Isnin, 5 September 2022

Corat-coret awal cuti sekolah

Alang-alang adik ada balik, kami pun ikut dia ke kedai cermin mata. Senang nak tanya sebab ada optom dalam keluarga. Yalah, harga cermin mata bukan calang-calang, kan? Jadi boleh minta pandangannya. Tiba di HS Optometrist, rupanya orang lain yang mahu periksa power mata, orang lain rupanya yang alami masalah lebih teruk.

Sayalah asalnya mahu buat cermin mata. Tetapi selepas melalui pemeriksaan dengan optom di situ, beliau berpandangan saya hanya perlu buat terapi mata kerana otot mata letih dan masalah strabismus (juling) yang agak ketara menjelang petang. Ini kerana mata telah letih dengan aktiviti sepanjang hari. 

Disarankan buat terapi fokus kepada satu objek yang perlu digerakkan ke hadapan dan mendekati mata. Kedua, disarankan melakukan rules 20-20-20 iaitu 20 minit membaca atau membuat kerja dengan gajet, 20 minit lagi berehat dengan memandang jauh di luar. Kemudian sambung dengan kerja semula.

Semua anak yang ikut serta diperiksa mata oleh optom menggunakan alat khasnya. Saya tidak tahu namanya. Hasilnya, semua anak memang ada power silau terutama anak sulung yang memerlukannya memakai cermin mata. Power silaunya melebihi 300 dan ia menjadi red alert buat kami untuk semak kembali apa yang dibuat sebelum ini.

Saya fikir aktiviti membacanya dalam keadaan baring dan tidak cukup cahaya menyumbang kepada power naik. Betullah naluri seorang umi ini. Sejak PKP dahulu, dia selalu mengadu sakit kepala dan selalu tidur (mungkin mahu mengurangkan pening). Saya sudah agak yang matanya perlu diperiksa.

Suami juga tanpa disangka perlu buat cermin mata dan datang untuk pemeriksaan lanjutan selepas beberapa minggu ekoran saraf matanya agak besar berbanding ukuran normal. Doakan tiada apa-apa ya. Sesudah memilih cermin mata dan buat bayaran deposit, barulah kami beransur pulang.

Di rumah, rupanya ayah mertua mula tidak sihat. Perutnya kembung, sukar buang air besar dan mula muntah hitam. Allahuakbar. Seperti simptom yang dialami oleh datuk saya dahulu. Adik ipar bersiap-siap dan memanggil ambulans. Ayah sudah dimasukkan ke wad dan keadaan dilaporkan stabil. Saya kira doktor akan buat prosedur memasukkan kamera ke dalam perut. Masih menunggu berita selanjutnya.

Doakan kami sekeluarga ya.
Terima kasih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015