Selasa, 2 Mei 2017

Sesi Bercerita : Biji Benih Yang Ajaib


Buku Biji Benih yang Ajaib ini adalah terbitan Info Didik. Ianya berkulit keras dan sekali pandang saya teringat pula buku-buku semasa kecil dahulu. Reka letaknya hampir serupa. Akan tetapi, cetakan buku ini masih baharu lagi.

Buku ini berkisar kehidupan seorang petani yang gigih menyara keluarga dengan pendapatan yang sederhana. Kelebihan beliau ialah sifat jujur dan baik hati. Suatu hari, seekor burung cedera dan petani inilah yang merawatnya sehingga pulih.

Suatu hari, si burung kembali kepadanya dan memberi sebiji benih ajaib. Dia menanam biji benih itu sehingga ia tumbuh menjadi sebiji labu yang sangat besar. Ketika labu itu dibelah alangkah terkejutnya petani dan isteri apabila  mendapati ada banyak emas permata di dalamnya. Itu adalah ucapan balasan dan penghargaan si burung kepada petani. Kaya-rayalah petani dan keluarganya.

Cerita petani menjadi kaya telah sampai ke pengetahuan raja. Beliau seorang yang jahat dan tamak. Lalu dicarinya burung itu dan ditembak, dibawa pulang dan dirawat dengan harapan akan mendapat balasan seperti si petani.

Memang burung itu memberi biji benih ajaib kepadanya. Namun, apa yang berlaku? Apabila buah labu itu membesar dan dipotong, alangkah terkejutnya raja apabila mendapati ada seorang lelaki bersenjata di dalamnya! Lelaki itu ditugaskan untuk membunuh raja kerana sikapnya yang tidak berperikemanusiaan.

***********

Anak bertanya kepada saya, bolehkah orang masuk dalam labu ummi?

Erk,,😆

Saya katakan : tidak boleh. Tetapi ini kisah dongeng atau teladan. Tujuan cerita ini dibuat supaya kita dapat ambil nilai dan pengajaran di sini.

Apa yang kamu dapat dari cerita ini?

Anak-anak menjawab : buat baik, dapat baik. [Haha..bolehlah, faham sahaja maksudnya cuma susunan ayat itu tidak betul 😉] Buat jahat, orang tak suka.

Masya Allah! Siapa sangka anak berusia 3 dan 4 tahun ini mampu "tangkap" nilai dan pengajaran yang hendak disampaikan.

Terima kasih duhai anak, ummi belajar sesuatu dari kamu.

* Buku ini dibaca pada 23 April 2017

#readaloud #FitrahHomeLibrary #Misi1000BukuSetahun


Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015