Isnin, 18 Julai 2016

Sayang adik


Minggu ini memasuki minggu ke-20 kehamilan. Sejak akhir-akhir ini saya mula mengulang bacaan buku dan artikel keibubapaan terutama persiapan kehamilan, persediaan melahirkan dan tidak lupa persediaan psikologi anak-anak dan pengurusan masa ibu yang akan melahirkan.


Untung sekali di tempat kerja, ada individu yang mewakafkan sebahagian koleksi Majalah Pa & Ma. Tidak mengapa edisi terdahulu kerana kandungannya evergreen :) 

Mengambil pengalaman anak pertama dan kedua dahulu, kali ini saya mengambil keputusan untuk memberitahu anak ketiga akan kelahiran adiknya yang keempat. Asma' kini berusia 1 tahun 11 bulan. Sudah mula bercakap beberapa patah perkataan dan sudah mula memahami pertuturan kita. 

Sedari awal kehamilan, saya sudah libatkan Asma' dengan memberitahunya dalam perut ummi ada baby iaitu adik Asma'. Asma' akan jadi kakak tidak lama lagi. Jadi kena sayang adik, be good to baby dan yang menariknya Asma' akan ada kawan baru! ;)

Memang pada awalnya dia seperti tidak memahami namun dari masa ke semasa saya bercakap mengenainya supaya dia alert dan tidak timbul masalah di kemudian hari. Teringat semasa berpantang anak kedua dahulu, anak saya yang pertama meragam dengan luar biasa sehingga saya mengalami tekanan. Subhanallah. Masa itu tidak ada ilmu menguruskan emosi anak pertama yang terasa dirinya terabai (mungkin) apabila mendapat adik.

Sesekali menunjukkan gambar scan bayi dalam perut dan menunjukkan video perkembangan bayi dalam perut kepada Asma' dan anak-anak yang lain. Anak pertama dan kedua sudah boleh memahami bahawa mereka akan dapat adik baru jadi saya tidak begitu risau dengan penerimaan mereka.

Namun, saya ada beberapa bulan untuk merancang aktiviti bersama ketiga-tiga anak ini sementara saya berpantang. Berdebar juga. Bagaimana ya menguruskan empat anak nanti. Bismillahi tawakkaltu 'alaLLAH.. rabbi yassir wa la tu'assir!
Di sini saya ingin berkongsi mengenai persediaan si kakak / abang sebelum menerima adik baru. Diperolehi dari buku Bukan Ibu Biasa yang ditulis oleh Ummu Balqis terbitan QultumMedia. Buku ini dari Indonesia dan saya beli dari Pn Nadiah Ahmad, penyusun Jurnal Si Cilik (Facebook : Nadiah Ahmad, Facebook Page : Aktiviti Anak 0 - 6 tahun, Instagram : projeksicilik) :

1. Memberitahu kehamilan ibu

- Ini membolehkan kakak / abang bersedia menerima adik


2. Mengajaknya berjumpa doktor

- Semasa pemeriksaan ibu mengandung. Apatah lagi ketika kita akan buat scan. Bolehlah si kakak / abang melihat janin di dalam kandungan ibu :)

3. Melibatkannya dalam pemilihan nama

- Anak saya yang ketiga ini masih kecil namun suka melihatnya mengangguk-anggukkan kepala apabila diajukan nama untuk adiknya ;)
4. Libatkan anak dalam pemilihan barangan bayi baru lahir.

- Bawa si kakak / abang ke kedai untuk membeli baju atau kelengkapan bayi baru lahir.

5. Mengajak anak berinteraksi dengan bayi dalam kandungan
- Mungkin boleh minta dia usap perut dan berbual dengan bayi.
- Sesekali saya minta Asma' bacakan surah pendek dan zikir untuk baby :)

6. Mengaktifkan peranan bapa

- Dalam hal ini, saya libatkan juga peranan aktif kakak sulung dan abang keduanya supaya sentiasa bermain dan belajar bersama anak yang ketiga ini supaya dia tidak terasa tersisih. Sementelah lagi, saya agak cepat kelelahan dengan aktiviti harian dan keadaan diri.


Teringat kata-kata penulis, "sayang adik tidak muncul tiba-tiba." Ya, ia merupakan satu proses yang mengambil masa juga namun boleh diambil tindakan dari awal, bukan? Moga Allah mudahkan insya Allah :)


Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Ummu Khaulah (Aina Dayana Hilmi)
Instagram : @ainadayanahilmi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015