Khamis, 8 September 2022

Buku cerita anak-anak

Terima kasih Kak Tee, cikgu-cikgu bengkel penulisan, abang-abang designer dan team yang berusaha merealisasikan hasrat anak-anak ini.

Kak Khaulah dengan buku keduanya bertajuk Kembara Setem. Berkisar hobi mengumpul setem. Dia baru sahaja mula mengumpul setem tahun lepas. Jadi Khaulah masukkan sedikit info bagaimana mengumpul setem. Buku pertamanya tahun lepas dengan tajuk 10,000 Langkah bercerita tentang berjoging dengan abi di Taman Botanikal Ayer Keroh. Ada banyak nama pokok yang pelik-pelik tetapi punyai manfaat sendiri.

Abang ngah dengan buku Haziq Pemanah Cilik. Pengalamannya menghadiri bengkel memanah tahun lepas diceritakan kembali dalam bentuk fiksyen. Disertakan cara memanah dan kisah sahabat nabi yang handal memanah. Siapakah beliau? Apakah keistimewaannya?

Kak Teh dengan tajuk Sehari di Dusun Datuk. Menarik pengalaman Hanan mengikut datuk ke Dusun. Datuk kongsikan sedikit sebanyak tip pertanian juga info menarik yang jarang orang tahu.

Nak jadikan ceritanya, semasa anak-anak sedang mengikuti bengkel penulisan ini secara atas talian, kami sedang bermusafir. Memang penat nak lihat seorang demi seorang siapkan kesemua 19 keping storyline (ke story board? Lupa dah istilahnya).



Mana nak betulkan ayat, tatabahasa, melukis lagi. Sampai ada yang berguling-guling atas lantai sebab tension nak bina ayat yang cantik dan tak datang idea melukis. Bertabahlah anak-anak. Jadi mereka dah rasa jugalah bila Umi pun kena hadap manuskrip Umi sendiri. Haha.

Versi yang dipegang ini berkulit keras dan berharga RM25 sebuah. Insya-Allah buku berkulit lembut sudah siap cetak dan harganya RM10 sebuah. Saiz cetakan kulit lembut lebih besar dan kulit hadapan buku Haziq Pemanah Cilik bertukar wajah supaya tampil lebih menarik.




Ada promosi ya!


Jumpa lagi.

Aina Dayana Hilmi
8 September 2022

Selasa, 6 September 2022

Kamus Menu Makanan

 Rentetan dari entri Jom Makan, saya mula merangka apa yang hendak diajar dalam kelas seterusnya. Berdasarkan topik ini, saya keluarkan semua nama makanan yang ada dan minta murid buat buku menu sendiri. Ala-ala katalog makanan di restoran. Kulit hadapan buku menu saya gunakan desain dari Canva manakala kod isyarat di dalamnya saya ambil dari buku teks. Gambar makanan pula saya ambil secara rawak di internet. 





Harapnya sempena cuti sekolah ini, anak-anak ini dapat hafal dan belajar berpandukan kod yang telah diberi. 


#BahasaIsyaratKomunikasi

#BIK

#Tahun 2


Aina Dayana Hilmi,

6 September 2022

Isnin, 5 September 2022

Corat-coret awal cuti sekolah

Alang-alang adik ada balik, kami pun ikut dia ke kedai cermin mata. Senang nak tanya sebab ada optom dalam keluarga. Yalah, harga cermin mata bukan calang-calang, kan? Jadi boleh minta pandangannya. Tiba di HS Optometrist, rupanya orang lain yang mahu periksa power mata, orang lain rupanya yang alami masalah lebih teruk.

Sayalah asalnya mahu buat cermin mata. Tetapi selepas melalui pemeriksaan dengan optom di situ, beliau berpandangan saya hanya perlu buat terapi mata kerana otot mata letih dan masalah strabismus (juling) yang agak ketara menjelang petang. Ini kerana mata telah letih dengan aktiviti sepanjang hari. 

Disarankan buat terapi fokus kepada satu objek yang perlu digerakkan ke hadapan dan mendekati mata. Kedua, disarankan melakukan rules 20-20-20 iaitu 20 minit membaca atau membuat kerja dengan gajet, 20 minit lagi berehat dengan memandang jauh di luar. Kemudian sambung dengan kerja semula.

Semua anak yang ikut serta diperiksa mata oleh optom menggunakan alat khasnya. Saya tidak tahu namanya. Hasilnya, semua anak memang ada power silau terutama anak sulung yang memerlukannya memakai cermin mata. Power silaunya melebihi 300 dan ia menjadi red alert buat kami untuk semak kembali apa yang dibuat sebelum ini.

Saya fikir aktiviti membacanya dalam keadaan baring dan tidak cukup cahaya menyumbang kepada power naik. Betullah naluri seorang umi ini. Sejak PKP dahulu, dia selalu mengadu sakit kepala dan selalu tidur (mungkin mahu mengurangkan pening). Saya sudah agak yang matanya perlu diperiksa.

Suami juga tanpa disangka perlu buat cermin mata dan datang untuk pemeriksaan lanjutan selepas beberapa minggu ekoran saraf matanya agak besar berbanding ukuran normal. Doakan tiada apa-apa ya. Sesudah memilih cermin mata dan buat bayaran deposit, barulah kami beransur pulang.

Di rumah, rupanya ayah mertua mula tidak sihat. Perutnya kembung, sukar buang air besar dan mula muntah hitam. Allahuakbar. Seperti simptom yang dialami oleh datuk saya dahulu. Adik ipar bersiap-siap dan memanggil ambulans. Ayah sudah dimasukkan ke wad dan keadaan dilaporkan stabil. Saya kira doktor akan buat prosedur memasukkan kamera ke dalam perut. Masih menunggu berita selanjutnya.

Doakan kami sekeluarga ya.
Terima kasih.
Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015