Isnin, 20 Ogos 2018

Aktiviti 32 : Lebah


Hari ini kami buat Aktiviti 32 : Lebah dari buku 70+ Aktiviti Cinta Al-Quran oleh Dr Anayasmin Azmi.


Kesinambungan dari aktiviti semalam mengenai lidah. Hari ini set induksi (pengenalan) dimulakan dengan memberi anak-anak minum sesudu madu lebah.

Apa yang kamu minum ni?
Rasanya apa?
Siapa cipta madu lebah?
Siapa kenal lebah?
Lebah tu kecil atau besar?
Macam mana lebah hasilkan madu?

Ha.. mari kita lihat apa yang Allah sebut dalam al-Quran pasal lebah ini.

(Surah An-Nahl ayat 68 - 69)



"Ha, mak long tu lebah!" Anak buah menunjuk ke atap rumah. Ya, memang ada sarang lebah. Mungkin sudah hampir dua tahun ia bersarang di situ. Tetapi ayah tidak ambil apa-apa tindakan. Kami juga tidak tahu sebesar mana sarangnya di bawah bumbung itu.


Kemudian kami tonton sebentar perihal lebah di YouTube. "Lihat, lebah itu kecil sahaja tapi pandai dia cari bunga dan hisap madunya. Siapa ajar tu?" "ALLAH..." "Alhamdulillah, betul."

Jadi kita perlu tiru lebah. Ia makan benda yang baik, terpilih dan hasilkan madu yang terbaik dan terpilih juga. Dalam kehidupan kita pun begitu. Perkataan yang baik adalah sedekah. "Bolehkah kita mengejek orang?" Pantas sahaja mereka menggelengkan kepala. 

"Mak long, menghina itu apa?," Tanya Umar. Menghina itu seperti mengejek dan merendah-rendahkan orang. Ia bertujuan tidak baik dan termasuk dalam sifat______? "Mazmumah," balas Umar. Oh masya Allah. Bagus Umar.

Untuk aktiviti :

1) Lukis sendiri lebah masing-masing dengan panduan YouTube. Meraikan mereka yang kinestetik dan visual.


2) Menggunting sarang lebah dari kertas warna. Hias dan tampalkan pada kertas A4.





3) Idea spontan anak-anak ini semasa mencari idea mewarna batang pokok. Mereka ternampak pokok duit-duit menjalar pada pokok bunga di halaman rumah. Lalu mereka ambil dan hias pada lukisan masing-masing.



Sungguh, aktiviti yang disangka mengambil masa beberapa minit sahaja rupanya menjadi satu aktiviti yang sangat menarik buat mereka. Aktiviti ini berjalan selama 2 jam!

 Mengagumkan apabila semua orang tekun dan bersungguh menyiapkan hasil kerja masing-masing.

Nampaknya ummi / mak long ini underestimate kamu semua 😄

Sehinggakan si kecik Abdurrahman tidak keruan mahu join sekali. Sudah pastilah kakak abangnya lari-lari apabila diganggu. Kasihan.

Ada banyak perkara lagi dapat dikaitkan dalam topik ini. Boleh rujuk buku 70+ Aktiviti Cinta Al-Quran ini. Ada panduan beraktiviti langkah demi langkah buat anda sekeluarga.

Alhamdulillah selesai semuanya. Teruja untuk aktiviti seterusnya. Esok sebuah lagi keluarga akan pulang berhari raya. Bertambah meriah tim anak-anak ini nanti!

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Ahad, 19 Ogos 2018

Aktiviti 60 : Lidah


Hari ini bersama dengan 7 orang anak kecil, kami buat sedikit aktiviti. 3 orang anak buah dan selebihnya anak sendiri.





Aktiviti diambil dari buku 70+ Aktiviti Cinta Al-Quran yang ditulis oleh Dr Anayasmin Azmi.

Inspirasi dari ayat 9 Surah Al-Balad :



1) Beberapa bahan disediakan iaitu garam, gula, serbuk Tamar Cocoa, serbuk kunyit dan susu tepung. Boleh juga letak asam jawa.


2) Minta anak-anak namakan bahan tersebut dan rasanya. Mereka masukkan dalam sebuah jadual.

3) Kelakar pula bila ada yang kata susu tepung rasa masam. Ada juga yang tak kenal serbuk kunyit. Alahai anak, ummi perlu latih lagi kamu memasak di dapur.

4) Tibalah masa untuk merasa. Saya beri yang manis-manis sahaja dahulu. Serbuk kunyit akhir sekali. Berkerut muka masing-masing. Lantas berlari ke dapur mencari air. Hehe.

5) Mereka isikan keputusan pemerhatian. Lalu saya kaitkan dengan fungsi lidah dan mulut dengan menjaga percakapan serta menyebut dalil dari Surah Al-Balad di atas.

6) Sebagai pengayaan, kami menonton sebuah video dari Youtube akan kegunaan lidah kepada manusia.

7) Anak melukis bahagian rasa pada lidah dan mewarna. Waktu ini dapat melihat kesungguhan anak kecil menulis. Terutama bagi yang baru belajar membaca atau baru mengenal huruf. Gigih menekan batang pensel melabelkan gambar lidah.





8) Penutup - anak recall apa yang dipelajari hari ini.

Masya Allah. Sebenarnya saya juga belajar sesuatu daripada mereka. Melihat semangat mereka belajar dan membantu antara satu sama lain semasa proses pembelajaran.

Esok belum tahu aktiviti apa. Tetapi seronok buat semasa cuti sekolah ini. Ramai anak buah pulang ke kampung. Aktiviti pun meriah.

Jumpa lagi.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Jom ubah! Ikut saranan Mufti WP


Wasiat Untuk Anakku adalah antara karya awal Datuk Dr Zulkifli Al-Bakri yang saya miliki dan baca. Selepas itu saya mengagumi ketokohan beliau kerana setiap karyanya pasti mengajak pembaca membaca buku dan menggalakkan orang menuntut ilmu. Ia suatu perkara yang jarang saya temui daripada tulisan lain.

Memetik beberapa perkara daripada buku ini, suka untuk saya catatkan kembali buat rujukan masa akan datang.

Mengapa kita malas?

⌛ Tiada matlamat yang jelas
⌛ Tidak tahu natijah rajin dan malas
⌛ Sibuk dengan keseronokan lain seperti TV dan Facebook
⌛ Terasa mewah dan tidak perlu bersusah payah mendapatkannya
⌛ Akal fikiran kita hanya fokus kepada dunia
⌛ Rakan juga sama seperti kita

Penyelesaian masalah malas :

🌠 Fokus kepada matlamat
🌠 Mujahadah nafsu daripada sifat malas
🌠 Buang sikap bertangguh
🌠 Yakin boleh berubah
🌠 Jangan bazirkan masa menonton TV dan Facebook
🌠 Pilih rakan yang baik

Motivasi Membaca

Dr Zulkifli menyatakan bahawa membaca bukan kerana terpaksa tetapi ia kewajipan umat Islam. 

Misalnya seorang tokoh bernama Sheikh Muhammad Ali Tantawi ialah tokoh dan ulama berwibawa. Beliau berasal dari bumi Syam dan menetap di Arab Saudi. Beliau membaca sebanyak 10 jam sehari selama lebih 50 tahun. Masya Allah!

Bagaimana cara membaca dengan betul?

Dr Zulkifli menyenaraikan 4 perkara iaitu :

1) Berazam bersungguh-sungguh mahu membaca.

2) Tetapkan matlamat. Misalnya mahu membaca 20 muka surat dalam masa 30 minit.

3) Mencatat poin penting.

4) Cuba ingat kembali apa yang dibaca atau dicatat.

Sebenarnya apa pun teknik yang dikongsi, ia tidak akan bermakna tanpa KITA sendiri yang praktikkan.

Jom ubah!

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Sabtu, 18 Ogos 2018

Mutiara ilmu dari Dr ARAR



Khamis lalu, ketika kelas sedang berjalan, kami dikunjungi oleh Dr Abdul Rahman bin Abdul Rahim. Beliau lebih dikenali sebagai ARAR dengan siri tazkirah beliau yang dicatat dengan konsisten oleh lewat aplikasi WhatsApp sejak beberapa waktu.

Selesai bacaan zikir petang dan 10 ayat pertama Surah Al-Kahfi, majlis memberi laluan kepada Dr untuk menyampaikan tazkirah buat anak-anak ini.

Beliau memuji anak-anak kerana menjawab salam dengan lengkap. Masya Allah, anak-anak terdorong melakukan perkara baik apabila dipuji terus selepas menjawab salam.

Beliau membawa kisah Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam, keluarga baginda, mengenali Ibnu Abbas serta nasihat baginda buat beliau seterusnya membaca al-fatihah dan selawat dengan betul.

"Tahu tak adik-adik apa yang para sahabat nabi buat ketika mereka berkumpul?"

Ada yang menjawab mendengar tazkirah, ada yang mengatakan membaca al-Quran. Masya Allah, hebat anak-anak ini. Amboi, senyum-senyum anak-anak lelaki ini menerima pujian ustaz.

Benar, apabila para sahabat berkumpul mereka akan membaca al-Quran. Jadi adik-adik misalnya di sekolah, ketika waktu rehat, berkumpul bersama kawan-kawan selitkanlah bacaan al-Quran. Contohnya membaca Surah Al-Fatihah. Semua orang boleh baca tak? Kita baca sama-sama.

Bersemangat sekali anak-anak ini membacanya. Subhanallah.

Mengenali Ibnu Abbas, Rasulullah sollallahu alaihi wasallam memberi nasihat yang sangat baik buat beliau. 


عبْد الله بن عَبّاسٍ -رَضِي اللهُ عَنْهُما- قالَ: كُنْتُ خَلْفَ النَّبِيِّ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- يَوْمًا، فَقَالَ: ((يَا غُلاَمُ، إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ؛ احْفَظِ اللهَ يَحْفَظْكَ، احْفَظِ اللهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ، إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللهَ، وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللهِ، وَاعْلَمْ أَنَّ الأُمَّةَ لَوِ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللهُ لَكَ، وَإِنِ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللهُ عَلَيْكَ، رُفِعَتِ الأَقْلاَمُ وَجَفَّتِ الصُّحُفُ))

Abdullah bin ‘Abbas –radhiyallahu ‘anhuma– menceritakan, suatu hari saya berada di belakang Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Beliau bersabda, “Wahai anak, aku ajarkan kepadamu beberapa untai kalimat : Jagalah Allah, maka Allah akan menjagamu. Jagalah Allah, maka kamu dapati Dia di hadapanmu. Jika kamu hendak meminta, mintalah kepada Allah, dan jika kamu hendak memohon pertolongan, mohonlah kepada Allah. Ketahuilah, seandainya seluruh umat bersatu untuk memberimu suatu keuntungan, maka hal itu tidak akan kamu peroleh selain dari apa yang telah Allah tetapkan untukmu. Dan andaipun mereka bersatu untuk melakukan sesuatu yang membahayakanmu, maka hal itu tidak akan membahayakanmu kecuali apa yang telah Allah tetapkan untuk dirimu. Pena telah diangkat dan lembaran-lembaran telah kering.” (Hadis riwayat At-Tirmizi)

Terima kasih Dr atas perkongsian. Moga selepas ini berpeluang lagi bermajlis ilmu bersama anak-anak ini.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Jumaat, 17 Ogos 2018

Ulasan buku : Rasulullah Superheroku ; Ana Nak Jadi Aisyah


Sumber gambar : koleksi peribadi


Novel ini comel sahaja saiznya. Sinopsis nampak menarik dan memang sesuai untuk sasaran pembaca.



Raihana atau Ana sangat obses dengan watak kartun barat. Selalu benar berangan menjadi puteri itu dan ini, memakai pakaian cantik begini dan begitu, sehingga menimbulkan kemarahan ibu, ayah dan guru.



Mana tidaknya, keasyikan menonton cerita sehingga lewat malam menyebabkan kerja sekolah tidak dibuat, berangan sehingga terjejas fokus dan tidak boleh ditegur sedikit, pasti melenting dan jadi pemarah.

Bagaimana perangai Ana ini dapat dilentur semula? Bagaimana Ana kemudiannya boleh berimpian untuk menjadi seperti Saidatina Aisyah? Ia sebuah kisah menarik untuk ditelusuri.

Untungnya ada sahabat baik yang sabar menegur kesilapan Ana. Tetapi Ana tidak mahu menerimanya sehingga terfitnah sahabatnya ini. Kasihan Sumayyah.

Karakter Sumayyah digarap dengan baik. Menunjukkan kebenaran tetap berpihak kepada orang yang tidak bersalah. Selain menunjukkan kebaikan orang yang menjaga solat dan berdoa kepada Allah.

Akhirnya bukan sahaja Ana berubah menjadi baik, tetapi Ana berazam menjadi orang yang sabar dan mencontohi para sahabat serta mentaati perintah Allah.






Sangat disyorkan untuk bacaan anak-anak!

Buku 74 / 2018

#iRead2018

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak

Library is a treasure 4



Sudah seminggu lebih meminjam buku ini. Insya Allah akan dipulangkan pada 27 Ogos 2018.

Pilihan kakak kali ini semua novel kanak-kanak. Tambahan 3 novel lagi dipinjam menggunakan kad adiknya. Sebenarnya 3 buah novel ini untuk anak-anak murid abi yang memasuki pertandingan menulis resensi novel islami peringkat kebangsaan.


Pinjaman kakak

Pinjaman ummi

Pinjaman untuk pertandingan resensi novel
Pinjaman anak-anak yang lain



Suka dengan buku Aiman Nak Jadi Abu Hurairah (Novel Ana Muslim). Banyak unsur positif di dalamnya. 


Insya Allah berkesempatan nanti nak reviu buku anak-anak ini. Entah sempat atau tidak saya baca kesemuanya.

Jumpa lagi.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak

Khamis, 9 Ogos 2018

Tahfiz Junior dan Quran Al-Hafiz


Semangat untuk membaca al-Quran harus dibaja setiap hari. Iman orang awam seperti saya ini memang naik turun. Iman itu menaik kerana amal, dan berkurang kerana dosa 😭

Jadual hafazan anak-anak diperbaharui dan kali ini sama-sama membuat sesi hafazan dan mengaji al-Quran. 

Kami menggunakan dua buah bahan bantu belajar iaitu :

1) Tahfiz Junior ; sebuah buku panduan hafazan.


Buku ini saya beli di reruai Karangkraf Mei lalu. Ia nampak menarik dengan warna-warni di dalamnya. 




Setiap muka surat dibahagikan kepada 5 blok warna. Bermakna dipecahkan kepada 5 bahagian. 

1 bahagian dibaca selama 40 minit dengan melihat mushaf dan 20 minit lagi tanpa melihat mushaf. Memang kita perlu fokus untuk menghafaz.

2) Quran Al-Hafiz terbitan Karangkraf Sdn Bhd

Kaedah sama seperti Tahfiz Junior cuma Quran dibahagikan kepada 3 blok (bahagian). Dicadangkan dapat hafaz 1 muka surat dalam masa 3 jam.

Harga Quran ialah RM38.00.

Jika ditinjau di laman sesawang Karangkraf Mall, Quran Al-Hafiz dan Buku Panduan Hafazan Tahfiz Junior sudah habis. Tetapi di kedai buku mungkin masih ada stok yang berbaki.

Minggu lalu, Quran Al-Hafiz masih ada di Popular Bookstore AEON Ayer Keroh, Melaka.

Bagi anak-anak lain (berumur 6 tahun dan 4 tahun), mereka menggunakan kaedah Al-Huffaz (pengasasnya ialah Dr Shafie) iaitu 1 hari 1 ayat.

Jika kakak sudah masuk ayat 41 - 46. Adik-adik masuk ayat ke-7. Doakan kami sekeluarga. Jumpa lagi.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015