Khamis, 10 Januari 2019

Misi Membaca 2019 : #Buku3 Agar Aku Sehebat Mereka



Ditulis oleh Ustaz Muhammad Luqman Makhtar dan diterbitkan oleh Telaga Biru Sdn Bhd. Ini juga buku Siri Keempat dalam siri Solusi Hati.

Ia adalah buku yang menghimpunkan lebih 50 orang insan berpengaruh dalam sejarah dan boleh menjadi sumber inspirasi.

Terbahagi kepada 4 bab utama merangkumi Ulama Salaf, Sahabat Nabi, Tempat dan Peristiwa dan Ulama Masa Kini.

Awal-awal sudah terpaku pada biografi Ibn Sirin. Seorang ulama yang ceria dan suka bergurau. Beliau terkenal menguasai pelbagai bidang malah pakar mentafsir mimpi. Namun ia tidak dijadikan sebagai pengkhususan beliau.

Begitu jujurnya beliau dalam berniaga sehinggakan sanggup membuang kesemua minyak wangi yang dibeli dengan modal 40 ribu dirham gara-gara terjumpa seekor tikus mati di dalam salah satu bekas.

Ini yang menyebabkan beliau dipenjara kerana tidak mampu membayar semula duit berkenaan.

Ketinggian adab dalam berilmu Imam Bukhari atau namanya Muhammad bin Ismail turut menjadi inspirasi. Terkenal kerana tiga perangai khususnya :

1. Tidak banyak bercakap.
2. Tidak teringin apa yang orang lain inginkan.
3. Tidak sibuk dengan urusan orang lain.

Sirah Nabi sollallahu alaihi wasallam seharusnya dilihat dalam konteks yang lebih luas. Sebelum ini jika disebut sirah Nabi, seolah-olah tergambar keadaan perang, perang dan perang. Sedangkan hanya ada beberapa buah sahaja yang berlaku sepanjang hidup nabi.

Kisah para sahabat nabi ada banyak sisi inspirasi dan mengujakan. Bagaimana peribadi hebat insan-insan ini terbina dan kita dapat ambil tauladan daripadanya untuk diamalkan.

Lihat keluarga Anas bin Malik. Subhanallah. Setiap orang bukan calang-calang insan. Dan salah satu insan yang dikagumi ialah ibunya sendiri.


Begitulah. Bacalah himpunan biografi barisan tokoh-tokoh ini. Semoga kita dapat mengikut jejak mereka meskipun sedikit.

Antara isi kandungan buku ialah mengandungi fakta tempat bersejarah, visual turutan / kronologi sesuatu peristiwa dan doa.



Oh ya, dari buku inilah saya baru ketahui jangan memanggil orang Eskimo dengan nama Eskimo kerana maksudnya dalam bahasa asal ialah "pemakan daging mentah." Lebih eloklah sekiranya memanggil mereka mengikut nama bangsa mereka seperti Inuit, Yupis dan lain-lain.

Buku 3 / 2019

Aina Dayana Hilmi
ainadayanahilmi@gmail.com
013-361 3516
Melaka

Tiada ulasan:

Catat Komen

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015