Selasa, 27 Mac 2018

Pak Su


Alhamdulillah, perjalanan yang panjang sepanjang cuti sekolah ini. Allah jua yang memberi izin semuanya berlaku dan berjalan dengan baik.

Ia umpama percutian keluarga yang sudah dirancang sejak tahun lalu. Kami belum pernah bercuti bersama. Apatah lagi semua sudah berkeluarga, biasanya hanya mak dan ayah yang akan pulang ke kampung. Kali ini, ada anak, menantu dan cucu mengiringi.

Bertemu dengan Pak Su yang istimewa, usianya juga sudah menginjak ke-40 tahun. Subhanallah! Saya berdoa moga Allah ganjari kebaikan sebaiknya buat Pak Su dan ahli keluarga yang menjaganya.


Pak Su sudah semakin memahami bahawa anak-anak buahnya dari Melaka ini semuanya sudah berkeluarga dan mempunyai anak. 

Jika awal perkahwinan kami dahulu, Pak Su akan marah bila kami duduk sebelah suami masing-masing. "Haram tu, haram. Perempuan tak boleh duduk dengan lelaki." Subhanallah, beliau sungguh peka dengan ikhtilat.

Apabila tiba waktu solat, dia sudah bersedia dengan sejadah dan menghadap kiblat. Dia solat dengan caranya. Adakala dua rakaat, adakalanya satu rakaat. Jika ada kesempatan, barulah dapat ikut ayah atau ahli keluarga lain ke masjid untuk solat berjemaah.

Anak-anak Sindrom Down ini memang comel sahaja gelagatnya. Sungguh pun sudah dewasa, perangai keanak-anakan itu memang tetap ada. Selalu juga dia menangis - teringat kisah lama, apabila merasakan orang tidak berbual dengannya, berlakon, berangan, sedih dan sebagainya.

Segak dengan spec baru 😉

Dan, apabila mahukan sesuatu, dia mahukan waktu itu juga. Makcik bercerita yang dompet Pak Su telah koyak / rosak, jadi dia mahukan dompet yang baru. Disebabkan kekangan waktu, pakcik dan makcik tak sempat ke kedai menggantikan yang baru.

Tahu apa tindakannya?

Pak Su buang dompetnya ke dalam bakul sampah.

Aduhai Pak Su. Sabar sahajalah 😅 

Doakan kami ya Pak Su. Pak Su dah memang ahli syurga. Kami ini entah bagaimana agaknya..

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015