Selasa, 14 November 2017

Agrofarmstay Melaka - destinasi menarik untuk dikunjungi


Gambar : koleksi peribadi

Minggu lalu sempat menjengah program anak-anak istimewa di Agrofarmstay, Durian Tunggal, Melaka.

Agrofarmstay berkeluasan lebih kurang 32 ekar.

Pertama kali tahu tempat ini. Teruja! Kami sampai selepas Asar dan dibawa terus ke Villa di situ yang menempatkan kesemua peserta dan urusetia program.


Villa atas bukit

Selepas solat Asar dan minum petang, kami turun bersama anak-anak ini ke kolam renang untuk aktiviti air. Wah, seronok sungguh mereka berenang dan bermain air!


Anak-anak turut serta bercampur dengan anak-anak istimewa ini. Meskipun malu-malu, tetapi anak-anak istimewa ini tidak kekok malah prihatin.

Kolam renang

Sambil mendukung bayi saya ini, saya meninjau kawasan sekitar. Pintu masuk Agrofarmstay ini terpampang nama tempat dan pengunjung akan disapa landskap, tumbuhan hijau dan kolam-kolam ikan di sepanjang jalan.

Ada deretan bilik chalet, dewan seminar, homestay, kolam renang dan tasik untuk aktiviti kayak dan memancing ikan.


Chalet dan dewan seminar
Tasik untuk aktiviti berkayak dan memancing

Villa yang berada di atas bukit ini mempunyai 9 buah bilik dilengkapi dapur yang luas dan dua ruang tamu yang besar. Sangat selesa untuk anak-anak istimewa ini. Alhamdulillah. Kadar sewaan ialah RM950 (hari bekerja Isnin - Jumaat). Bagi hujung minggu, kadarnya lebih sedikit.

Sesuai dengan namanya Agrofarmstay, di sini ada mini zoo dan dusun buah-buahan. Jika datang ketika musim buah-buahan, boleh sahaja makan secara percuma. :blush:

Anak-anak teruja melihat kuda, ayam turkey, itik dan burung yang ada di sini.


Mini zoo (ayat saya sahaja ;)) bersebelahan tasik

Kami solat Maghrib berjemaah di Villa dan ada slot tazkirah oleh ustaz jemputan.



Saya tertarik dengan kisah yang dibawa oleh beliau. Simple dan insya Allah mesejnya dapat diterima oleh anak-anak ini.

"Siapa tahu katak ada berapa ekor?"
Terdiam seketika anak-anak ini memikirkan jawapan (agaknya). 

Tidak lama kemudian, terdengar suara-suara halus cuba menjawab. "Satu!" "Katak takde ekor!" "Entah.." 

Hehe. 

Ustaz bawakan cerita teladan mengenai seekor anak katak yang pulang ke rumah selepas puas bermain. 

Anak katak : Ayah, ayah, tadi saya nampak ayam.
Ayah katak : Ayam? Kecil ke besar?
Anak katak : Besar ayah.
Ayah katak : (Tidak puas hati) Macam ini ke? (sambil mengembangkan badannya)
Anak katak : Tak ayah. Besar lagi. 

Si ayah pun kembangkan lagi perutnya. Apabila si anak mengiakan, baru si ayah berhenti. 

Lalu si anak berkata lagi, yang dia bertemu seekor kuda. Ayah yang tidak puas hati ada haiwan lebih hebat darinya terus mengembangkan perutnya sehingga tiba-tiba, pap!! Pecah perutnya! 

Apa pengajaran yang anak-anak perolehi? 

Masya Allah, ada yang mampu memberi jawapan : kita kena bersyukur. 

Lalu ustaz mengingatkan bila kita bersyukur kita ucap terima kasih kepada Allah. Ucapkanlah alhamdulillah. Malah ada 4 kalimah yang disukai Allah iaitu Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha illallah dan Allahu Akbar.

Selepas Solat Isyak berjemaah,majlis penutup diadakan dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh pegawai dari bahagian Pendidikan Khas. Selesai majlis, semua peserta kem menjamu selera dengan BBQ. Alhamdulillah.


Kami menginap di homestay yang tersedia. Sangat selesa dengan sebuah ruang tamu yang menempatkan 3 buah katil single, sebuah meja makan, 2 bilik tidur (1 bilik keluarga dengan katil Queen dan sebuah lagi bilik kecil menempatkan sebuah katil bujang).

Pandangan dari luar homestay

Ada 2 buah tandas (satu di dalam bilik keluarga dan sebuah lagi di ruang tamu). Ruang dapur dilengkapi peralatan asas seperti dapur gas, gas, pinggan mangkuk, cawan, teko dan jug kettle. Ada sebuah peti sejuk diletakkan di ruang tamu. Ibu-ibu yang perlu pam susu bolehlah simpan di sini sementara menginap di sini.

Penghawa dingin ada di dua tempat ; bilik keluarga dan ruang tamu. Bilik bujang disediakan sebuah kipas.

Semuanya elok dan bersih. Kami pulang keesokan harinya pada jam 12 tengahari.


Cuba teka rumah merah yang comel di belakang itu digunakan sebagai tempat apa?

Kali ini kami pulang melalui jalan dalam Utem. Dapatlah anak-anak melihat kampus ini dengan lebih dekat.

"Dulu ummi belajar kat universiti ni. Tapi tempat lain." Anak-anak diam memerhati. "Eh, ada masjid! Besarnya," kata si abang ngah. "Wah, perpustakaan!," Jerit si kakak pula. Anak nombor tiga tidak terkata. Ralit melihat sekeliling.


Bagi yang berminat untuk menginap di sini, bolehlah ke laman sesawangnya di sini : Resort Agrofarmstay.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015