Khamis, 8 Mac 2018

Hantar anak ke rumah pengasuh


Ini hanya coretan peribadi. Belum pernah tulis pasal ini.

Dahulu, semasa mengandung Khaulah, pernah terfikir untuk mencari pengasuh. Tetapi lepas bersalin, terlupa pula.

Sehinggalah pada satu hari, ada seorang saudara bertanya sekiranya memerlukan pengasuh, dia sanggup untuk jagakan.

Wah, alhamdulillah. Maka, saya dan suami pun berbincang dan  istikharah terlebih dahulu.

Bermula dengan menghantar anak ketika usianya 50 hari (untuk tempoh percubaan), si kecil Khaulah tersenyum semasa mendengar suara pengasuh.

Alhamdulillah, bermula waktu itu sehingga anak ketiga, setia dengan pengasuh yang sama. 

Anak-anak panggil beliau "Ibu". Seorang yang sangat "warm-hearted", baik dan penyayang. Saya pula segan kerana selalu balik lewat dari tempat kerja.

Tidak timbul isu kebersihan, kesihatan dan keselamatan. Semuanya baik sahaja. Moga Allah ganjari kebaikan beliau sekeluarga. 

Kini saya tidak lagi menghantar anak ke rumahnya. Sementelahan saya sedang bercuti tanpa gaji selama 2 tahun lebih. Tetapi hubungan tetap terjalin dan anak-anak masih berkunjung ke rumah beliau.

Saya kira, apa jua keadaan pun kita harus menjaga adab dengan pengasuh.

- Meminta izin untuk menghantar anak.
- Maklumkan kepada beliau sekiranya perlu pulang lewat, terpaksa berkursus atau ada hal kecemasan yang memerlukan anak tinggal lebih lama di rumah pengasuh.
- Membayar wang tepat pada masanya. Kita mudahkan orang, mudah-mudahan Allah mudahkan urusan kita.
- Memohon pertolongan dengan baik sekiranya kita memerlukan bantuannya berkaitan penjagaan anak.
- Berbincang secara bersemuka jika ada perkara yang mengganggu fikiran.
- Bertanya dengan baik adalah lebih elok daripada bersangka-sangka.
- Elak mengumpat di belakangnya! Berterus-terang mengharmonikan ukhwah.
- Didik anak menghormati pengasuh dan keluarganya. Ucap terima kasih, sama-sama, memberi salam dan menjaga adab.

Wallahualam.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015