Khamis, 12 Januari 2023

Minggu kedua Januari

 Alhamdulillah Allah izinkan bertemu tahun yang baharu. Ada banyak peristiwa menarik berlaku sepanjang 12 hari ini. Dari sudut kesihatan, kerjaya, pencapaian peribadi dan lain-lain.

Minggu pertama sudah diuji dengan sesak nafas. Tapi saya akui saya tidak menjaga makan minum dengan baik pada minggu akhir Disember. Kesannya dirasai pada hari ketiga bekerja.

Malang sekali saya telah didiagnosis menghidap darah tinggi. Satu penyakit yang saya tak mahu bertandang tetapi sudah pun diberi ubat. Terpaksalah konsisten memakannya. Dan berjujuklah tarikh temu janji klinik kesihatan selepas ini. 

Dari sudut kerjaya, kami masih dalam sistem akademik sesi 2022 / 2023. Cuti lepas sempat saya siapkan modul asas untuk mata pelajaran Bahasa Isyarat Komunikasi (BIK) Tahun 2 dan 5. Semoga ia membantu anak-anak ini catch up dengan silibus sebelum tahun 2 dan 5 berakhir.

Ada beberapa orang rakan guru yang bertukar sekolah. Antaranya Ustaz Aziz ke SRA Jaim Kg Tun Razak, Kak Wana ke TUNSAS dan Kak Shazlin ke SK Batang Melaka. Semoga dipermudah urusan mereka dan dimurahkan rezeki di tempat baharu. 

Hasil paksaan rakan guru, saya turutkan juga memasuki pertandingan inovasi sedangkan diri tidak begitu bersedia. Dapat pula guru besar dan rakan sekerja yang menyokong, maka marilah tidak menghampakan hasrat orang. Minggu hadapan adanya pembentangan demi pembentangan berserta tanggungjawab berkaitan pertandingan ini. Jadi, doakan saya ya.

Kelas mengaji sudah bermula pada 3 Januari dan ada dua orang tenaga pengajar setakat ini. Seorang mengajar bermula 5.00 hingga 6.00 petang dan saya 6.00 - 7.00 malam. Tapi saya biasanya akan hadir juga pukul 5.30 petang. Bimbang murid akan pulang lewat selepas maghrib. 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015