Khamis, 30 Ogos 2018

Menanam akidah kepada anak-anak


Pulang dari kuliah maghrib, saya membuka cerita dengan suami. Setiap kali ustaz yang mengajar itu mengesyorkan supaya bawa anak sekali ketika datang solat di surau dan masjid, pasti ada seorang kakak ini akan meluahkan perkara yang sama kepada saya.

"Saya dah ajak tapi sorang pun anak tak mau ikut. Budak-budak sekarang ni. Dulu masa kecik-kecik, semua ikut. Rajin solat di masjid. Tapi sekarang.." Dia menggeleng-gelengkan kepala menzahirkan rasa kesal.

Saya terdiam. Rasa tersekat pula kuih yang sedang dimakan. Menanti butiran seterusnya.

"Anak yang sulung tu kerja sekejap sana sekejap sini. Entahlah. Yang nak ambil periksa tahun ni asyik dengan handphone je. Bila masa nak belajarnya!"

Saya tak tahu nak beri respon terbaik. "Teruskan bagi nasihat kak. Dan doa. Doa ibu ni mustajab. Anak-anak saya pun kecil lagi. Doakan kami juga ya kak." Kakak itu diam dan mengangguk. Anak-anak saya pula galak berlari dalam surau. Sebab semua jemaah sedang makan di luar. Aduhai..sabar ye hati.

Suami menjawab : inilah masalah sebahagian besar yang beliau terima. Saban hari ada sahaja ibu ayah yang mengadu begitu. Sedih dan bimbang.

Katanya, sebab itu akidah sangat penting diajar kepada anak seawal usia. Akidah itu kepercayaan. Tanamkan pada anak-anak kita solat kerana siapa? Kerana apa? Memang susah, doalah supaya Allah bantu.

Ada 3 soalan (perkara pokok) penting perlu ajar pada anak-anak. Soalan yang ditanya di dalam kubur.

- Ma robbuka? (Siapa tuhan kamu)
- Ma nabiyyuka? (Siapa nabi kamu)
- Ma deenuka? (Apa agama kamu)

Anak-anak di belakang pula yang jawab soalan. Hihi. Ingat abi tanya agaknya.

Spontan melirik kepada anak nombor 2 (dia sahaja yang masih tegak duduk. Yang lain sudah layu mata nak tertidur). 

+ Abang Ngah, semalam abang ngah beli lego eh?
- Haah ummi. 
+ Balik rumah abang ngah buat apa dengan lego tu?
- Abang ngah pasang ummi. Abang ngah buka plastik dia. Lepas tu... (Panjang lagi dia bercerita). Abang ngah buat itik.
+ Oooo.. masya Allah abang ngah buat itik dari lego? Pandainya! Siapa bagi kita pandai, abang ngah?
- Allah, ummi.
+ Betul abang ngah 💕 Masa abang ngah buat itik lego, abang ngah memang dah tau buat ke kena tengok kertas panduan?
- Abang ngah tengok kertas, ummi. Baru dapat buat itik tu. Abang ngah tau buat.
+ Ha, macam tu juga kita orang Islam. Abang ngah tau tak orang Islam ni ada buku panduan juga. Tau tak namanya apa?
- (Dia terdiam. Berfikir barangkali)
+ (Tapi saya tak menunggu jawapan) Yang abang ngah baca hari-hari tu? Mengaji apa?
- Oh Quran ummi!
+ Betul. Orang Islam ada buku panduan. Namanya Al-Quran. Lagi satu kita berpandukan sunnah Nabi Muhammad SAW tau.
- (Dia angguk-anggukkan kepala)

Mendidik anak sebenarnya mendidik diri sendiri. Mendapat anak memang seronok tetapi tanggungjawab BESAR dipikul. Benarlah kata hadis nabi, 

Abu Hurairah r.a. menceritakan, bahawa Nabi saw. pernah bersabda: "Tidak ada seorang anak pun yang dilahirkan, melainkan ia dilahirkan dalam keadaan suci bersih; maka ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi, atau Nasrani, dan atau Majusi. Sama halnya sebagai seekor haiwan ternak, maka ia akan melahirkan ternak pula dengan sempurna, tiada kamu dapati kekurangannya."

[Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0699]

Ya Allah semoga saya jadi ibu yang SABAR dan penyayang buat anak-anak ini. Amin..

Gambar lama.. 2015

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015