Ahad, 25 Jun 2017

Pesan Syawal




Pesan kepada anak-anak sejak beberapa hari lalu. Adab berkunjung ke rumah orang :

* Baca doa berhenti di sesuatu tempat.

أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ
A'udzu Bikalimaatillaahit Taammaati min Syarri Maa Khalaq
"Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna dari kejahatan makhluk yang diciptakan-Nya." (HR. Muslim)

* Baca bismillah, beri salam.

* Baca doa masuk rumah.
بِسْمِ اللهِ وَلَجْنَا وَبِسْمِ اللهِ خَرَجْنَا ، وَعَلَى اللهِ رَبَّنَا تَوَكَّلْنَا
"Bismillahi walajnaa wa bismillahi kharajnaa wa-alallaahi rabbina tawak-kalnaa"
Ertinya :
Dengan nama Allah kami masuk rumah, dengan nama Allah aku keluar rumah, serta kepada-Nya aku berserah diri.

* Lepas dipelawa, baru makan dan minum.

* Baca bismillah sebelum makan dan minum.

* Baca doa untuk orang yang beri makan dan minum kepada kita.
اَللَّهُمَّ أَطْعِمْ مَنْ أَطْعَمَنىِ وَ اسْقِ مَنْ سَقَانىِ
Alloohumma ath-‘im man ath-‘amanii was-qi man saqoonii
‘Ya Allah berilah makanan kepada orang yang telah memberi makan kepadaku dan berilah minuman kepada orang yang memberi minum kepadaku.

Taqabbalallahu minna wa minkum 


Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Jumaat, 23 Jun 2017

Dugaan Ramadan


Malam ke-29 ramadan. Masih menunggu di Zon Kuning hospital. Menanti suami selesai menerima rawatan dan membuat imbasan otak. Moga tiada apa yang berlaku.

Bermula dari iktikaf malam tadi. Suami sudah rasa pening tetapi masih boleh solat dan berkuliah. Selepas waktu dhuha, dia mengadu kepada anak sulung yang dia mahu rehat kerana kepala pening.

Selepas beberapa kali muntah dan berakhir dengan sedikit darah yang bercampur muntah lewat petang tadi, adik ipar ambil inisiatif menelefon ambulans. Jam sudah menghampiri 7 malam.

Apabila doktor bertanya keadaan suami spontan teringat peristiwa dia diserang vertigo sebelum ini. Disebabkan sudah ada "history" pada 2009, 2015 dan hari ini maka doktor ambil keputusan untuk lakukan CT scan.




Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah, niscaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." (Surah At-Taghabun ayat 11)
Ya Allah berikan kesembuhan buat suami. Semoga yang terbaik mengikut perancangan-Mu. Amin.


Bilik CT scan
Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Khamis, 22 Jun 2017

Semut Api



Usai solat terawih, kami pulang sebentar ke rumah mengambil beberapa keperluan. Kebiasaannya, kami 'stay' terus di masjid untuk iktikaf.

Pulang semula dalam jam 11 malam. Ruang solat muslimah gelap. Anak-anak hamparkan alas tempat tidur dan saya capai beg dan diletakkan berhampiran.

Zapp! Terlepas beg yang dipegang. Allahu Allah. Apakah benda yang ada di tangan? Sakitnya bagai dicucuk jarum. Cepat-cepat buka lampu. Subhanallah, beg dipenuhi dengan semut api!

Tangan sangat pijar. Merah dan bengkak jadinya. Istighfar berulang kali. Alhamdulillah anak-anak tidak terkena. Suami dan anak-anak tahfiz di sini membantu menyisih barang dalam beg. Mereka turut meletakkan ubat semut di tepi dinding.

Baru saya teringat. Ada lebihan roti coklat yang dimakan anak-anak disimpan dalam beg.

Pengajarannya, perlu simpan lebihan makanan dalam bekas makanan kedap udara dan alhamdulillah ada minyak Sepang yang dibawa. 

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Berkatalah yang baik-baik



Bismillahirrahmanirrahim.

Dua tiga hari ini kerap terdengar anak-anak yang lalu atau bermain di hadapan rumah menuturkan perkataan b*d**, b*****g, s*** dengan selamba. Ada juga yang terdengar di masjid usai solat terawih. Anak-anak yang belajar al-Quran pun ada yang begitu. Apabila ditinjau muka mereka biasa sahaja. Tak ada tanda bergaduh dengan kawan.

Jadinya, saya fikir ia sudah jadi kebiasaan bercakap bagi mereka. Sedihnya :( Bila diadukan kepada suami, katanya tegur sahajalah. 

Daripada Abu Hurairah RA , Nabi Sollallahu'alaihi wasallam bersabda : Mencarut adalah sejenis sikap kasar. Dan sikap kasar balasannya adalah neraka. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Selepas solat terawih semalam, saya pergi jumpa anak-anak yang sedang bermain. "Kita orang Islam digalakkan cakap baik-baik. Kamu tahukah apa yang kamu cakap tu? Adakah ia beri pahala kepada kamu?". Anak-anak ini tersengih sambil gelengkan kepala.

"Nabi cakap perkataan yang baik adalah sedekah. Maknanya dapat pahala. Sayangnya Allah kat Kita. Bagi pahala free je. Lepas ni cakap yang baik-baik je. Sebab cakap ni doa."

"Baik makcik." 

😌

#ramadan2017

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Rabu, 21 Jun 2017

27 Ramadan


Malam ini sudah masuk malam ke-27. Allah ya Allah masa berlalu pantas. 

Pengalaman baru buat kami sekeluarga apabila tahun ini berpeluang beriktikaf di surau sebuah maahad tahfiz di sini. Ia surau baru yang dibina untuk kemudahan anak-anak pelajar tahfiz dan penduduk kampung berhampiran.

Suami iktikaf setiap hari dalam 10 malam terakhir ini manakala saya dan anak-anak beriktikaf pada malam ganjil sahaja.

Biasanya selepas berbuka dan solat maghrib, saya akan bersiap-siap dengan sebuah beg yang mengandungi keperluan beriktikaf. Pakaian anak seorang sepasang, tuala mandi, pampers, tisu basah, plastik kosong, minyak, ubat-ubatan asas, air masak, biskut, buku, pensel dan bahan bacaan anak-anak. Aha, macam poket Doraemon 😁

Kami juga membawa alas tidur dan bantal. Anak-anak memakai stoking kerana mereka tidak mahu memakai selimut.

Sebelum sampai ke surau, kami akan melalui taman perumahan, deretan rumah kedai dan kedai makan yang meriah dengan cahaya lampu. Namun agak lengang. Mungkin kerana orang pergi terawih atau bertumpu ke pekan kecil berhampiran.

Kami juga akan melalui sebuah kandang lembu. Anak-anak memang menanti dan akan menjenguk ke luar tingkap bagi melihat kawanan lembu. 

"Wah, banyaknya lembu, ummi!"
"Ada anak lembu kecik je."
"Eh, ada lembu hitam putihlah."

Macam-macam celoteh mereka ☺

Moga Allah terima amal kami dan anda semua. Ramadan yang berbaki ini semoga dapat dimanfaatkan sebaiknya.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Isnin, 19 Jun 2017

Surah Al-Insyiqaq



Juz 30 merupakan juzuk yang paling banyak surah. Ada 37 surah. Ia adalah surah yang kerap kita baca dalam solat. Kadang keliru ayat berapa, surah mana.

Salah satu cara, ialah ilustrasikan makna ayat. Ada orang lihat makna per kata. Apabila tahu dan faham makna, lebih mudah untuk dihafaz. Insya Allah. 

Tapi kata kuncinya ialah ulang, ulang dan ulang baca.

Surah Al-Insyiqaq (25 Ayat)

* Ayat 21 - 25 akan dimuat naik kemudian.





Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Sabtu, 17 Jun 2017

Ulasan buku : Ikon Syabab



Subhanallah, sebuah buku yang sangat memberi motivasi dan inspirasi. Terasa malu apabila membandingkan profil anak muda di dalam buku ini dengan diri sendiri.

Para ulama dahulu sangat menjaga masa, adab dengan guru dan sangat mencintai ilmu. Setiap masa menuntut ilmu bagaikan tiada lagi hari esok.

Bukan sekadar mengandungi biografi para ulama tetapi penulis bijak memikat pembaca dengan tarbiah, tip dan motivasi. Gaya penceritaan yang santai sesuai dengan aras pembaca. Sangat disyorkan membaca buku ini. Semoga kita lebih bersemangat tinggi menuntut ilmu dan menghafaz al-Quran. .
.
*** Nota ringkas bab 1 tokoh bernama Yahya bin Yahya yang digelar oleh Imam Malik sebagai "Tokoh Cerdas Dari Andalus". Pernah dibedah dalam sesi usrah remaja di sini.
.
.
.
>> Yahya bin Yahya <<
Pada suatu hari ketika majlis ilmu Imam Malik bin Anas lalu seekor gajah (haiwan yang jarang terlihat di negara Arab). Kebanyakan murid bangun dan melihatnya kecuali beliau.

Selesai majlis, Imam Malik bertanya mengapa beliau tidak melihat gajah? Jawabnya, aku keluar dari negeriku untuk belajar adab dan menuntut ilmu denganmu bukan melihat gajah. Imam Malik berasa kagum dengannya. 
Masya Allah.

#RakBuku2015 #reviewbuku#perpustakaan #minilibrary#FitrahHomeLibrary


Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Manfaat bermain jigsaw puzzle



Jigsaw puzzle digemari oleh sebahagian besar masyarakat. Tidak kira lapisan usia. Dahulu semasa kecil kami adik-beradik pernah selesaikan sebuah jigsaw puzzle gambar not RM1000. Dan kepingannya juga ada 1000 keping dihadiahkan oleh Mak Teh semasa kami pulang ke kampung di Perlis. 

Ada banyak jenis jigsaw puzzle di pasaran. Ada jenis kayu, blok, plastik, kertas dan sebagainya. Lebih mudah juga dibuat sendiri mengikut usia dan kemampuan anak-anak.





Pertama, melatih kemahiran kognitif anak-anak.

Ada pelbagai jenis tema permainan. Anak-anak akan memahami konsep dan dapat menyelesaikan jigsaw puzzle dengan lengkap.


Kedua, melatih penyelesaian masalah.

Anak-anak perlu berfikir cara melengkapkan kepingan dengan sempurna. Guna kaedah cuba-jaya, naluri dan apa sahaja asalkan jigsaw puzzle dapat dicantum :)


Ketiga, meningkatkan keyakinan diri.

Perhatikan anak-anak yang sudah dapat lengkapkan jigsaw puzzle buat pertama kali. Mereka rasa teruja dan segera menunjukkan kepada kita. Kita yang dewasa pun begitu juga kan? Satu kepuasan jika dapat selesaikan jigsaw puzzle tersebut.


Keempat, melatih kemahiran bersosial.

Jigsaw puzzle ini lebih seronok bermain dalam kumpulan. Anak-anak akan banyak berinteraksi, berfikir, bergurau, melontar idea dan bekerjasama membuat jigsaw puzzle. Bukankah itu satu pencapaian yang menyenangkan?


* Gambar-gambar ini sekadar hiasan. Saya menempah My Busy Bag ini dari Pn Nur Zuriani yang tinggal nun jauh di Sabah ;) Beliau mengambil upah membuat busy bag versi laminate dan banyak pilihan aktiviti yang boleh dipilih melalui album di Facebooknya. 


Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Selasa, 13 Jun 2017

Ulasan Buku : Suri Hati Mr. Husband


Suri Hati Mr, Husband bukanlah sebuah novel. Ia adalah bingkisan indah buat semua suri rumah mahupun suri berkerjaya. Istimewanya, para suami dan bakal suri juga elok menekuni buku ini.

Ia bukanlah sebuah buku yang mengatakan suri rumah itu yang terbaik tetapi sebenarnya keazaman untuk menjadi yang terbaik walau apa jua jawatan yang disandang. 

Namun, ingatan demi ingatan yang dicoretkan membuatkan hati terasa sebak. Ada getar dalam jiwa. Dalam kebanyakan catatan, memang merupakan isi hati sendiri. Ya, mungkin ini jugalah yang ada di lubuk hati sebahagian besar para isteri dan ibu di luar sana.

Bezanya, Allah telah lorongkan jalan buat Kak Nur (penulis) lebih awal dengan cara yang manis sekali. 

Kak Nur ialah seorang guru di sebuah sekolah di Labuan. Mengikut perancangan beliau mahu bersara selepas 15 tahun berkhidmat namun siapa sangka Allah telah memberi jalan keluar hanya selepas 6 tahun beliau berkhidmat. 

Niat yang jelas diadukan pada Allah saban malam. Bukanlah tugasan guru ini membebankan namun beliau memikirkan tanggungjawab hakiki yang lebih utama bagi dirinya - hak suami dan anak-anak.

Memetik kata beliau : 

Berhenti kerja bukan sekadar satu pengorbanan besar tetapi tanggungjawab yang perlu dilunaskan.

Saya tertarik dengan doa yang dititipkan :

Ya Allah, 

aku memohon kepada-Mu
segala kebaikan agar aku 
menjadi sebaik-baik hamba-Mu yang solehah, 
sebaik-baik isteri dan suri di hati suami
dan anak-anak

Ya Allah,

Jauhkanku daripada sifat-sidat tercela yang akan
membawa kemurkaan-Mu dan kemarahan suamiku

Ya Allah Yang Maha Penyayang
Binakan mahligai syurga untuk kami terus
bersama berkasih sayang dalam rahmat-Mu.

Amin...😢

Kak Nur memberikan perspektif berbeza tentang rezeki si suri rumah yang tidak berslip gaji ini. Beliau merasakan keberkatan rezeki bertambah setelah menjadi suri rumah. Sedikit yang mencukupi, banyaknya dapat dikongsi.

Bersyukurlah dengan banyak atau sedikit rezeki yang diperolehi kerana Allah memberi apa yang kita perlu, bukan apa yang kita mahu. Subhanallah. Benar sekali. Tetapi kerap kali juga kita alpa. Merungut tidak cukup itu ini, berkira-kira membuat sesuatu, tidak puas hati dengan begitu begini. Allahu akbar.

Beliau berkongsi tip yang istiqamah diamalkan iaitu menunaikan solat sunat fajar, beristighfar, bersedekah, melazimi al-Quran dan menghafaz al-Quran.

Sememangnya antara tujuan beliau menjadi suri rumah ialah ingin mengajar sendiri anak-anak al-Quran dan menghafaznya. Masya Allah tabarakallah, anak sulung beliau sudah dapat menghafaz 4 juzuk al-Quran setakat ini. Menjadi inspirasi buat diri saya yang kerdil. 

Beliau menunjukkan contoh tauladan yang terbaik buat anak-anak dengan menunjukkan kesungguhan bangun malam, membaca dan menghafaz al-Quran. Beliau mencabar diri sendiri memasuki pertandingan hafazan sehingga berjaya menajdi johan peringkat kebangsaan. Anak-anak pasti gembira dan melihat itu sebagai suntikan motivasi buat mereka untuk terus belajar.

Semoga Allah memberkati Kak Nur sekeluarga. Barakallahufikum.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Jumaat, 9 Jun 2017

Kuih raya



Semasa kecil dahulu, saban tahun melihat mak dan nenek bertimpuh di dapur menguli adunan biskut raya. Waktu itu nenek masih kuat dan emak masih muda dan ada kudrat.

Bila besar sedikit (darjah 1 atau 2) baru diberi kebenaran membantu membuat biskut raya.

Masa itu seronok sungguh. Terasa bangga dapat menolong. Agaknya itulah perasaan anak-anak saya apabila teruja mahu menolong di dapur.

Kini, kami adik-beradik pula bekerjasama di dapur. Bertemu di kala semua cuti. Menguli dan membakar biskut raya. Kami tiada oven. Lagipun oven di rumah mak besar. [Alasan tak mahu buat di rumah sendiri 😄]

Tapi kami buat sedikit sahaja. Tidak terlawan mak dan nenek dahulu buat berbelas-belas jenis biskut 😂

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Khamis, 8 Jun 2017

Belajar bahasa Arab : tema ث



Pelajaran bahasa Arab ini telah lama kami pelajari. Baru hari ini berkesempatan muat naik ke blog.



Saya menggunakan buku teks Bahasa Arab Tahun 1 KSSR Semakan 2017.

Tema   ث   ada 6 kalimah yang dipelajari.


Saya bahagikan kepada beberapa bahagian :

1. Kad imbas



2. Latihan padankan gambar dengan kalimah yang betul.



3. Kelopak bunga sebagai pengayaan. Anak warnakan gambar dan tampal pada setiap kelopak. Kemudian namakan dengan betul.



4. Permainan BINGO dan Maze yang mudah.





Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Rabu, 7 Jun 2017

Surah Al-Ghasyiyah



Sejak dua hari lepas mengulang hafazan Surah Al-Ghasyiyah. Disebabkan anak ada terlupa sedikit ayat, maka peta minda ini dilakar semula.

Sebelum itu, anak-anak tonton video hafazan Kaisa beberapa kali sehingga mereka dapat rentak dan ingat semula ayat yang telah dihafaz. Peta minda ini sebagai tambahan dan dijadikan panduan untuk saya sendiri untuk sama-sama menghafaz.

Surah Al-Ghasyiyah ialah surah ke-88 dan merupakan surah Makkiyah (diturunkan di Mekah). Ia mengandungi 26 ayat.

Permulaan ayat Allah terangkan keadaan penghuni neraka 😢

1. Wajah tertunduk hina.
2. Penat dan lelah kerana berkerja keras - diseksa dalam neraka.
3. Dinasukkan ke dalam neraka yang sangat panas.
4. Minum minuman yang sangat panas.
5. (Ayat 6) Makan makanan berduri.
6. (Ayat 7) makanan yang tidak menggemukkan dan tidak mengenyangkan.

Sangat berbeza dengan orang beriman penghuni syurga. Mereka menerima nikmat yang sangat banyak dari Allah 💗

1. Wajah mereka berseri-seri.
2. Berpuas hati dengan balasan amal.
3. Mereka tidak mendengar perkataan yang sia-sia.
4. Ada sungai yang mengalir di dalam syurga.
5. Ada pelamin berhias.
6. Ada piala-piala minuman.
7. Bantal-bantal yang teratur.
8. Hamparan-hamparan yang terbentang.

Allah juga mengajak kita berfikir akan kekuasaannya :


- Kejadian unta. (Kami pernah buat lapbook unta berdasarkan surah ini)
- kejadian langit yang ditinggikan.
- kejadian gunung yang ditegakkan.
- kejadian bumi yang dihamparkan.

Sesungguhnya azab Allah sangat berat kepada orang yang mengingkari-Nya.
Wallahualam.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Selasa, 6 Jun 2017

Aktiviti Ramadan : Kiblat


Aktiviti dari Jurnal Ramadan 2017 - mewarna arah kiblat.

Bercerita dahulu kisah kiblat umat Islam. Asalnya semua ke arah Baitul Maqdis. Namun dengan tekanan dari orang Yahudi yang selalu menghina umat Islam, Baginda Sollallahu alaihi wasallam berdoa kepada Allah mengadu tentang masalah ini.

Allah kabulkan dan menukar arah kiblat umat Islam kepada Kaabah di Mekah.

Terdengar anak-anak menyebut. "Abang Ngah suka pergi masjid. Abang Ngah nak pergi Mekah." "Asma' pun!". "Kakak pun!"

😅 Masing-masing tak mahu mengalah.

"Insya Allah kita semua akan ke sana. Doalah banyak-banyak ya." ☺





Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak
Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015