Isnin, 18 Julai 2016

Sayang adik


Minggu ini memasuki minggu ke-20 kehamilan. Sejak akhir-akhir ini saya mula mengulang bacaan buku dan artikel keibubapaan terutama persiapan kehamilan, persediaan melahirkan dan tidak lupa persediaan psikologi anak-anak dan pengurusan masa ibu yang akan melahirkan.


Untung sekali di tempat kerja, ada individu yang mewakafkan sebahagian koleksi Majalah Pa & Ma. Tidak mengapa edisi terdahulu kerana kandungannya evergreen :) 

Mengambil pengalaman anak pertama dan kedua dahulu, kali ini saya mengambil keputusan untuk memberitahu anak ketiga akan kelahiran adiknya yang keempat. Asma' kini berusia 1 tahun 11 bulan. Sudah mula bercakap beberapa patah perkataan dan sudah mula memahami pertuturan kita. 

Sedari awal kehamilan, saya sudah libatkan Asma' dengan memberitahunya dalam perut ummi ada baby iaitu adik Asma'. Asma' akan jadi kakak tidak lama lagi. Jadi kena sayang adik, be good to baby dan yang menariknya Asma' akan ada kawan baru! ;)

Memang pada awalnya dia seperti tidak memahami namun dari masa ke semasa saya bercakap mengenainya supaya dia alert dan tidak timbul masalah di kemudian hari. Teringat semasa berpantang anak kedua dahulu, anak saya yang pertama meragam dengan luar biasa sehingga saya mengalami tekanan. Subhanallah. Masa itu tidak ada ilmu menguruskan emosi anak pertama yang terasa dirinya terabai (mungkin) apabila mendapat adik.

Sesekali menunjukkan gambar scan bayi dalam perut dan menunjukkan video perkembangan bayi dalam perut kepada Asma' dan anak-anak yang lain. Anak pertama dan kedua sudah boleh memahami bahawa mereka akan dapat adik baru jadi saya tidak begitu risau dengan penerimaan mereka.

Namun, saya ada beberapa bulan untuk merancang aktiviti bersama ketiga-tiga anak ini sementara saya berpantang. Berdebar juga. Bagaimana ya menguruskan empat anak nanti. Bismillahi tawakkaltu 'alaLLAH.. rabbi yassir wa la tu'assir!
Di sini saya ingin berkongsi mengenai persediaan si kakak / abang sebelum menerima adik baru. Diperolehi dari buku Bukan Ibu Biasa yang ditulis oleh Ummu Balqis terbitan QultumMedia. Buku ini dari Indonesia dan saya beli dari Pn Nadiah Ahmad, penyusun Jurnal Si Cilik (Facebook : Nadiah Ahmad, Facebook Page : Aktiviti Anak 0 - 6 tahun, Instagram : projeksicilik) :

1. Memberitahu kehamilan ibu

- Ini membolehkan kakak / abang bersedia menerima adik


2. Mengajaknya berjumpa doktor

- Semasa pemeriksaan ibu mengandung. Apatah lagi ketika kita akan buat scan. Bolehlah si kakak / abang melihat janin di dalam kandungan ibu :)

3. Melibatkannya dalam pemilihan nama

- Anak saya yang ketiga ini masih kecil namun suka melihatnya mengangguk-anggukkan kepala apabila diajukan nama untuk adiknya ;)
4. Libatkan anak dalam pemilihan barangan bayi baru lahir.

- Bawa si kakak / abang ke kedai untuk membeli baju atau kelengkapan bayi baru lahir.

5. Mengajak anak berinteraksi dengan bayi dalam kandungan
- Mungkin boleh minta dia usap perut dan berbual dengan bayi.
- Sesekali saya minta Asma' bacakan surah pendek dan zikir untuk baby :)

6. Mengaktifkan peranan bapa

- Dalam hal ini, saya libatkan juga peranan aktif kakak sulung dan abang keduanya supaya sentiasa bermain dan belajar bersama anak yang ketiga ini supaya dia tidak terasa tersisih. Sementelah lagi, saya agak cepat kelelahan dengan aktiviti harian dan keadaan diri.


Teringat kata-kata penulis, "sayang adik tidak muncul tiba-tiba." Ya, ia merupakan satu proses yang mengambil masa juga namun boleh diambil tindakan dari awal, bukan? Moga Allah mudahkan insya Allah :)


Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Ummu Khaulah (Aina Dayana Hilmi)
Instagram : @ainadayanahilmi

Rabu, 6 Julai 2016

Eid Mubarak



Sumber : www.behance.net


Taqabbalallahu minna wa minkum.

Semoga Allah menerima (puasa) kita dan menjadikan kita kembali (dalam keadaan suci) dan termasuk orang-orang yang mendapat keampunan-Nya.

Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin
Daripada Aina Dayana, Ahmad Kamalarifin, Khaulah, Abdullah Naufal dan Asma' 😊

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Ummu Khaulah (Aina Dayana Hilmi)
Instagram : @ainadayanahilmi

Isnin, 4 Julai 2016

Aktiviti Ramadan : Surah Al-Baqarah Ayat 61


Buku X-Plorasi Surah Al-Baqarah sangat menarik untuk ditekuni. Buku ini merupakan siri ketiga dalam siri X-Plorasi yang disusun oleh Muhammad Luqman Makhtar terbitan Telaga Biru.

Sumber : Web Telaga Biru

Buku bersaiz kecil ini direka dalam bentuk permainan minda dan kreatif serta diselitkan banyak info berguna. Harganya juga berpatutan. Hanya RM10.00 sebuah (Semenanjung). Buku lain dalam siri ini ialah X-plorasi Surah-surah Al-Quran, X-plorasi Cinta Rasul, dan X-Plorasi Surah Ali Imran.

Ketika membaca helaian awal, saya sudah teruja dengan maklumat yang diberikan. Dalam surah Al-Baqarah ayat 61 ada beberapa jenis sayur-sayuran / kekacang yang disebut. Masya Allah. 


Maksudnya :

Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: "Wahai Musa, kami tidak sabar (sudah jemu) dengan makanan yang semacam sahaja; maka pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya dikeluarkan bagi kami sebahagian dari apa yang tumbuh di bumi; dari sayur-sayurannya, dan mentimunnya, dan bawang putihnya, dan adas (kacang dalnya), serta bawang merahnya". 

Nabi Musa menjawab: "Adakah kamu mahu menukar sesuatu yang kurang baik dengan meninggalkan yang lebih baik? Turunlah kamu ke bandar kerana di sana kamu boleh dapati apa yang kamu minta itu". Dan mereka ditimpakan dengan kehinaan dan kepapaan, dan sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan dari Allah. 

Yang demikian itu ialah disebabkan mereka kufur (mengingkari) ayat-ayat Allah (perintah-perintah dan mukjizat-mukjizat yang membuktikan kebesaranNya); dan mereka pula membunuh Nabi-nabi dengan tidak ada alasan yang benar. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka menderhaka dan mereka pula sentiasa menceroboh.

Sedikit mengenai ayat ini ialah, kaum Nabi Musa telah bosan dengan satu makanan sahaja iaitu manna dan salwa sehingga mereka meminta makanan yang disebutkan. 

Nabi Musa menegur mereka kerana makanan ini ialah makanan kebiasaan yang rendah martabatnya yang mudah didapati berbanding makanan mewah yang mereka makan. "Turunlah ke bandar..." bermaksud makanan ini mudah didapati di tempat yang biasa mereka pergi dan tidak perlu pun meminta kepada Allah. Wallahualam.

Ada 5 jenis sayuran yang disebut iaiatu :

1. Bawang putih
2. Timun
3. Kacang dal
4. Bawang merah
5. Sayuran

Untuk aktiviti bersama anak-anak, saya bina beberapa aktiviti.

1. Kad bergambar


Boleh muat turun di sini

2. Kad padanan gambar (matching picture card)



Boleh muat turun di sini

3. Jigsaw puzzle



Boleh muat turun di sini

4. Tulis pecahan huruf.


Boleh muat turun di sini

5. Tulis semula.


Boleh muat turun di sini

Sehingga bertemu lagi :)

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Ummu Khaulah (Aina Dayana Hilmi)
Instagram : @ainadayanahilmi

Ahad, 3 Julai 2016

Aktiviti Ramadan : Belajar perkataan ريح (angin)


Membaca firman Allah mengenai angin membuat hati rasa insaf. Bagaimana hebatnya kejadian angin ini, lebih hebat tuhan yang menciptakannya.

Saya hanya mengambil beberapa potong ayat dari al-Quran yang menyebut tentang angin dan ditambah penerangan sedikit untuk anak-anak. Sambil menunjukkan video tentang angin ribut dan angin di tepi laut yang tenang. 

Antara ayat yang diambil ialah dari Surah Ar Rum ayat 48 :

Ar-Rum ayat 48
Maksudnya :

Allah jualah yang menghantarkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan; kemudian Allah menyebarkan awan itu di langit sebagaimana yang dikehendakiNya dan menjadikannya berkelompok-kelompok; lalu engkau melihat hujan keluar dari celah-celahnya. Maka apabila Allah menurunkan hujan itu mengenai sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambanya, mereka serta merta bergembira;

Ya, Allahlah yang menjadikan dan menghantarkan angin. Satu perkara yang sangat ditekankan dalam mengajar tauhid kepada anak. Dalam ayat ini diceritakan proses awal kejadian hujan. Nanti akan bersambung dalam aktiviti lain untuk menunjukkan proses kejadian hujan kepada anak-anak. Insya Allah.

Kami buat origami kipas. Agak sukar untuk anak berusia 4 tahun ke bawah untuk mengikut arahan ;) Hanya kakak yang dapat buat sendiri tanpa bantuan sehingga siap. Alhamdulillah. Yang lain sabar menunggu ummi melipat kipas-kipas mereka.












Apabila dipasang pada batang aiskrim, saya pun tidak tahu cara yang betul. Saya tebuk sedikit bahagian tengah, Gunakan butang baju melayu lama (yang sudah tiada pasangan) dan lekatkan pada batang ais krim dengan blue tag. Jadilah.... mereka halakan pada kipas yang berpusing. Hihi..



Nota :

Boleh lihat gambar rajah di bawah ini untuk arahan yang lebih jelas. Selamat mencuba!

Sumber dari : Paper Origami Blog
Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Ummu Khaulah (Aina Dayana Hilmi)
Instagram : @ainadayanahilmi

Sabtu, 2 Julai 2016

Meraikan perbezaan anak


Sumber gambar : sini

Orang kata setiap anak berbeza karakternya. Memang ya :) Anak ketiga, Asma' kini berusia 1 tahun 10 bulan. Melihat perkembangannya membuatkan saya tersenyum dan mengingat kembali perkembangan kakak dan abangnya ketika di usianya.

Ketika di usia setahun sudah pandai angkat kaki untuk dipakaikan seluar, sudah pandai ambil buku dan buka. Baca ikut 'bahasa' sendiri. 1 tahun 3 bulan sudah 'alert' dengan bacaan Quran. Kini sudah lebih jelas sebutan surah Al-Fatihah.

Sudah 'familiar' dengan doa-doa harian dan boleh sambung bacaan seperti doa pakai baju, doa masuk dan keluar tandas, doa keluar rumah dan naik kenderaan, doa berhenti di sesuatu tempat dan doa masuk rumah.

Potty training pernah buat tapi saya yang tidak konsisten 😁 

Rutin kegemarannya sekarang ialah bawa sebanyak-banyak buku dan minta saya, kakak atau abinya bacakan. Barakallahufik 😃

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Ummu Khaulah (Aina Dayana Hilmi)
Instagram : @ainadayanahilmi

Jumaat, 1 Julai 2016

Aktiviti Bercerita : Violet's House


Akhir-akhir ini anak yang kecil semakin kerap mengulit buku. Antara buku yang kerap di'bacanya' ialah siri Einstein : Violet's House.

Buku ini telah lama saya beli. Mungkin sudah lebih 4 tahun berada dalam rak buku di rumah. Bermula dengan Khaulah diikuti dengan Abdullah Naufal, dan kini Asma' memang menggemari buku ini.

Buku ini berkulit keras (jenis board book), bersaiz besar, berwarna-warni dan ada kesan sensori di dalamnya. Memang anak-anak sangat teruja dan ralit membaca buku ini! Mereka suka merasa sensori yang ada.

Saya tidak pasti berapa harganya kerana saya beli second hand book ini melalui sebuah laman blog satu ketika dahulu. Blog itu kini sudah tidak berfungsi lagi.

Tak mengapa anak-anak koyakkan buku, baling buku dan conteng buku kerana matlamat asal mahu menyemai minat membaca pada anak-anak. Lepas dah minat baru boleh ajar membaca dengan gembira ;) Perlulah pilih buku yang sesuai iaitu berkulit lembut atau keras supaya tidak mudah koyak dan tahan lasak. Maklumlah, tahap kesabaran ibu ayah pun kadang kala teruji. Hehe.. Mana tahan tengok buku yang dibeli dengan harga yang mahal dikoyak-koyak. Grr..









Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Ummu Khaulah (Aina Dayana Hilmi)
Instagram : @ainadayanahilmi

Rabu, 29 Jun 2016

Aktiviti Mudah Di Rumah Merangsang Bayi Anda




Semasa awal pertumbuhan usia bayi, mereka cenderung memerhatikan benda dan orang di sekeliling. Waktu ini mereka akan mula explore benda di sekeliling. Apabila mereka mula menjulur, merangkak dan sebagainya, kita perlu berjaga-jaga supaya objek yang masuk ke dalam mulut bayi adalah selamat dan dikawal.

Saya percaya pentingnya Al-Quran diperdengarkan sejak kecil mampu merangsang otak berfungsi dengan lebih baik. Selain merangsang fungsi otak bayi, jangan dilupakan al-Quran sebagai terapi terbaik bayi :)

Baik, saya ingin berkongsi idea aktiviti yang boleh dilakukan bersama bayi di rumah berdasarkan pengalaman dan pembacaan. Umur bayi adalah umum dan catatan ini cenderung kepada bayi berusia setahun dan ke atas :

Cahaya

Bayi memang sukakan cahaya. Paling mudah kita bermain bayang-bayang dengannya. Tutup lampu, pasangkan lampu suluh atau lampu dari telefon dan mula membuat bentuk menggunakan jari atau tisu berwarna.

Botol

Gunakan botol lutsinar atau botol mineral. Isikan air berwarna yang ditambah serbuk glitter, goncangkan dan beri anak main atau boleh juga dibuatkan I Spy Bottle. Versi kami seperti ini - I Spy Bottle versi kami.


Benda bergerak (mobile)

Boleh gantungkan permainan mobile mengikut kesesuaian ketinggian dan pastikan ianya selamat dari bayi anda. Ada bayi yang leka dengan benda-benda ini namun tidak kurang ada yang tidak peduli pun. Hehe, ikutlah tahap perkembangan anak.
Harganya RM162.00 belum termasuk kos pos :)

Alat permainan

Adakalanya ibu bapa tidak perlu membelikan permainan yang mahal kerana anak lebih suka objek yang sebenar. Misalnya sudu, garfu, pinggan, mangkuk dan sebagainya. Sementara kita sibuk di dapur, boleh beri bayi bermain alatan ini to keep them busy too ;)

Sumber gambar : di sini

Bahan sensori

Merangsang sensori bayi sangat bagus untuk membolehkan perkembangan deria sentuhan dan explore benda baharu. Ada ibu yang rajin menyediakan sensory bag, sensory mat, busy book dan seumpamanya. Boleh buat carian di internet. Sangat banyak idea dan variasi ciptaan yang dibuat untuk bayi :)



Pasir

Oh, anak-anak memang seronok bermain pasir! Kini sudah ada produk permainan pasir yang selamat untuk anak-anak. Namun, jika ada anak kita yang tidak mahu bermain kerana geli mungkin kita perlu merangsang lagi deria sentuhannya secara perlahan-lahan :)




Boleh juga dapatkan pasir magik ini dengan saya ;) Kinetic Sand 2 kg dengan 18 aksesori dan sebuah tray. Harganya RM70.00 belum termasuk kos penghantaran. Boleh hubungi saya seperti maklumat di bawah ya! :)


Itu sahaja untuk hari ini. Semoga bermanfaat.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Ummu Khaulah (Aina Dayana Hilmi)
Instagram : @ainadayanahilmi
Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015