Jumaat, 29 Jun 2018

Ulasan Buku : Saya Suka Mengaji



Sumber gambar : Koleksi peribadi

Selesai membaca Buku Bukan Sekadar Homeschooling (BSH), saya melanjutkan bacaan membaca buku Saya Suka Mengaji (SSM) pula.  Ini merupakan buku kedua Pn Khadijah Gani yang dilancarkan dari rumah penerbitan Telaga Biru Sdn Bhd. Temanya ialah perkongsian ilmu dan pengalaman beliau sebagai guru al-Quran semenjak akhir 2012.

Beliau ingin menarik perhatian khalayak pembaca supaya mengajar anak kecil mengaji al-Quran tanpa marah-marah. dan tanpa rotan. Ini bukan omong kosong. Beliau telah membuktikan melalui 'batch' demi 'batch' yang diajar oleh beliau sejak enam tahun dahulu.

3 prinsipnya :

1) Telan kemarahan

2) Tutup mata pada kesalahan, pandang yang betul sahaja.

3) Tidak perlu membebel atau menjerit. Berikan panduan yang betul.

Dengan ini kita tidak penat dan membuang masa marah akan perkara yang tidak perlu. [Tapi, percayalah sebahagian ibu bapa akan sukar membuat nombor 1 itu. Hee...]

Beliau ada berkongsi mengenai anak mengajinya yang pelat. Teruskan memandu bacaan anak seumpama ini dengan sebutan yang betul kerana "latihan menyebut makhraj dengan betul dan berulang-kali merupakan speech therapy terbaik buat seorang anak yang mempunyai masalah pelat. Berikan masa dan bersabarlah!: (SSM, muka surat 44)

Saya turut mendapat idea untuk membuat buku laporan dan perkembangan anak-anak murid mengaji apabila beliau berkongsi pemberian ganjaran dan bintang di dalam buku anak-anak murid beliau. Menarik untuk diaplikasikan kerana anak-anak termotivasi untuk melakukan yang terbaik.

Seperkara lagi yang saya kira sangat dicari oleh ibu bapa atau guru, tip beliau untuk menghadapi anak kecil yang suka membuat bising dan bermain :

1) Senyum sahaja bila melihat anak kecil berkeliaran. Itu adalah normal. Bersihkan "cermin pandang" kita.

2) Telan kemarahan. Cipta aktiviti lain untuk mereka semasa kita mengajar rakan-rakan atau adik-beradiknya yang lain. 

Kadang-kadang, anak ini tidak tahu duduk diam dan tidak tahu aktiviti lain yang boleh dibuat selain daripada bermain. 

3) Jarakkan kumpulan anak besar dan anak kecil supaya dapat fokus.

4) Bersangka baik.

Membaca buku ini, tidak dapat tidak, saya terkenangkan perjalanan mengaji al-Quran ketiga-tiga anak yang besar ini. Saya menginsafi bahawa setiap anak ada "masanya". Paling mencabar ialah semasa mengajar anak kedua belajar al-Quran. 

Mungkin juga kerana high expectation dan secara tidak langsung membandingkan dia dan kakaknya membuatkan saya stres. Namun, perlahan-lahan mula memahami dan mengikut rentak masing-masing. Masih terus berusaha dan belajar.

First impression is always matter.

Ciptakan waktu belajar mengaji sebagai detik yang paling menyeronokkan buat anak-anak kecil kita yang baru mahu mengenal al-Quran. [Pn Khadijah Gani, 2018]

Sangat disyorkan sebagai bacaan tambahan untuk mereka yang ingin mendalami ilmu parenting atau teknik mengajar anak kecil. Tidak semestinya ibu ayah, boleh jadi juga anda seorang guru, pengasuh, pengusaha tadika dan lain-lain. 

Ada tips lain seperti Tip Mengajar Hafazan sejak anak kecil, perkongsian pengalaman mengajar anak murid mengaji yang istimewa, mengetahui sifat dan makhraj huruf dengan betul serta Tip Belajar dan Bermain dengan menggunakan Kad Imbas Khadijah.

 Pn Khadijah Gani mempelopori inovasi Kad Imbas Khadijah yang menggunakan emoticon comel dalam mengajar anak-anak mengenal huruf berbaris atas, bawah dan hadapan. Di sebelah kad lagi, diletakkan huruf-huruf hijaiyah yang dipadankan dengan bentuk yang bertemakan alam sekeliling. Misalnya alif seperti pokok kelapa yang tinggi, ya seperti bentuk itik dan sebagainya.

Semoga bermanfaat!

Buku 56 /  2018

#iRead2018


Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015