Ahad, 11 Mac 2018

Mengurus Cemburu Anak



Baru-baru ini menziarahi seorang sepupu yang baru mendapat cahaya mata ketiga. Comelnya bayi baru lahir ini. Masya Allah. Ada iras anak saya pula tu 😊

Melihat respon anak kedua beliau membuatkan saya tersenyum. Adakala si abang kecil ini (berusia 2 tahun lebih) meniarap di atas lantai, menangis. Di waktu yang lain, memanjat kerusi dan melompat. Mungkin mahukan perhatian.

Saya juga pernah mengalami perkara yang sama semasa berpantang anak kedua. Si sulung Khaulah sangat mengamuk ketika itu. Ditambah lagi dengan tiada ilmu mengurus emosi anak pertama yang baru mendapat adik, selalu juga saya berasa tertekan. 

Sejak peristiwa itu, saya berazam untuk cuba jadi ibu yang lebih baik. Banyakkan membaca, mendengar nasihat doktor, pakar psikologi, orang tua, barulah saya berjaya mengurus emosi anak seterusnya semasa melahirkan bayi baru.

Saya pernah catat di sini ketika menunggu kelahiran anak keempat. Alhamdulillah, Allah izinkan anak ketiga dapat menerima dengan baik. Ada juga satu-dua masalah, namun alhamdulillah dapat ditangani dengan baik.

Terbaru, membaca catatan pengalaman Pn Khadijah Gani (Buku : Bukan Sekadar Homeschooling) dalam isu mengurus cemburu anak, masya Allah. Beliau mengupas dengan begitu baik. Dan entah kenapa saya rasa bertepatan dengan ucapan dalam gambar di atas.

Satu-persatu dikongsikan Pn Khadijah bagaimana beliau akhirnya dapat memahami dan mengurus emosi anak yang lebih besar ketika ibu mereka ini sedang berpantang dengan bayi baru.

Antara yang saya ingati :

✔ Berlembutlah. Makin kasar hukuman kita berikan, makin kasar juga tindak balas anak.

✔ Apabila anak tantrum, lapangkanlah hati. Akui kesalahan kita. Dengarlah. Ada sesuatu yang mahu anak kita sampaikan.

Ini terbukti apabila Pn Khadijah 'merakam' perbualannya dengan anak sulung semasa si anak sedang tidur. Bagaimana 'gelombang bawah sedar' ataupun bagi saya INSTINCT seorang ibu itu sangat kuat terhadap anaknya sehingga beliau dapat memahami perasaan anak sulungnya yang selalu mengamuk.

Jangan lupa baca mulai muka surat 51 tau.

✔ Menjadi "sesumpah". Ya! Berubah mengikut keadaan. Pastinya ke arah positif. Misalnya jika si abang suka mengusik bayi kecil. Jangan marah! Sebaliknya : ha, nanti mak geletek abang sampai ketawa! Pasti si abang kecil ini akan melarikan diri. Jadi, tercapailah objektif kita 😉

✔ Bercakap dengan anak. "Acknowledge" perasaannya.

✔Hargai anak. Berilah pujian ke atas perbuatannya. Walaupun kecil, tetapi bermakna.

✔ Libatkan si abang / kakak dalam aktiviti bersama adik barunya. Misalnya ambilkan pampers, pilihkan baju baby dan sebagainya.

✔ Sebelum tidur, cium, peluk dan ucapkanlah nasihat yang baik kepada anak-anak.

Muhasabah bersama.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanakp

Tiada ulasan:

Catat Komen

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015