Pelangi Sdn Bhd. Sebenarnya ada 2 cerita di dalam sebuah buku tetapi kami ulang baca Cerita 1 sahaja.


Kiro si monyet kecil ini rendah sahaja. Kawan-kawan selalu ketawakannya. Kiro rasa sedih. Lalu dia mencari benda yang lebih kecil daripadanya.



Malangnya dia lebih kecewa. Rumput di tepi jalan pun lebih tinggi.

Namun, si tikus kecil itu lebih rendah daripada Kiro. Kiro tiba-tiba berasa dirinyalah yang sangat hebat lalu diketawakannya si tikus kecil.

Alahai, kenapa begitu ya? Tak baik betul.


Si tikus kecil juga sedih. Namun, dia terpijak seekor kumbang. Dan, oh, rupanya ada haiwan lebih kecil daripadanya. Apa yang tikus kecil buat?

Dia pun ketawakan si kumbang itu. Eh, eh!

Tetapi reaksi si kumbang berbeza. Dia tidak sedih. Tetapi dia yakin diri. Tak peduli pun haiwan lain perkecilkan dirinya. Ha, inilah yang bagus, bukan?

Ummi sebut dua ayat ini dengan anak-anak :

1) Surah Al Hujurat ayat 11

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

2) Hadis 

Perkataan yang baik adalah sedekah.

Anak-anak mengangguk tatkala mendengar penerangan. Kemudianlah sambung aktiviti berdasarkan buku ini :-)

Jumpa lagi.

Ummi Aina.
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : Aina Dayana Hilmi | tiphomeschoolinguntukanak

Ahad, 3 Februari 2019

Pelan Rancangan Pembelajaran Anak minggu ini


Tahun ini, ada dua orang anak yang perlu saya santuni di rumah. Setiap hari bangun pagi akan bertanya, ummi kita nak belajar apa hari ini?

Ummi senyum sahaja.

Seorang berusia 4 tahun lebih, dan seorang lagi 2 tahun lebih.

Melihat kepada usia mereka, ada beberapa perkara yang boleh dibuat.

Pertama, mengajarkan adab dan akhlak.

Kedua, melatih kemahiran motor halus dan motor kasar.

Ketiga, memperdengarkan bacaan ayat Al-Quran.

Semalam hari Sabtu. Anak pengasuh melangsungkan perkahwinan. Jadi ummi bagi peluang pada semua anak berlibur sehari. Memang sungguh-sungguh mereka bermain.

Cadangan pelan pembelajaran anak-anak minggu ini (3 - 10 Februari) :

Adab : mengucapkan terima kasih, sama-sama dan minta maaf.

Hadis : Perkataan yang baik adalah sedekah.

Doa :

- Doa pakai baju baru.
- Doa buka pakaian.
- Doa meletak pakaian.

Lapbook : Sunnah Memakai Pakaian.

Seni : Origami baju

Menulis : tracing huruf ha (gambar hadiah)

Read aloud :

1. Kalimah Toyyibah Ana Muslim
2. Hadis untuk kanak-kanak
3. Hari Jadi Sara

Tapi buku ini biasanya akan berubah-ubah. Ikut pilihan anak setiap hari.

Jumpa lagi.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : Aina Dayana Hilmi | tiphomeschoolinguntukanak

Jumaat, 1 Februari 2019

Liga Buku Goodreads Malaysia Musim 2019

Apabila ternampak notifikasi di Facebook, saya buka Laman web Goodreads Malaysia. Nampaknya sudah dikemaskini data bacaan ahli pada bulan Januari 2019. Sebelum ini Tuan Nazmi yang konsisten mengemaskini data dan tahun ini bakal diterajui oleh sukarelawan lain. Terima kasih!

Ada 2 buah buku lagi yang belum sempat saya reviu. Insya Allah akan berkongsi nanti. Seperti tahun lalu, mungkin saya lebih banyak membaca buku kanak-kanak dan berbentuk fiksyen. Sebagai salah satu cara menapis bacaan dan mahu disyorkan kepada anak-anak sendiri :)

Bulan Februari bermula hari ini. Buku apa yang anda baca bulan ini?

Saya pun belum tahu sebab sedang membaca beberapa buah buku serentak.

Selamat membaca semua.

#MalaysiaMembaca
#galakanmembaca
#MisiMembaca2019

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : Aina Dayana Hilmi | tiphomeschoolinguntukanak

Corat-coret minggu lalu

Minggu lepas punya cerita. 

Nampaknya si kecil Abdurrahman memang suka mengusik si kak teh. Ada sahaja pekerjaannya. Kak teh pun boleh tahan. Ada masa suka timbulkan kemarahan adik. Adoi, ummi yang nak menyinga. Istighfar ummi istighfar.

Jadi semasa kak teh buat latihan menulis, ummi perlu sedia satu aktiviti untuk Abdurrahman juga. Jadilah ikan dan balang ini.



Ummi warnakan dan gunting terlebih dahulu, baru Abdurrahman tolong tampal.

Oh, perbendaharaan katanya sudah semakin banyak. Ada yang boleh difahami walaupun sebutan tidak sempurna. Alhamdulillah.

Malam tadi mereka berdua berebut telefon mainan pula. Hari ini ummi janji nak ajar buat telefon. Nanti kita tengok jadi ke tidak telefon ummi ni. Haha.

Meh cari idea di internet :


Ini memang biasa buat masa kecil. Ambil tali panjang sampai boleh hubungkan bilik ke bilik. Seronok sangat masa tu. Hehe.

Sumber gambar : wikihow.com 

Yang ini nampak "simple". Cun. Yalah, nak melukis "advance" ummi tak pandai.

Tak sabar nak mulakan sesi hari ini dengan anak-anak.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : Aina Dayana Hilmi | tiphomeschoolinguntukanak
Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015