Khamis, 28 Disember 2017

#cutisekolah Aktiviti 7 : Sensory Bag



Sabtu malam Ahad. Saya dan emak sibuk membungkus hadiah untuk program Kem Anak Kusoleh Solehah. Anak-anak masih aktif bermain walaupun jam sudah melepasi 10.30 malam.

Saya capai ziplock bag dan pelekat huruf yang dibeli siang itu dan minta mereka mengambil sabun dari bilik air.



Semua diminta melekatkan 3 keping stiker di dalam ziplock bag. Kemudian, tuangkan sabun ke dalam beg lalu "seal" dengan masking tape supaya cecair tidak terkeluar.



Sabun cecair boleh diganti dengan gel rambut.

Hasilnya, anak boleh tekan sedikit beg ini dan cari huruf-huruf. Selain stiker timbul, kita boleh sahaja gunakan lego, model huruf bermagnet dan lain-lain.



Bila anak-anak teruja, rasa gembira melihat mereka seronok.

Selamat mencuba.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Tarbiah Hati


Catatan #throwback Program Kem Anakku Soleh Solehah di Air Panas, Jasin.

Dalam sibuk mengawas anak-anak ini mandi kolam, telinga terdengar jelas jeritan gembira seorang anak dari ruang sebelah. Toleh punya toleh tak nampak pula sebab ramai orang.

Tatkala mendaki tangga mahu kembali ke tempat duduk, mata menoleh ke kolam dan oh, sudah tahu empunya suara. Masya Allah 😊

Seorang anak tuna lihat sedang disantuni oleh ayahnya dengan gembira dan sabar. Seronok benar si anak bermain air dan pelampung besar. Mata yang tidak dapat melihat tidak menghalang anak ini menikmati keseronokan bermain air! Doa yang baik dititipkan dalam hati buat adik ini dan keluarganya.

Menjelang tengah hari, si kecil sudah mula menangis kehausan. Mahu tidur pun ya juga. Saya bergegas ke surau perempuan melabuhkan punggung dan menyusukan anak.

Seorang demi seorang memenuhi ruangan. Dan muncul sebuah keluarga yang terdiri dari nenek, ibu dan seorang anak perempuan.

Sekilas pandangan, saya mengetahui anak ini anak istimewa (Cerebral Palsy). Subhanallah, manis sungguh senyumannya. Memandang ke arah saya sambil menggapai tangan. Saya membalas senyumannya.

Melihat si ibu sabar menukarkan pakaian dan mendodoikan anak yang keletihan itu membuatkan saya menangis di dalam hati.

"Ya Allah, hari ini Kau tunjukkan dua buah keluarga yang mempunyai anak syurga. Istimewa sungguh ibu ayah yang menerima anugerah Allah ini. Bagaimana denganku? Kurniakanlah kesabaran dan jadikan daku hamba yang bersyukur atas semua pemberian-Mu."

“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepada kalian, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah:155)

Sabar ini bukan main-main. Lihat janji Allah :

“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” (Az-Zumar:10)

Subhanallah, tawaran yang hebat dari Allah! "Dicukupkan pahala mereka tanpa batas."

Moga dapat amalkan doa ini : 


Sumber gambar : di sini
Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Rabu, 27 Disember 2017

#cutisekolah Aktiviti 6 : Membuat penanda buku origami


Lebih elok jika dibuat dengan kertas tebal seperti kad manila dan berwarna.

Aktiviti ini sesuai untuk anak yang berumur 7 tahun ke atas. Anak-anak buat berpandukan video di YouTube.

Secara ringkasnya, kita perlukan gam dan 4 lembar kertas berukuran 1.0 cm x 22.0cm. Boleh juga lebarkan lagi kertas ini (1.5cm x 22.0cm).

Mari lihat video panduan :


Aktiviti ini dibuat oleh Khaulah dan sepupunya, Umar sahaja. Adik-adik yang lain sudah "surrender".

Tiada gambar hasil kerana masing-masing sudah gunakan dalam Quran sendiri.

Jumpa lagi.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Selasa, 26 Disember 2017

Kraf Belon Udara Panas


Sehari sebelum Playgroup Ibu dan Anak 1.0 dibuat dahulu, saya mencuba kraf belon udara panas ini dengan anak-anak dan anak buah di rumah. Seronok buat kraf ini. Alhamdulillah.

Hanya menggunakan 3 bahan iaitu :

- Belon
- Penyedut minuman boleh bengkok
- Cawan plastik

Lihat gambar, jelas bukan?

Sumber gambar : di sini


Anak-anak terlibat aktif dan banyak melibatkan pergerakan ~ meniup belon, menggunting selotep, menampal penyedut minuman dengan tepat pada cawan plastik dan melekatkan belon pada penyedut minuman,

Subhanallah, ia satu kerja yang mengambil masa rupanya! Aha.. sudah cuba baru tahu tahap sukar atau mudahnya membuat kraf ini ;)


Pesanan ikhlas : Jika belon senget selepas dilekat dengan selotep, tak perlulah buka selotep dan betulkan. Sebab belon anda boleh pecah jika ia nipis!

Selamat mencuba.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Isnin, 25 Disember 2017

Anak kupenggemar komik


Waktu bercuti pun mahu bawa buku cerita. Ok, ummi ikutkan. Kasihan pula tengok beg macam berat sahaja.

Waktu semua orang ke masjid untuk solat, ada si kakak buat peneman ummi dan baby di bilik.


Usai solat dan mengaji, terus lompat atas katil dan membaca. Ini kes tak bawa bahan bacaanlah ini.

Buku apa yang dibacanya hingga tak toleh kiri kanan?

Gulp. Komik Boboiboy.


Selak sedikit.


Ada jenis pula ya Boboiboy ini. 


Terfikir untuk buat komik yang menceritakan tokoh srikandi Islam. Hmm.. kena usaha kuat lagi ni.

Anak anda suka baca komik apa?

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Ahad, 24 Disember 2017

Kem Anak Kusoleh Solehah [Special Edition]



Subhanallah, Allah jua sebaik-baik perancang. Kem Anak Kusoleh Solehah merupakan siri program yang dijalankan dalam cuti sekolah saban tahun.

Tahun ini istimewanya sudah masuk tahun ke-10 penganjuran. Pihak pengurusan kem mendapat kerjasama yang cukup baik dari ibu bapa dan masyarakat kampung.

Bermula hari ini hingga Selasa, 26.12.2017 kem ini akan diadakan di Darul Sunnah, Kampung Bukit Pegoh, Melaka. Semoga program berjalan lancar dan diberkati Allah.



Insya Allah akan kemaskini maklum balas program ini nanti.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Anakku, bijaklah memilih bahan bacaan


Suatu masa dahulu, saya gemar mengikuti perkembangan buku dan majalah kanak-kanak dan remaja. Saya cuba baca, fahami dan membuat ulasan. Niatnya mahu menyebarkan lagi bahan bacaan yang baik dan bagus untuk bacaan anak-anak di luar sana.

Salah satu sebabnya dengan munculnya lambakan drama di televisyen yang berdasarkan novel popular. Waktu itu, saya semakin sedar, saya tidak mungkin dapat membaca semua novel popular itu sebab tidak tergerak hati mahu membacanya.

Saya fikir, hidup ini tidak lama jadi jangan bazirkan masa membaca buku yang kita tidak minat dan mendatangkan faedah.

Semasa mengendalikan usrah remaja, saya wujudkan satu sesi bedah buku. Anak-anak ini diberi pilihan reviu apa sahaja buku kegemaran mereka. 

Waktu itulah saya jumpa buku Fixi, Suamiku Encik Sotong, Sebenarnya Saya Isteri Dia, Suamiku Imam Muda, majalah Galaxy dan beberapa tajuk lagi. Ada juga yang memilih buku dari penulis Ain Maisarah.

Menarik apabila kendalikan sesi ini. Nampaklah anak-anak ini aktif dalam perbincangan. Dan mereka yang membaca novel popular ini masih berusia 11 - 12 tahun ketika itu.

"Seronok ke kisahnya?"

Besttt kak yana!

"Oh, faham ke ceritanya?"

Err..tak faham sangat kak. Tapi drama dia best!

"Apa nilai yang baik kamu dapat dari cerita ni?"

Ada kak. (Lalu disenaraikan..)
1...
2...
3...

"Ooh kalau macam tu kamu fikir ada tak nilai yang tak ok?"

Haah ada juga kak.

1...
2...
3...
4...
5...

"Err..ni rasa lebih banyak tak ok dari ok ni?'

Mereka ketawa. 

Panjang lagi perbincangannya. Lalu, perlahan-lahan saya perkenalkan variasi penulis dan penerbit bahan bacaan lain yang bagus dan berilmu untuk dibaca.

Majalah Gen-Q, Majalah Solusi, Majalah JOM!, buku-buku Dato' Dr Zulkifli (Mufti WP), novel kanak-kanak terbitan DBP, PTS dan Galeri Ilmu, seleksi buku Ain Maisarah dan lain-lain.

Antara hand out yang dibuat dahulu :




Lama selepas itu baru saya ketahui, ada yang mula menggemari tulisan-tulisan penulis di atas. 

Masa pantas berjalan, anak-anak ini semakin membesar dan semakin jauh menyambung pelajaran. Yang masih di kampung, sudah menjadi anak dara sunti, segan-segan pula menegur sapa. 

Apa pun saya berdoa agar semuanya dalam jagaan Allah dan kukuh mengikut batasan syariat. Moga jadi anak-anak yang solehah. Amin.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Rabu, 20 Disember 2017

"Mama, nak pakai stoking"



+ "Mama, kakak nak pakai stoking dan sarung lengan."
- "Oh, nanti mama tanya kawan ye."
Saya : Ada ni. Banyak pilihan warna dan jenis. Eh, anak umur berapa? (Sebab setahu saya anaknya masih kecil-kecil lagi).
+ Anak umur 6 dan 7 tahun, Na.
Masya Allah! 😭 Moga Allah berkati anak-anak ini.
Satu pengalaman baru buat saya. Allah jua yang memberi hidayah dan memegang hati-hati kita. Semoga Allah jaga hingga akhir hayat.

Oh ya, saya ada menjual stoking dan sarung lengan pelbagai jenis. Insya Allah jumpa di entri lain ya.



Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak


Selasa, 19 Disember 2017

X-plorasi Surah Al-Nisa



Alhamdulillah, siri keenam dalam siri X-plorasi telah pun terbit. Kali ini lebih tebal dan seperti biasa banyak ilmu dapat dipelajari melalui surah ini.

Membaca prakata buku sudah membuatkan diri saya ingin meneruskan bacaan. Apatah lagi apabila tertera "Surah untuk Lelaki" dan mengapa Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam menangis tatkala dibacakan surah ini oleh seorang sahabat? 😢



Ada 127 cabaran mengasah minda yang harus dibuat! Khas untuk pembaca sambil menyelami surah Al-Nisa' ini.

Antara yang menarik ialah :

🌷Dikenali sejak Zaman nabi
🌷Di sebalik Nama Al-Nisa’
🌷Apa Ada dalam Surah Perempuan?
🌷Surah untuk Lelaki
🌷Patutlah al-Nisa Selepas Ali ‘Imran
🌷Lapan Ayat Istimewa
🌷Rasulullah Menangis
🌷Surah Kesukaan Ibn Mas’ud dan
🌷 Kandungan Surah Perempuan.








Harga sebuah RM12.00. Berminat dengan buku ini? Boleh sahaja hubungi saya :

www.wasap.my/60133613516/XplorasiSurahAlNisa

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Sesi bercerita : Nabi Nuh A.S ~ Banjir Besar




Banjir besar juga dikenali sebagai bah.


"Ha, apa tu?" Tanya anak-anak dan anak buah. Mungkin pertama kali dengar.


"Kenapa panggil bah? Kan banjir." Maksud anak yang bertanya ni, kenapa ada banyak perkataan.


Itulah hikmahnya. Allah jadikan macam-macam bahasa.


Saya memang suka buku siri ini. Ceritanya mudah sahaja. Ayat "simple". Memang sesuai dengan laras bahasa anak-anak kecil.


Sekarang ada promosi di laman web Ana Muslim. Tapi tidak semua tajuk ada stok.


Kisah Nabi Nuh dalam buku ini diceritakan oleh ayah Najwa kepadanya semasa Najwa berbual dengan ayah tentang hujan yang tidak henti-henti turun.


Nabi Nuh gigih berdakwah selama 950 tahun mengajak kaumnya beriman kepada Allah namun hanya sedikit sahaja yang menerima ajarannya.


Satu ketika, Allah mewahyukan Nabi Nuh membina sebuah kapal besar sehingga baginda diejek oleh kaumnya sendiri. Tetapi baginda tetap melaksanakannya sehingga siap.


Pengikut yang beriman dan haiwan yang dibawa naik kapal tersebut sahaja selamat tatkala banjir besar melanda! Subhanallah.


Bulat mata anak-anak mendengar cerita ini. Masya Allah.


Apa yang kita dapat dari cerita ini?


- Kita tak boleh ejek orang.


Masya Allah, bagus jawapan itu. Tersenyum bangga anak yang menerima pujian ini.


Ya betul, lagi satu kita boleh contohi sikap Nabi Nuh yang sabar di ejek, sabar melakukan perintah Allah, sabar mengajak orang lain buat baik, sabar buat kerja yang susah (bina kapal).


Aktiviti berdasarkan buku.


Disebabkan jam sudah menghampiri 9.30 malam, anak-anak hanya mahu mewarna sahaja sebelum tidur. 


Saya lukiskan dot to dot bentuk kapal untuk anak-anak usia 3 dan 4 tahun manakala anak-anak 5 tahun ke atas, mereka perlu warnakan gambar mengikut nombor yang tertera pada petak gambar.


Alhamdullillah. Khusyuk benar masing-masing. Kurang sikit 'bergaduh' 😁


Aina Dayana Hilmi

Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Isnin, 18 Disember 2017

Playgroup Ibu dan Anak 1.0




Subhanallah alhamdulillah, tercapai juga hasrat melaksanakan program untuk anak kecil yang datang mengaji di rumah. Kali ini berfokus kepada ibu dan anak. Selain mahu berkenalan dengan ibu-ibu, diharap program ini membina satu "bonding" dengan anak masing-masing dan memberi semangat anak-anak ini berkawan dengan semua orang dan berakhlak baik.

Jika kita mahu anak kita berkelakuan baik, berkawan dengan orang yang baik, kita juga harus pastikan sekeliling anak kita baik. Melalui program seumpama ini diharap dapat membimbing dan mendidik anak-anak supaya bersosial dengan baik.

"Salute" dengan ibu-ibu yang dapat hadir. 

Ada yang mohon keluar sebentar dari tempat kerja untuk turut sama berada di sini.
Ada anak yang menangis-nangis mahu ibu turut serta pagi ini.
Ada yang datang dua beradik sahaja dan dengan suara perlahan bertanya kepada saya, bolehkah mereka join sebab ibu tak dapat datang.

Allahu, dengan senang hati saya terima. Kerana program ini memang untuk mereka.

Apabila berhadapan dengan orang ramai, saya mungkin tidak pandai bertutur, tapi saya harap dengan izin Allah, matlamat program ini sampai kepada tujuannya.

Terharu juga dengan sokongan seorang rakan yang sedang sarat mengandung sanggup memandu datang ke playgroup hari ini.

Tiup belon. Fuh..fuh..

Ada tiga aktiviti dijalankan hari ini :

1) Messy play - anak-anak mencari bahan tersembunyi di dalam tepung.

2) Sains Adik - menggunakan bahan yang diperolehi tadi, anak-anak membuat inferens dan pemerhatian terhadap benda yang timbul dan tenggelam di dalam air. Saya cuba menyampaikan mengikut aras kefahaman anak-anak.

Anak perempuan mungkin lebih jujur jawapannya. Anak-anak lelaki lebih humor. Macam-macam gaya! Mahu ketawa ada, rasa geram pun ada.

3) Kraf Belon Udara Panas 

Kami menggunakan 3 bahan utama iaitu :

@ cawan plastik bersaiz besar
@ 3 penyedut minuman boleh lentur (entah betul ke namanya? Hihi)
@ belon

Tambahan peralatan iaitu pen marker, gunting dan selotep.

- Tiup belon sederhana besar.
- Lekatkan penyedut minuman pada cawan plastik.
- Lekatkan belon kepada penyedut minuman.

Dah siap! Ada dua lagi dia punya ya.


Ada anak yang bijak masukkan batu ke dalam cawan supaya stabil. Masya Allah. Mampu menyelesaikan masalah sendiri.

Belon yang senget dan telah dilekatkan dengan selotep tidak boleh dicabut semula kerana belon akan pecah! Jadi berhati-hati semasa melekat supaya belon cantik terletak.

Mengapa dibuat aktiviti-aktiviti ini?

Selain memberi keseronokan, anak-anak perlu ingat supaya sentiasa bercakap yang baik kerana perkataan yang baik adalah sedekah (hadis). Kita dilarang bersangka-sangka kerana padanya ada dosa. 

Jagalah solat, membaca Quran dan bercakap yang baik dengan mak ayah. Semoga anak-anak ini menjadi anak yang soleh dan solehah.

Jazakumullahu khairan kepada semua ibu dan anak remaja yang hadir pada pagi ini dan sama-sama membantu sepanjang program berjalan.

Tak sempat berbual panjang dengan adik-adik remaja ini kerana masa yang padat.

Kenangan

Semoga ada kesempatan lagi untuk mengendalikan playgroup yang lain. Insya Allah.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

D'Desa Qaseh Homestay dan Chalet Pengkalan Balak, Melaka


Apabila pelan bercuti "last minute", habis semua tempat ditelefon 😅 Masya Allah. Peringatan buat diri sendiri. 

Beberapa minggu lepas ada cadangan untuk buat family gathering tetapi disebabkan kesibukan dalam minggu itu, saya tidaklah bertanya kembali pada adik-beradik yang lain.

Pada hari Sabtu tersebut, baru saya perasan kebanyakan adik pulang ke kampung. Malah ada yang bertanya mahu bertolak pukul berapa. Alamak 😱

Mahu bergerak selepas Zohor, pukul 1 tengahari baru jumpa tempat untuk kami inap. Subhanallah! 😅 Hampir jam 3.30 petang baru kami bertolak. Sabar sahaja emak saya 😂

D'Desa Qaseh Homestay dan Chalet Pengkalan Balak.

Mereka memiliki sebuah homestay dan 4 buah chalet. Halaman rumah yang sangat luas, mempunyai sebuah gazebo dan ruang parkir berbumbung. Malahan ada pangkin kecil dan sedikit pokok buah-buahan untuk berteduh.

Disebabkan kami agak ramai, alhamdulillah dapat juga menyewa kesemua chalet yang ada. Sesuailah dengan keluarga kecil kami. Setiap bilik ada 1 katil Queen dan 1 katil single, penghawa dingin, kipas, sejadah, 1 bilik air dan televisyen.

Kredit gambar : Facebook D'Desa Qaseh Homestay dan Chalet Pengkalan Balak.

Chalet

Dalam chalet

Meskipun berada dalam kampung, namun tidak jauh dari pantai. Berjalan kaki dalam 5 minit sudah nampak pantai. Naik kenderaan dalam seminit sahaja sudah sampai ke tepi laut.

Malahan, ada sebuah surau berhampiran untuk kaum lelaki pergi solat berjemaah. [Tapi Maghrib pertama kami malam itu, hanya kami sahaja yang solat di situ. Mungkin penduduk lain ke masjid berdekatan)

Disebabkan perancangan saat akhir, maka persiapan makanan pun tidaklah lengkap. Datang pula idea mahu berBBQ malam itu. Maka saya dan suami keluarlah membeli barang keperluan seperti arang, minyak masak, ikan, ayam, bahan perapan dan lain-lain di kedai runcit berhadapan masjid Pengkalan Balak dan Family Store Masjid Tanah.

Kedai runcit di situ agak lengkap. Kagum. Kami ke Family Store kerana mencari bahan aktiviti anak-anak.

Alhamdulillah, semasa BBQ tuan rumah sempat singgah menjenguk kami. Terima kasih Pn Adha dan ibunya yang menyantuni kami selama kami menginap di D'Desa Qaseh Homestay dan Chalet Pengkalan Balak.

Anak-anak gembira sungguh bermain di gazebo chalet. Sempatlah mereka bermain jigsaw puzzle, mewarna, berlakon dan macam-macam lagi permainan yang dicuba.


Kaum bapa sibuk membakar ayam, ikan, sotong dan lain-lain. Manakala kaum ibu sibuk menghidang dan melayan anak-anak kecil.


Keesokannya kami turun awal bersarapan dan berkelah di tepi pantai. Ada banyak warung di sini. Pilihlah yang mana anda selesa. Lama juga kami beri kebebasan anak mandi laut dan bermain pasir.



Hampir jam 12 baru kami pulang ke chalet untuk urusan keluar.

Alhamdulillah, satu pengalaman buat anak-anak kami bercuti bersama. Walaupun adik bongsu tidak dapat bersama kerana baru sahaja ditugaskan (posting) di Hospital Melaka, insya Allah lain waktu boleh pergi lagi 😃

Bagi yang berminat, anda boleh layari Facebook D'Desa Qaseh Homestay dan Chalet Pengkalan Balak atau hubungi Pn Adha 017-643 3436. 

RM300 untuk Homestay (1 malam)
RM120 untuk chalet (1 malam)

Apa pun, berhubung terus dengan nombor tertera untuk tempahan. Berbaloi! Insya Allah 😃

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak
Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015