Isnin, 5 September 2016

Disengat penyengat


Rumah kami rumah kampung. Ada banyak pokok buah-buahan di sekeliling rumah. Sekarang musim buah durian, mangga dan rambutan. Maka, bergayutanlah buah-buahan ini di sepanjang jalan di kampung. Terliur betul dibuatnya. Hehe..

Sejak beberapa bulan ini, setiap kali bangun untuk solat subuh pasti kami terjumpa beberapa ekor lebah "mati bergelimpangan" di ruang tamu. Pelik. Mungkin ada sarangnya berdekatan rumah. Tetapi apabila diteliti tidak pula nampak oleh mata ini.

Kemudian, kami perasan yang lebah-lebah ini suka mengerumuni lampu pada waktu pagi dan malam. Entah mengapa ya. Sudah beberapa orang ahli keluarga yang telah terkena sengat lebah ini walaupun ia sudah mati. Apalagi kalau bukan terpijak ^_^;

Teringat pada bulan Mei lepas, dalam jam 6.40 petang, Asma' (anak ketiga) disengat haiwan. Tidak pasti sama ada ia lebah atau jenis penyengat yang lain. Kami suami isteri sedang ajar mengaji dan dia menangis masuk ke dalam rumah. Saya bangun dan masuk ke bilik untuk menyusukan Asma'. Malangnya dia menolak dengan bersungguh-sungguh. Dalam masa yang sama tangisan semakin kuat. 

Tergerak hati untuk membuka pakaiannya. Masya Allah! Badannya bengkak dari kepala, leher, badan dan paling ketara di celah peha. Aduhai, bagai mahu luruh jantung dibuatnya. Disebabkan sudah azan maghrib, saya cepat-cepat urus diri dan mengajak suami ke klinik. Kesan gigitan di bahagian leher jelas. Mujur sengat sudah dicabut. Anak-anak kelas mengaji terpaksa diamanahkan kepada seorang ketua yang dilantik dalam kalangan mereka.

Mulut tidak henti melafazkan doa untuk orang sakit.

Setibanya di klinik pada jam 7.50 malam, pintu masih belum dibuka kerana klinik akan beroperasi semula jam 8 malam. Waktu itu jugalah Asma' muntah beberapa kali. Sah, dia alahan dengan sengatan itu. Alhamdulillah, dapat bertemu doktor dan mendapat beberapa jenis ubat. Jam 11 malam baru bengkak mula surut dan Asma' boleh tidur. 

Barulah saya teringat keesokan paginya akan bertolak ke Perak. Allahu akbar. Kami dimaklumkan bas akan bertolak jam 6.30 pagi dan saya berdoa semoga Asma' sihat. Tidak mengapalah jika tidak ke Perak esok harinya.

Alhamdulillah, keesokan harinya bengkak sudah surut semuanya dan dia aktif seperti biasa.

ALLAHU Allah. Sedikit sahaja Allah uji, saya sudah kelam-kabut. Rasa seperti gagal dalam ujian Allah. 
Saya memohon keampunan-Mu Ya Allah....

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Tiada ulasan:

Catat Komen

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015