Rabu, 22 April 2020

Onde-onde


"Uish.. mak long main Play-Doh ke?"


Saya menoleh bila ditegur oleh anak buah. Haha .. meletus juga ketawa saya. "Bukan, mak long nak buat kuih."

"Uish.. tapi Macam Play-Doh la!"

Dia masih tak lepas lagi rasa kagum tu. Yelah, anak-anak ini dah lama tak main Play-Doh. Ummi / mak long ni malas nak buatkan. Huhu.

Hikmah PKP, mereka telah berada di kampung beberapa hari sebelum PKP diumumkan. Jadi sudah lebih sebulan mereka berada di sini. Mujur juga dua beradik. Ada kawan di samping sepupu-sepupu di sini.

Petang itu saya buat onde-onde gula melaka untuk minum petang. Disebabkan pertama kali buat, sudah pasti saya try and error dalam membancuh adunan. Hehe. 

Saya ikut resipi dari Azie Kitchen cuma saya perbanyakkan daripada sukatan yang beliau beri. Bahan-baham semua ada di dapur. 

Lega banyak bila ada pokok pandan. Meskipun pakai hanya sehelai dua dalam masakan tetapi sangat berbaloi bila ada tanam di rumah. Setiap kali nak ambil daun ini pasti saya teringatkan sahabat yang beri pokok ini. Barakallahu fik Kak Suzani ❤️


Onde-onde gula melaka

Bahan 

Setengah peket tepung pulut
4 sudu besar tepung beras
6 helai daun pandan 
Gula melaka dipotong dadu saiz kecil
Setengah biji kelapa parut digaul dengan sedikit garam
Air secukupnya

Cara 

1. Kisar 5 helai daun pandan dengan air secukupnya untuk dapatkan warna hijau asli pandan. Tapis.


2. Adunan tepung pulut dan tepung beras saya gunakan nisbah 4 : 1 (4 sudu tepung pulut dan 1 sudu tepung beras). Fungsi tepung beras ialah melembutkan adunan.

3. Masukkan air pandan sedikit demi sedikit. Uli sehingga adunan tidak melekat.

4. Cubit adunan, gentel bulat dan tekan kuat sedikit di tengah menjadikannya seperti bentuk piring.

5. Masukkan gula melaka dan gentel tepung hingga bulat seperti bola.

Haha.. comel sangat gula melaka ni. 

6. Didihkan air bersama sehelai daun pandan yang disimpul (nak beri bau harum). Masukkan semua bebola tepung tadi.

7. Tunggu ia timbul dan angkat dengan tapis. Golekkan dalam kelapa parut.

8. Siap dihidang.


Ianya mudah. Tetapi saya mengambil masa kerana memberi tunjuk ajar kepada anak sulung. Semoga kakak dapat belajar kemahiran ini sebaiknya. 

Mana tahu ada gudang pahala yang dapat kakak buat dengan kemahiran memasak yang asas seperti ini. Nanti ajar adik-adik pula. Insya Allah.

Aina Dayana Hilmi,
Merenung masa yang berbaki. Tidak tahu bila dipanggil pulang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015