Selasa, 16 Ogos 2022

Jom Makan


 
Semangat berkobar-kobar mahu mengajar murid topik hari ini. Unit 14 Jom Makan dalam subjek BIK Tahun 2. Seronoklah sebab cerita pasal makan. Haha. Waktu siapkan BBM pun terliur betul tengok gambar-gambar makanan. Kena pula cikgu tak bawa bekal hari ini. Aduh, menggamit sungguh!

Masuk sahaja set induksi, terus rasa nak jatuh rahang. Ya Allah, rasa gagal jadi cikgu. Ada murid tak tahu isyarat makanan yang biasa dimakannya. Insaf betul. Ok, untuk induksi saya minta murid sebut makanan yang disukai. Ada dua orang sahaja boleh beri respon, manakala yang lain buat isyarat jari telunjuk kanan dipusing-pusing pada bahagian kepala sebelah kanan. Itu maknanya "tak tahu".

Maka, ketika mereka membuat peta bulatan (Makanan Kegemaran Saya), cikgu kena lukis untuk tanya betulkah ini makanan yang kamu suka makan? Jika murid jawab ya, baru saya tuliskan nama makanan. Jika tidak, saya suruh murid lukiskan dan saya bimbing nama makanan tersebut. Renyah? Jangan putus asa. Inilah tugas cikgu pendidikan khas namanya. Membantu, membimbing dan memberi panduan.

Ada yang tanya nama makanan, "Cikgu, ada nasi, ada telur. Saya suka! Tapi tak tahu nama." Ah sudah, nasi lemak ke? Dia geleng. 

Takkan nasi goreng pattaya? 

Tapi dia tak ada buat isyarat goreng.

Bila murid lukis, sah! Nasi goreng pattaya. Sengih sahajalah cikgu di hadapan. Hari ini tak ada gambar. Nanti saya kemaskini BBM yang saya gunakan hari ini insya-Allah. Waktu mengajar tak habis lagi tadi, kepala dah ligat fikir apa nak ajar kelas seterusnya. Saya perlu buat sesuatu untuk kukuhkan penggunaan kod tangan mereka. Garu kepala juga kalau mereka tak tahu isyarat nasi, roti, biskut, pisang, sayur dan seumpamanya. 

Doakan saya ya.


Aina Dayana Hilmi,

16 Ogos 2022

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015