Isnin, 4 Jun 2018

Perkataan Yang Baik Adalah Sedekah


Semalam, usai meminjam buku, kami anak-beranak duduk di Ruang Santai. Ia sebuah bilik permainan untuk anak-anak yang disediakan di perpustakaan negeri. Ruangnya bertentangan dengan Perpustakaan Kanak-kanak.

Anak-anak leka bermain. Ada dua kumpulan lagi sedang bermain telefon pintar dan Wii Games.
Ruang Santai

Anak-anak lelaki itu sedang galak bermain Wii-games sambil mengeluarkan kata-kata yang kasar. Sudah jadi kebiasaan agaknya. Aduhai. Mulanya saya masih mampu bersabar.

Lama-kelamaan hati jadi tidak tenteram. Semakin hebat pula perkataan s***, ba**, b*d** yang keluar dari mulut mereka.

Lalu saya bangun dan duduk berdekatan anak-anak ini. Terdiam sekejap mereka. Sambil saya memerhatikan permainan apa yang sedang mereka main. Aksi ganas rupanya 😿

Eh, masih selamba cakap kasar begitu. Saya pun menegur, Assalamualaikum dik. Awak puasa tak hari ni? "Tak, makcik" sambil tersipu-sipu malu. Allah, saya tidak menduga jawapan itu 🙀 Jeda.

"Dik, Nabi Muhammad SAW pesan, perkataan yang baik adalah sedekah. Sedekah tu baik ke tak baik?". "Baik, makcik." "Ha, dapat pahala. Awak suka tak orang cakap baik-baik dengan kamu?" Mereka mengangguk.

"Jadi, kita pun kena cakap baik-baik dengan orang. Lagipun ada adik-adik kecil di sini. Mereka tengok je awak. Awak suka ke adik-adik ni ulang cakap awak?. Makcik yakin kamu anak yang baik. Buktinya, tengok tu. Manis je awak senyum." Waktu ini kawan-kawannya sudah ketawa.

"Baik, makcik."

Aduhai anak, makcik doakan kamu semua diberi hidayah dan Allah pelihara. Jaga solat, pilih kawan yang baik. Moga Allah memberkati.

Insaf dan risau. Mendepani anak-anak generasi baru. Dengan kedua ibu bapa yang sibuk bekerja lantaran desakan hidup yang tinggi.

Saya tidak melihat jauh. Cukup pada diri sendiri dan anak-anak. Bagaimana anak-anak sendiri diacu dan diadun sehingga menjadikan mereka anak yang soleh dan solehah.

Ya Allah, daku mohon petunjukmu di samping kurniakan rasa sabar mendidik anak-anak ini. Sesungguhnya daku ibu yang lemah dan banyak kekurangan. Tiada daya dan upaya melainkan kuasa-Mu. Amin..amin..

Masih rasa sayu mengingatkan anak-anak itu.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015