Jumaat, 4 Mei 2018

Jangan lengah pisahkan tempat tidur anak


Beberapa minggu lepas, ada ibu-ibu anak murid mengaji mengadu. "Na, anak saya ni dah besar-besar pun tidur sekali dengan maknya."

Terangkat kening saya. Automatik terbayang muka si anak-anak yang dimaksudkan.

Memang sudah besar. 13 tahun! Saya geleng kepala.

Teringat juga kepada beberapa kes luar biasa di sekolah khas, tempat saya mengajar. Pernah beberapa kali terjumpa anak murid berkelakuan pelik di sekolah.

Apabila ditanya, tak mahu jawab. Maka sesi soal siasat terpaksa dilakukan. Hah, barulah dapat punca. Anak sebesar 12 hingga 13 tahun masih tidur sekatil dengan ibu ayah!

Anak-anak didik saya ini hanya OKU pada pendengaran tetapi mereka normal penglihatan. Aduhai, sikap acuh tidak acuh ibu ayah mengundang masalah besar yang mereka tidak jangka. Cikgu di sekolahlah yang pening kepala mahu tangani kes-kes begini.

Isu anak tidur sekali dengan mak ayah adalah isu penting yang tidak boleh diambil ringan.

Pertama, ada hadis Rasulullah yang memberi panduan :

“Perintah anak kamu bersembahyang ketika mereka berumur 7 tahun, jika mereka tidak melakukannya sampai umur 10 tahun, pukul mereka, juga pisahkan di antara mereka (lelaki dan perempuan) dari tempat tidur.” (Riwayat al-Hakim dan Abu Daud).

Jadi, anak harus tidur berasingan secara total ketika usia 10 tahun! Asingkan anak lelaki dan perempuan. Juga tidak tidur di bilik ibu ayah.

Kedua, mendidik anak meminta izin. Di sini adab sangat perlu ditekankan seperti yang terkandung dalam Surah An-Nur ayat 58 :

Hai orang-orang yang beriman, hendaklah budak-budak (lelaki dan wanita) yang kamu miliki, dan orang-orang yang belum baligh di antara kamu, meminta izin kepada kamu tiga kali (dalam satu hari) iaitu: sebelum sembahyang subuh, ketika kamu menanggalkan pakaian (luar) mu di tengah hari dan sesudah sembahyang Isya'. (Itulah) tiga aurat bagi kamu. Tidak ada dosa atasmu dan tidak (pula) atas mereka selain dari (tiga waktu) itu. Mereka melayani kamu, sebahagian kamu (ada keperluan) kepada sebahagian (yang lain). Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayat bagi kamu. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Jadi, jangan bertangguh!

Ruang-ruang di rumah. Asas penting mengajar anak aurat rumah dan adab-adab meminta izin dari ibu ayah

#SayaJualBuku
#RoboBelajarTentangManusia
#DidikanSeksualitiIslami
#UntukAnak
#bermuladirumah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015