Khamis, 12 Julai 2018

Apa bukti cintakan Nabi SAW?


Dalam kesibukan bersama anak kecil di rumah, Allah izinkan untuk kami sekeluarga menghadiri majlis ilmu di masjid. Nikmat Allah yang manakah mahu didustakan?

Awal Februari tahun ini, berkesempatan hadir ke kuliah maghrib di masjid kampung. Penyampainya ialah Dr Umar Muhammad Noor, mantan editor majalah Solusi, seorang pengkaji hadis dan mursyid bagi Arba'in Centre.

Di awal ucapannya, beliau menyentuh dua perkara bukti cintakan Nabi.

Pertama, mencintai Al-Quran.

Cinta ini definisinya sangat suka sehingga kita tidak dipaksa untuk melakukannya.

Dikisahkan, seorang rakannya dahulu pernah menerima surat cinta setebal 300 muka surat dari seorang perempuan. Agak-agaknya berapa lama masa diambil oleh rakannya untuk mengkhatamkan surat tersebut?

SATU HARI sahaja!

Bayangkan Al-Quran yang ada 600 muka surat itu kita ambil berapa lama untuk habiskan? 

Ada orang ambil masa seminggu, sebulan, malah ada yang setahun sekali pun susah mahu khatam.

Bagaimana kita kata kita cintakan Nabi?
😭🙈

Ada seorang ulama dari Syria, iaitu seorang guru beliau semasa beliau menuntut di sana, sangat suka membaca al-Quran sehinggakan sehari tidak membaca al-Quran akan terasa hidup tidak lengkap.

Di Singapura (tempat tinggal ustaz), setiap kali ke masjid untuk solat, pasti beliau terserempak dengan seorang lelaki tua yang sedang membaca al-Quran. Lelaki itu duduk di atas kerusi sambil menatap mushaf sementara menunggu azan dilaungkan.

Apabila ditanya, beliau menjawab beliau sangat suka membaca al-Quran. Terasa sangat gembira apabila dapat membaca al-Quran.

Begitulah juga dengan para sahabat seperti Saidina Usman bin Affan. Seorang sahabat dan menantu Nabi kerana beliau berkahwin dengan dua orang anak perempuan baginda. 

Beliau seorang penghafaz al-Quran tetapi tetap suka membaca al-Quran dari mushaf. Bagaimana pula ada orang yang benci akan sahabat Nabi yang sebegini? Sungguh mereka itu sangat terpesong.

Kedua, mencintai sunnah baginda SAW.

Beliau berkongsi sebuah zikir yang elok diamalkan sesuai dengan sunnah nabi.

Apabila seseorang terjaga di tengah malam, segeralah mengucapkan : La ilaha illallah, wahdahu la syarikalah lahul mulku walahul hamdu yuhyi....dan berdoalah apa yang diingini.

Misalnya rabbighfirli (3x) atau nyatakan apa sahaja hajat yang diinginkan.

Sesungguhnya Allah akan memustajabkan doa ketika itu.

Masya Allah 😭

Ya Allah, ingatkan daku apa yang daku terlupa, jadikan daku orang yang dapat mengamalkan sunnah nabi dan jadikan daku orang yang solat dan mencintai al-Quran. Amin...


Aina Dayana Hilmi

Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015