Khamis, 26 Julai 2018

Bengkel Penulisan anjuran BPI



Minggu lalu, berkesempatan menghadiri sebuah bengkel penulisan awal remaja bersama pihak Galeri Ilmu anjuran Bahagian Pendidikan Islam (BPI), Kementerian Pendidikan Malaysia untuk para ustaz dan ustazah.

Awalnya, kursus ini ditawarkan kepada suami tetapi beliau sudah ada seminar yang perlu dihadiri pada tarikh berkenaan dan saya menawarkan diri untuk menyertainya meskipun saya bukan seorang guru agama.

Berdua dengan seorang rakan guru, kami menaiki pengangkutan awam dari Melaka ke Shah Alam dan begitu juga perjalanan pulang. Beruntung ada teman perjalanan yang cekap dan berpengalaman. Agaknya jika saya seorang entah bagaimanalah ya. Pengangkutan awam ke destinasi adalah sukar selain perlu menempuh kesesakan lalu lintas yang agak teruk. Terima kasih juga buat adiknya yang sanggup membantu menghantar kami.

Dari Tn Hj Zakaria Sungib, kami memperoleh banyak maklumat asas sesebuah manuskrip yang diterima oleh pihak mereka. Malah, beliau membawa contoh manuskrip dan kami berpeluang melihat dan membaca sepintas lalu. 


Saya tidak pernah menulis novel. Sekadar cerpen-cerpen yang ditulis semasa di sekolah menengah sahaja. Itu pun memenuhi tugasan kerja rumah oleh guru Bahasa Melayu.

Namun, mengambil inspirasi dari para peserta bengkel, membuatkan saya dan Kak Faris berasa kagum dengan semangat para asatizah ini. Boleh dikatakan semua ustaz dan ustazah yang hadir telah pun mempunyai sekurang-kurangnya sebuah novel atau karya yang telah dibukukan. Masya Allah!

Berpeluang berkenalan dan bermesra dengan mereka, dalam diam banyak hikmah yang dapat kami kutip sepanjang sehari berprogram. Kebanyakannya juga sedang mengambil PhD namun masih sempat mencari ruang untuk menulis. Memang layaklah mereka ini mendaki tangga kejayaan.


Antara lain, objektif bengkel penulisan ini adalah ingin menghasilkan novel awal remaja berbentuk islami. Banyak isu gejala sosial dan serangan dakyah syiah dalam kalangan remaja sekolah yang perlu kita gembleng tenaga untuk membanterasnya. Medium penulisan adalah salah satu cara.

Dalam gambar, Ustaz Wan Zayuhisham membentangkan jumlah dana yang diperuntukkan kepada Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mengikut tahun tertera. Bayangkan dari 40 juta dikurangkan kepada 2 juta sahaja. Berapa banyaklah buku yang dapat dibekalkan ke perpustakaan seluruh negara. Apatah lagi ke sekolah. Ini adalah salah satu cabaran bagi bidang perbukuan di Malaysia.

Bergambar kenangan

Hari ini sudah masuk hari ke-8 selepas berbengkel dan saya baru taip 3 daripada 10 bab yang diperlukan. Ya Allah, beri kekuatan dan ilham kepada Aina Dayana untuk siapkan sebuah lagi manuskrip untuk kebaikan ummah. Amin..amin..

Terima kasih kerana mendoakan saya 😊

++++

Setinggi-tinggi penghargaan untuk emak dan ayah saya yang membantu menjaga kesemua anak sementara saya ke kursus. Meski berat hati kerana tidak pernah lagi meninggalkan mereka sejak saya bercuti tanpa gaji ini, namun Allah memudahkan melalui kedua ibu bapa saya. Moga Allah kurniakan kesihatan dan ketenangan buat mak dan ayah.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

1 ulasan:

  1. Alhamdulillah rezeki dapat hadir bengkel penulisan begini. Teruskan menulis ya Puan! Saya pun tengah kutip balik semangat menulis dah tercicir merata-rata ni. Hehe

    BalasPadam

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015