Khamis, 21 Jun 2018

Pengalaman pertama bersalin


Semasa mengandung kali pertama (2009), saya lalui dengan ilmu yang kosong di dada. Ketika itu, saya masih di tahun akhir pengajian. 

Tidak membaca apa-apa buku keibubapaan, tidak terasa mahu menuntut ilmu kehamilan, tidak begitu mengambil berat akan pemakanan dan segalanya berlalu seperti biasa kecuali saya melazimi al-Quran dan mula mengamalkan bacaan Hisnul Muslim. 

Itu pun atas saranan suami. Syukur sekali Allah berikan suami yang sangat kuat bab ini.

Allah rezekikan kandungan itu bertahan selama 3 bulan sahaja. Ia gugur ketika saya pulang bercuti untuk menyambut hari raya Aidilfitri. Saya hanya menangis sekali sahaja iaitu selepas keluar dari bilik pemeriksaan Pakar O&G.

Selepas itu, saya tidak mahu lagi mengeluarkan air mata kerana benar-benar teringat firman Allah dalam Surah Al-Balad ayat 4 yang bermaksud : Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya);

Dan ada sebuah lagi firman Allah yang mana saya lupa surah dan ayat ke-berapa yang bermaksud Allah menetapkan sesuatu dalam pengetahuannya. Tidak cepat atau tidak lambat. Maka, mengimani kedua ayat ini membuatkan saya jadi tenang dan redha.

Datang ibu mertua yang kesedihan menangis melihat keadaan saya membuatkan diri agak hiba. Namun, ketenangan dari wajah emak dan ayah saya membuatkan saya kembali sedar. Semuanya milik Allah.

Proses mengeluarkan janin agak mencabar. Saya yang tiada ilmu ketika itu tidak bersedia dari segi mental dan fizikal. Hanya kekuatan emosi yang Allah beri sahaja membuatkan saya cuba bertahan. 

Bermula dengan proses induce, pengeluaran janin sehingga kepada proses D&C, saya lalui dengan pengalaman baru. 

Saya masih ingat lagi bagaimana menanggung kesakitan proses selepas induce sehingga akhirnya janin tersebut keluar. Jururawat yang lemah-lembut dan baik itu sangat mendamaikan perasaan. 

Alhamdulillah, moga Allah kurniakan kebaikan buatnya yang ikhlas memberi khidmat terbaik kepada pesakit.

Sememangnya, melalui pengalaman itu seorang diri, tanpa ada sesiapa pun menemani di sisi membuatkan saya pasrah kepada Allah Yang Maha Esa. Tiada daya dan upaya melainkan kuasa Allah. Saya sangat sedar, Allah memberi tarbiah terus kepada saya. Tiada gunanya bergantung kepada manusia. Subhanallah 😭

Semasa menanggung kesakitan, saya terfikir mengapa sakit sangat? Adakah ini dikatakan sakit bersalin? Saya memang terasa mahu membuang tudung yang dipakai, mahu bangun dan lari dari katil, mahu berpusing badan dan sebagainya. Saya cuma mampu berdoa supaya proses berjalan dengan baik dan saya SABAR hadapi keadaan ini. 

Akhirnya selepas 6 jam sakit, 9.30 pagi, janin tersebut berjaya keluar. Saya hanya berbaring di katil selepas jururawat menasihatkan supaya saya tidak bergerak bermula proses induce dibuat 😌 Punyalah "zero" pengetahuan saya tika itu 😅

Lama selepas itu baru jururawat menjengah saya dan saya memberitahu beliau yang saya rasakan darah banyak keluar. Terasa basahnya katil saya. Lantas beliau memaklumkan janin tersebut sudah keluar dan meminta izin dimasukkan ke dalam botol spesimen untuk dibawa ke makmal. Saya dapat melihat sepintas lalu keadaan janin saya sebelum beliau dengan pantas membersihkan saya.

Saya hanya berzikir selepas proses kelahiran sehinggalah melalui proses D&C pada malam tersebut. Seingat saya, memang saya terkejut ketika disiapkan untuk ke bilik pembedahan kerana bimbang berlaku pendedahan aurat. Huhu.

Nyata, apabila masuk ke OT, saya lihat ada beberapa orang pembantu lelaki. Namun doktor yang menjalankan prosedur ialah seorang doktor perempuan. Saya terus dibius sejurus masuk ke OT. Saya hanya sedar sebaik sahaja keluar dari OT dan ditempatkan berhampiran pintu OT sebelum dibawa oleh jururawat kembali ke wad. Waktu itu jam menghampiri 2.30 pagi. 

Jururawat bertugas agak terkejut kerana saya tersedar awal selepas proses D&C dan saya tidak "mamai" seperti kebanyakan pesakit lain. Keesokan paginya juga, saya bangun dan mengurus diri sebelum keluar wad. Malah, ditegur oleh jururawat kerana berjalan laju. "Hati-hati, dik. Awak tu baru lepas D&C." Err... Yalah, saya pun beringat kembali 😅

Pulang ke rumah pada hari terakhir ramadan, saya berehat sahaja sehingga keesokan paginya 1 Syawal, saya tidak banyak bergerak. Saya pulang lewat seminggu ke kampus kerana menghabiskan cuti sakit yang diberi oleh doktor. Alhamdulillah, saya tidak ketinggalan banyak kerana sudah memasuki semester akhir dan hanya ada 3 kelas berlangsung sepanjang tempoh saya cuti sakit. Sempat lagi saya "catch up".

Kini saya sedar, ia merupakan tarbiah awal sebelum saya mengandung untuk kali yang seterusnya. Ia mengajar tentang ketabahan, kekuatan dan paling penting kesedaran saya dalam menuntut ilmu.

Wallahualam.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015