Selasa, 18 Oktober 2016

#ReviuBukuAnak 4 - Siri Petra Si Panda




Saya pernah sebut dalam entri terdahulu yang anak kedua saya sangat sukakan siri Petra Si Panda. Maka kunjungan ke perpustakaan negeri baru-baru ini kami cari lagi siri Petra yang lain. Satu siri ini mengandungi 10 buah buku dan kali ini kami dapat meminjam empat buah buku lagi. Buku ini bersaiz besar dan berwarna penuh. Rasanya ia karya terjemahan kerana hanya tertera nama penterjemah dan tiada nama penulis asal.

1. Petra dan Anak Burung

Petra sedang berjalan-jalan ketika dia menemui seekor anak burung yang menangis. Rupa-rupanya anak burung itu tidak sabar mahu belajar terbang dan terjatuh dari sarang. Ibunya pergi mencari makanan. Setelah ibunya pulang, dia salah sangka kerana menyangka Petra sebagai ancaman kepada anaknya sedangkan Petra mahu membantu anak burung itu kembali ke sarangnya.







2. Petra dan Si Kanggaru

Petra dan kawannya, si Kanggaru berpiknik dan bermain di padang ketika mereka terlihat seekor arnab berlari ketakutan. Rupa-rupanya dia dikejar oleh seekor musang yang ingin memakannya. Petra dan Kanggaru bertindak membantu si Arnab dan berjaya menghalau pemangsa. Mereka juga mempelawa si Arnab makan bekalan yang dibawa :)






3. Petra Menjinakkan Kucing

Anak-anak saya takutkan kucing. Namun mujurlah jika ada cerita melibatkan kucing mereka masih boleh duduk mendengar. Namun, untuk memegang kucing di alam realiti tidaklah sekali-kali. Saya juga hairan mengapa jadi begitu ya? 

Kucing dalam cerita Petra kali ini suka berbuat nakal di rumah Petra. Dia suka bermain di ruang tamu, membuat sepah dan melompat-lompat. Sudah pasti Petra berasa penat kerana dia sudah mengemas rumah sejak awal lagi. Petra pernah menghalau si kucing keluar rumah dan si kucing ingin membalas dendam. 

Pada malam hari, dia membuat kacau dan kali ini Petra meletakkan kucing ini berhampiran dengan katilnya. Terpaksalah si kucing tidur bersama Petra malam itu.

Perlu ditekankan kepada anak, adab-adab bertandang ke rumah orang. Antaranya perlulah meminta izin sebelum masuk ke rumah, memberi salam, masuk apabila dijemput, minum apabila dipelawa, bersopan-santun dan senarai berterusan.

Elakkan bersikap seperti si kucing dalam cerita ini!






4. Petra Berjaya Menyelamatkan Diri

Hah, kali ini Petra pula hampir menjadi mangsa kepada pemangsa. Mujurlah ibunya sempat mencari Petra untuk pulang ke rumah :)









Sebenarnya, apa jua buku cerita yang kita pilih untuk anak, kita harus lihat juga isi kandungan dan mesej yang ingin disampaikan. Ada cerita yang tidak sesuai dari segi nilai dan moralnya atau bertentangan dengan agama dan budaya kita. 

Peranan kitalah yang dapat memilihkan buku yang baik untuk anak-anak supaya penerapan akidah dan fahaman yang betul meresap dalam diri anak-anak. Wallahualam :)


Aina Dayana binti Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Fanpage : Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015